- Terdapat pelbagai jenis tuntutan yang boleh dibuat terhadap pihak bertanggungjawab selepas sesuatu kemalangan.
- Bagaimana pun, terdapat syarat dan juga had bagi apa yang boleh dituntut.
- Tuntutan-tuntutan ini adalah untuk menampung belanja sedia ada sekiranya kemalangan tidak terjadi, dan bukannya untuk memperkayakan mangsa.
Kemalangan adalah sesuatu yang ingin dihindari oleh semua orang. Namun, anda mungkin biasa dengan perkataan “tuntutan”, yakni tuntutan untuk sebarang kerosakan dan kecederaan yang diakibatkan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Tuntutan biasanya dibuat bagi menampung belanja sebarang kerosakan atau kecederaan melebihi apa yang boleh dibayar oleh insurans mangsa, selalunya untuk kos rawatan kecederaan mangsa.
Walaupun ini kedengaran seperti anda boleh membuat tuntutan bagi rawatan yang paling mahal, ada syarat yang perlu dipenuhi dan juga benda-benda yang tidak boleh anda tuntut.
1. Kos rawatan hospital swasta
Peraturan am insurans meliputi kos penuh rawatan di hospital kerajaan. Tetapi, ianya tidak bermakna anda tidak boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Pihak mahkamah mungkin membenarkan tuntutan anda sekiranya:
- Keadaan anda genting dan tiada pilihan lain selain hospital swasta.
- Hospital-hospital kerajaan tidak memiliki peralatan atau doktor pakar yang diperlukan.
- Hospital-hospital kerajaan tidak dapat merawat kecederaan anda.
2. Rawatan tradisional
Ini bermakna anda tidak boleh membuat tuntutan untuk jamu atau minyak gamat yang anda gunakan untuk merawat diri. Bagaimana pun, mahkamah boleh mempertimbangkan sekiranya:
- Nasihat yang boleh dipercayai telah diberikan untuk mendapatkan rawatan tradisional.
- Ada sebab munasabah untuk mendapatkan ubat dan rawatan tradisional.
3. Kehilangan punca pendapatan sekiranya melebihi umur persaraan
Umur persaraan di sini bermakna 55 tahun ke atas, tidak kiralah sama ada anda masih bekerja. Dan dengan itu, anda tidak boleh membuat tuntutan bagi kehilangan pendapatan akan datang.
4. Kehilangan punca pendapatan dari sumber yang tidak sah
Seperti mana yang telah diterangkan pada nombor 3 di atas, seseorang itu boleh membuat tuntutan atas kehilangan punca pendapatan akan datang, asalkan dia di bawah usia 55 tahun, tetapi, dengan satu syarat. Sumber pendapatannya itu mestilah dari punca yang sah. Jadi, sekiranya punca pendapatan anda adalah dari pusat urut haram, tuntutan anda tidak akan diluluskan.
5. Derita dan kesakitan sewaktu tidak sedar diri
Kita semua pernah terlibat dalam kemalangan motosikal dan sedar betapa sakitnya kecederaan berkenaan. Tetapi, adakah kita akan merasa kesakitan sewaktu tidak sedarkan diri? Atas sebab inilah pihak mahkamah hanya membenarkan tuntutan bagi derita dan kesakitan sewaktu mangsa sedarkan diri.
Sumber: asklegal.my