Setelah berjaya mencatat jualan tertinggi dalam sejarah pada tahun 2018, Perodua mempunyai sasaran baharu bagi tahun 2019 dimana mereka akan berusaha keras untuk mencapai jumlah jualan unit kenderaan sebanyak 231,000 atau 4% peningkatan jika dibandingkan jualan tahun lepas.
Sebanyak 227,243 buah kenderaan telah berjaya dihantar kepada para pelanggan di seluruh negara dan dengan pelancaran model terkini SUV 7-tempat duduk iaitu Perodua Aruz 2019, sasaran mereka untuk mencapai jumlah jualan tersebut tidak mustahil lebih-lebih lagi dengan harga tawaran yang amat berpatutan bagi sebuah kenderaan dalam segmen SUV.
Secara terperinci, Myvi merupakan model terlaris pada tahun 2018 dengan 82,122 unit didaftarkan daripada 117,844 tempahan. Dari pelancarannya pada November 2017 sehingga kini, lebih 91,500 Myvi telah didaftarkan daripada 147,000 tempahan. Axia, Bezza dan Alza kekal nombor satu dalam segmen masing-masing dengan 70,821, 49,911 dan 24,389 unit dijual pada 2018.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad , “Sasaran Perodua untuk meningkatkan jualannya sebanyak 4% tahun ini bukan sahaja akan mengukuhkan jenama kami tetapi akan membantu industri automotif Malaysia yang dijangka akan berkembang sedikit tahun ini.”
“Myvi dijangka terus popular tahun ini, dan sejak kami memulakan tempahan untuk Aruz pada 3hb Januari, kami telah menerima hampir 5,700 tempahan setakat ini. Memandangkan sasaran jualan kami 2,500 unit sebulan, angka ini sangat menggalakkan,” tambah Dato’ Zainal.
Perodua juga menjangka untuk meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20% daripada RM5 bilion tahun lepas kepada RM6 bilion tahun ini. Ini adalah selaras dengan permintaan yang dijangkakan pada 2019 dan secara langsung akan memberi manfaat kepada pembekal automotif tempatan.
Menurut Dato’ Zainal, 219,000 kenderaan dikeluarkan daripada kedua-dua kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd pada tahun 2018 dan syarikat tersebut mensasarkan peningkatan sebanyak 10.5% kepada 242,000 kenderaan pada tahun 2019.
Dari sudut selepas jualan, Perodua memecahkan banyak rekod dalaman dari segi pengambilan servis (2018 2.17 juta pengambilan berbanding 2017 2.1 juta pengambilan– naik 3%) dan jualan alat ganti dan aksesori (2018 RM320.8 juta berbanding 2017 RM288.5 juta – naik 11%). Perniagaan Badan & Cat (B&P) dan Kenderaan Pra-Milik(POV) juga menyaksikan perkembangan yang menggalakkan.
“Selepas jualan adalah aspek yang sangat penting kepada kami kerana ia menyokong kami dalam pasaran yang berdaya saing ini. Kami akan menaiktaraf kepuasan pelanggan kami untuk mengukuhkan lagi jenama kami di negara ini. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu anda selama ini dan kami akan terus berusaha keras untuk memenuhi keperluan dan kehendak anda.”
SUV Perodua Aruz 2019 dilancarkan secara rasmi! Dari RM72,900