SUV Perodua Aruz 2019 dilancarkan secara rasmi! Dari RM72,900

Setelah sekian lama dalam perancangan masa depan Perodua, SUV 7-tempat duduk terkini iaitu Perodua Aruz 2019 telahpun dilancarkan secara rasmi sebentar tadi. Seperti yang telah diumumkan oleh Perodua awal bulan ini, terdapat dua varian yang boleh dipilih oleh para pelanggan iaitu X dan AV (Advance).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato: Zainal Abidin Ahmad, “Permintaan SUV semakin meningkat di seluruh dunia, kedudukan memandu lebih tinggi, penglihatan yang baik serta ruang yang luas dan dalam masa yang sama mengekalkan tapak yang kompak. Dengan kesemua ciri tersebut, kenderaan ini mempamerkan gaya hidup aktif, mencabar dan beraspirasi.”

Kedua-dua varian menggunakan pakej enjin yang sama iaitu 1.5-liter empat-silinder DOHC Dual VVT-i yang mampu menjana 100hp @ 6,000rpm dan 133Nm @ 4,200rpm tork maksimum. Segala kuasa tersebut dikawal dengan menggunakan sistem transmisi 4-kelajuan dengan kawalan elektronik (E-AT) yang memberi gaya pemanduan yang mudah dan juga selesa kepada pelbagai jenis pemandu.

Perodua Aruz juga telah dilengkapi dengan Sistem Melahu Eko (Eco Idle) untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l dimana ia telah diiktiraf oleh kerajaan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Dengan tangki petrol berkapasiti 45 liter, secara teori Perodua Aruz 2019 boleh bergerak sejauh 700km sebelum anda perlu mengisi semula!

Ciri yang paling menarik bagi model SUV terkini dari Perodua adalah sistem bantuan pemanduan selamat atau ASA (sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran) yang telah dipertingkatkan lagi iaitu ASA 2.0. Ciri baharu ini merangkumi aspek-aspek seperti:

  • Pengesan pejalan kaki sehingga 50 km/j
  • Amaran Pra-Pelanggaran sehingga 100km/j
  • Sistem Brek Pra-Pelanggaran sehingga 80km/j
  • Kawalan Kesilapan Menekan Pedal(Pedal Misoperation Control)

Ciri-ciri menarik lain yang telah memberi penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP adalah Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara. Spesifikasi menarik lain termasuk:

  • Akses Pintar dengan Butang Mula/Henti Enjin
  • Radio skrin sesentuh dengan paparan kamera undur
  • Penghawa dingin digital dengan dua tetapan memori
  • Corong penyaman udara untuk penumpang belakang
  • Rim aloi dwi-tona 17-inci
  • Alat pembaca kad tol terbina dalam
  • Lampu depan LED dengan fungsi ‘Follow-Me-Home’ (Advance sahaja)
  • Lampu kabus (Advance sahaja)
  • Rel bumbung (Advance sahaja)

Terdapat lima tawaran warna berbeza iaitu Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green. Setiap model Perodua Aruz dilengkapi dengan waranti selama lima tahun atau 150,000km. Harga rasmi yang akan ditawarkan oleh Perodua bagi model Aruz 1.5 adalah dari RM72,900 hingga RM77,900 (harga atas jalan tanpa insurans).

This slideshow requires JavaScript.

Mulai 9 Januari, setiap pembelian insurans motor Perodua Total Protect Plus juga akana mendapat Perodua Auto Assist percuma, penamaan pemandu percuma tanpa had, elaun banjir sehingga RM1,000 dan perlindungan Kemalangan Peribadi sehingga RM10,000.

Perodua juga menawarkan pakej aksesori GearUp dengan harga permulaan RM450 (harga asal RM500) yang mengandungi tiga aksesori menarik iaitu visor pintu, tempat letak beg dan pengalas gegelung. Untuk maklumat lanjut, kunjungi mana-mana pusat jualan rasmi Perodua atau layari www.perodua.com.my.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.