- Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggesa pemegang konsesi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (jambatan kedua) untuk menilai kembali tahap keselamatan penghadang jalan mereka.
- Sebuah SUV telah melepasi penghadang jalan di Jambatan Pulau Pinang dan terhumban jatuh ke dalam laut setelah dilanggar sebuah kenderaan yang lain pada 20 Januari 2019.
- Ini adalah kes kelima kenderaan dan penunggang motosikal terhumban jatuh dari jambatan.
Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggesa pemegang konsesi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (jambatan kedua) untuk menilai semula tahap keselamatan penghadang jalan mereka, berikutan kemalangan yang telah mendapat liputan hangat.
Sebuah kenderaan SUV telah melepasi penghadang jalan raya di Jambatan Pulau Pinang dan terhumban jatuh ke dalam laut setelah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang lain pada 20 Januari yang lepas. Usaha mencari dan menyelamatnya telah menarik tumpuan seluruh negara. SUV berkenaan dan pemandunya, seorang pelajar kolej berusia 20 tahun, telah ditemui malam semalam (21 Januari).
Ini bukanlah kali pertama insiden yang menyaksikan kenderaan terhumban jatuh ke dalam laut ini berlaku. Setakat ini, telah ada empat buah kes yang telah berlaku sebelum ini, seawal tahun 2010.
20 September 2010
Sebuah MPV yang dinaiki sepasangan suami isteri muda telah terlanggar penghadang besi, menyebabkan enderaan berkenaan terhumban jatuh dari jambatan.
1 November 2012
Sebuah kenderaan yang dipandu seorang kerani perakuanan telah terlanggar penghadang jalan, menyebabkan kereta berkenaan terhumban jatuh ke dalam laut di kilometer 7.4 menuju ke arah pulau.
30 Oktober 2015
Seorang penunggang motosikal telah terjatuh dari jambatan setelah motosikalnya bergeser dengan kenderaan yang lain di kilometer 1.4, arah pulau. Mujur sekali, dia tidak mengalami kecederaan yang serius setelah terjatuh ke dalam lumpur.
12 November 2015
Seorang pemandu telah hilang kawalan keretanya sebelum terjatuh dalam laut di kilometer 0.6, arah Prai.
20 Januari 2019
Kes terkini di mana sebuah SUV terbalik dan melepasi penghadang.
Walaupun hanya ada satu kes yang melibatkan penunggang motosikal, tindakan sepatutnya telah diambil dengan lebih awal lagi. Pemandangan dari kedua-dua jambatan ini cukup menakjubkan tetapi kita tidak dapat nafikan betapa rendahnya penghadang jalan yang sedia ada. Tetapi dari satu sudut yang lain, menghalang terus pemandangan ini pasti tidak akan disukai ramai.
Bagaimana pun, ada satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan; cubaan bunuh diri. Terdapat beberapa buah kes di mana orang telah terjun dari jambatan untuk membunuh diri. Malah, ada satu cubaan telah berlaku pagi ini di jambatan kedua sewaktu usaha menyelamat SUV sedang dijalankan.
Namun, kami sering tertanya-tanya, mengapa tindakan hanya diambil selepas berlakunya sesuatu tragedi? Mengapa pihak berkuasa kita gagal untuk melihat lebih jauh ke hadapan? Dan bukan ini sahaja masalahnya. Seperti mana yang telah kami laporkan sebelum ini dalam sebuah artikel yang lain, penguatkuasaan hanya dijalankan kira-kira selama tiga bulan dan selepas itu, ianya bagai dilupakan.
Harap-harap, untuk kali ini, ada satu tindakan yang lebih konkrit akan diambil oleh pihak yang berkenaan.