Heaven MC: Kelab Motosikal Malaysia Dengan Tujuan Mulia

  • Heaven MC, sebuah kelab yang ditubuhkan pada tahun 2015 yang kebanyakannya terdiri daripada para pemilik Harley-Davidson, namun ianya terbuka untuk semua jenis motosikal janaan V-Twin.
  • Presidennya menyatakan yang ianya sebuah kelab motosikal nirlaba (non-profit) yang menyeronokkan.
  • Kelab ini kebiasaannya menganjurkan konvoi dalam negara, dan turut menunggang ke Thailand sebanyak tiga kali dalam setahun.

Kelab motosikal (MC) telah menjadi kesukaan ramai sejak adanya motosikal. Sebagai contoh, kelab motosikal tertua dunia adalah Yonkers Motorcycle Club di New York, yang mana telah diasaskan pada tahun 1903, tahun yang sama di mana Harley-Davidson telah memperkenalkan model pertamanya.

Semenjak itu, kita telah menyaksikan kemunculan dan perkembangan kelab motosikal, sama ada untuk tujuan riadah dan sosialisasi, atau untuk tujuan aktiviti jenayah. Hells Angels, salah sebuah kelab motosikal paling popular di dunia, adalah nama pertama yang terpacul di minda apabila anda letakkan kelab motosikal dan aktiviti jenayah dalam satu ayat, namun, hakikatnya, kelab sebegini hanyalah 1% daripada komuniti penunggang motosikal dunia.

Malaysia turut mempunyai sejumlah besar kelab motosikal, jumlah keseluruhannya tidak dapat dipastikan kerana tiada badan induk yang mengawal selia kelab-kelab ini, tetapi secara kasarnya ia boleh mencapai jumlah 100 buah kelab jika anda ambil kira kelab moped dan skuter.

Salah sebuah kelab berkenaan adalah Heaven MC, sebuah kelab yang ditubuhkan pada tahun 2015 dan kebanyakannya terdiri daripada para pemilik Harley-Davidson namun ianya terbuka untuk para penunggang semua jenis motosikal janaan V-Twin.

Kelab ini diketuai oleh Nick Lum (kanan), yang mengambil alih sebagai Presiden pada tahun 2016 dan bertanggungjawab memastikan masa 125 orang ahli kelabnya dipenuhi dengan tunggangan hujung minggu dan sebagainya.

Penulis telah berpeluang berbicara dengan Nick pada minggu lalu bagi bercerita mengenai kelab yang dia terajui secara aktif.

“Kelab ini hanya ada 20 orang ahli sewaktu saya sertainya dengan kira-kira 8 ke 10 penunggang aktif. Ada sekali di mana kami anjurkan satu konvoi hujung minggu tetapi hanya saya dan seorang lagi penunggang bernama Alex Locke yang hadir pada pagi Ahad berkenaan. Saya ingat lagi kami berpandangan sama sendiri dan tidak tahu hendak buat apa, dan sejak itu, Alex dan saya dengan aktif merekrut ahli,” ujar Nick malam itu di The Gasket Alley.

Dengan latar belakang dalam pemasaran syarikat multinasional dan industri jualan langsung serantau, Nick bersama dengan Alex telah keluar untuk merekrut ahli menggunakan hukum purata. “Saya sedar yang lebih banyak orang yang kami rekrut, lebih cerah peluang yang lebih ramai orang yang akan keluar untuk menunggang pada hujung minggu. Jika kami bercakap dengan 50 orang mengenai Heaven MC dan hanya 20% sahaja yang muncul pada hujung minggu, ianya sudah mencukupi dan semestinya jauh lebih baik daripada hanya dua orang sahaja yang hadir. Pada hari ini, kami dengan mudah dapat mengumpul lebih daripada 100 orang penunggang untuk menyertai konvoi, dan saya rasa kami telah melakukan tugas yang baik,” terang Nick.

Nick yang berusia 53 tahun merupakan penunggang yang aktif dan memiliki Harley-Davidson V-Rod Muscle, Road King Classic, dan Street Glide CVO, dan turut memiliki beberapa buah motosikal Harley yang lain sepanjang kerjaya penunggangannya. ” Bagi saya, menunggang sebuah Harley-Davidson ini lebih kurang seperti memandu sebuah Bentley atau Rolls-Royce. Bukan sahaja motosikal ini sebuah simbol status, tetapi saya juga berasa lebih selamat menunggang sebuah Harley kerana saya tidak perlu menunggang dengan laju untuk mendapat kepuasan. Kereta pada hari ini terlalu mahal, Harley pula sebaliknya, juga agak mahal untuk sebuah motosikal, tetapi, jauh lebih mampu milik dan ianya mengubah hidup anda.”

Apabila ditanya mengenai Heaven MC, Presidennya berkata yang ianya sebuah kelab nirlaba (non-profit) yang menyeronokkan. Konvoi paling terkenal kelab ini adalah tunggangan sulung bagi meraikan pelancaran bilik pameran baharu Harley-Davidson PJ, di mana ahli kelab ini merupakan sebahagian daripada 500 orang pemilik Harley yang menunggang bersama untuk menyambut pembukaan bilik pameran baharu itu.

Kelab ini terbuka bagi ke semua penunggang motosikal yang menunggang sebarang motosikal V-Twin. Tiada yuran keahlian dan semua orang dialukan untuk menyertai konvoi hujung minggunya. Kelab ini secara aktifnya menyokong acara dan khidmat masyarakat dan sering menganjurkan kutipan dana untuk mana-mana badan kebajikan yang memerlukannya.

Kelab ini kerap menganjurkan tunggangan dalam negara, namun, mereka turut berkonvoi ke Thailand sebanyak tiga kali setahun. Kelab ini juga telah mengadakan perjumpaan tahunan Tahun Baru Cina baru-baru ini bagi meraikan pencapaian mereka dan berkongsi rancangan mereka yang akan datang. Harley-Davidson Petaling Jaya turut serta sebagai pengedar bagi meraikan acara tahunan bersama dengan HOG PJ bagi memupuk semangat persaudaraan Harley-Davidson. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai kelab ini dan konvoi mereka, anda boleh dapatkan maklumat yang lebih lanjut di laman Facebook Heaven MC.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.