- Jabatan Keselamatan Jalan Raya, sedang mengkaji sama ada untuk menghadkan motosikal kapchai pada 70km/j dan menunggang di sebelah kiri jalan sahaja.
- Diharapkan yang tindakan ini akan mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan motosikal.
- Pada pandangan kami, ada banyak lagi langkah yang lebih produktif yang boleh dilaksanakan.
Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sedang mengkaji sama ada untuk menghadkan motosikal kapchai pada kelajuan 70km/j dan menunggang di sebelah kiri jalan bagi mengurangkan kematian akibat kemalangan motosikal.
Menurut Bernama, pendorong untuk kajian ini adalah berdasarkan beberapa buah faktor. Bagaimana pun, kebimbangan utama adalah lebih daripada 60% daripada jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Jumlah ini boleh diterjemah kepada 6,742 kematian pada tahun 2018.
Datuk Rosli Isa, Ketua Pengarah JKJR mengatakan ada usul yang mencadangkan untuk menghadkan motosikal kapchai 150cc ke bawah kepada kelajuan maksimum 70km/j dan menunggang di sebelah kiri jalan. Dia menambah bahawa jabatannya juga akan turut mengkaji keberkesanan langkah sebegini di negara-negara lain di mana ianya telah dilaksanakan seperti Hong Kong dan Australia.
Menurut Datuk Rosli, motosikal kapchai yang menyelit di celah-celah trafik mendedahkan penunggang dan pemboncengnya kepada bahaya kenderaan yang lebih berat. Selain itu, kebanyakan kesnya melibatkan motosikal yang laju.
Usul Datuk Rosli mencerminkan pandangan Safety First, sekumpulan 500 pengguna WhatsApp yang telah bertemu dengan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke pada hari Rabu yang lalu.
Pandangan Kami
Pertama sekali, berapakah peratusan antara kemalangan motosikal tersebut melibatkan kenderaan lain sebagai pihak yang bertanggungjawab? Tampaknya ianya menjadi satu trend untuk menyalahkan penunggang motosikal setiap kali berlakunya kemalangan. Ini hanyalah mengambil langkah yang mudah dan tidak adil sama sekali.
Malaysia mempunyai pelbagai undang-undang yang baik berkaitan dengan penggunaan jalan raya (walaupun ianya perlu dikemaskini). Menurut Kod Lebuhraya, yang mana ianya perlu dipelajari oleh para calon ujian jalan raya, motosikal sepatutnya berada di sebelah kiri jalan raya, 3 meter dari bahunya.
Tetapi, di mana penguatkuasaannya? Inilah masalah paling besar dengan undang-undang di Malaysia. Jabatan-jabatan Malaysia hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ apabila undang-undang baharu diluluskan. Dahulu, hangat tentang kesalahan penggunaan telefon bimbit, sekarang? Bagaimana pula dengan perang ke atas mereka yang berhenti di kotak kuning?
Datuk Rosli ada menyebut Australia dan Hong Kong. Namun perlu diingatkan bahawa undang-undang jalan raya di sana dikuatkuasa secara sepenuhnya, dan pesalahnya tidak terlepas dengan memberikan duit kopi RM50.
Jika kedua-dua undang-undang baharu ini diluluskan, siapa dan bagaimanakah aka mereka kuatkuasakan had kelajuan motosikal ini? Siapa dan bagaimanakah akan mereka kawal motosikal daripada terus menyelit di celah-celah trafik?
Baiklah, kita anggap sahaja yang motosikal kapchai ini mengikuti had kelajuan 70km/j dan kekal di laluan kiri.
Bagaimana pun, seperti mana yang telah diketahui oleh mereka yang selalu menggunakan jalan raya Malaysia, kenderaan berat sendiri sering menyelit di celah-celah trafik atau mencerebohi mana-mana laluan yang dianggap pemandu sebagai ‘kosong’. Siapakah yang boleh menghalang mereka? Adakah kerajaan akan meletakkan penghadang bagi memisahkan laluan motosikal dengan laluan-laluan lain di bandar?
Dan bercakap mengenai kenderaan berat dan had laju, bas dan lori sering kali memecut pada kelajuan 130km/j. Di mana penguatkuasaannya?
Kami tidaklah mengatakan bahawa semua motosikal perlu ditunggang selaju boleh, tetapi, penguatkuasaan perlulah setara dan sekata bagi KE SEMUA pengguna jalan raya sekiranya kerajaan mahu rancangan ini berjaya.
Selain itu, kami masih tidak mengerti mengapa pemilik kenderaan yang berbeza masih tidak dapat bekerjasama. Setiap pihak mahu diberikan keutamaan, namun tiada yang mahu berkompromi dan bekerjasama.
Ini bagi kami, adalah masalah terbesar yang dihadapi para pengguna jalan raya Malaysia. Masing-masing mementingkan diri sendiri dan tiada sebarang tindakan diambil bagi mendidik pengguna jalan raya untuk lebih menghormati satu sama lain.
Kesimpulan
Kami amat menghargai kebimbangan JKJR ke atas nyawa para penunggang motosikal, namun, pelan ini hanya akan berjaya dengan penguatkuasaan yang ketat.
Bukankah ianya lebih produktif bagi mengurangkan kadar kematian dengan mengajar teknik penunggangan yang betul (dengan mengemaskini sistem perlesenan dan pendidikan JPJ), penggunaan helmet yang betul, kepentingan kelengkapan keselamatan, kesantunan di atas jalan raya, penunggangan defensif, dan lain-lain?
Pada masa yang sama, pemandu-pemandu kenderaan lain juga perlu diajar mengenai teknik pemanduan yang betul.
Apa kata kuatkuasa undang-undang yang sedia ada?
Dan kami tidak sentuh lagi mengenai laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan yang masih belum dibuka lagi. Ini tidak termasuk keadaan uzur laluan motosikal di lebuhraya yang lain.