Jarvish Tawarkan Helmet Futuristik X dan X-AR

  • Jarvish adalah pembuat helmet dari Taiwan.
  • Firma ini menawarkan helmet futuristik X dan X-AR.
  • Kedua-dua model ini lengkap dengan pelbagai teknologi, di mana bagi model X-AR turut dilengkapi dengan kamera dan HUD.

Jarvish, pembuat helmet dari Taiwan sedang menawarkan dua buah helmet yang futuristik dan lengkap dengan pelbagai teknologi di laman Kickstarter.

Kedua-dua helmet ini bergelar X dan X-AR, dan diperbuat daripada karbon fiber. Menurut mereka, mereka telah membekalkan produk original ini kepada orang awam dan ratusan pegawai polis di Taiwan.

Kedua-dua model ini didatangkan dengan kamera 2K di hadapan namun, ada sedikit perbezaan dalam ciri-ciri yang lain. Arahan suara ada bagi kedua-dua helmet dan ciri ini diaktifkan dengan suara penunggang.

Ciri utama bagi model X-AR termasuklah paparan pandang hadapan (heads-up display – HUD) yang memaparkan kelajuan, maklumat cuaca dan navigasi melalui aplikasi Jarvish. Data disimpan pada kad memori 16GB yang boleh ditanggalkan. Penunggang boleh menggunakan kad memori sehingga 256GB. Kebolehan Bluetooth dan WiFi juga turut disediakan. Baterinya boleh bertahan sehingga empat jam.

Menurut Jarvish, ciri-ciri ini membolehkan penunggang untuk menumpukan perhatian pada jalan raya tanpa sebarang gangguan.

Kedua-dua helmet Jarvish ini mematuhi standard ECE 22.05. Helmet-helmet ini dijangka akan disediakan melalui laman Amazon. Model X dijangka akan dijual pada harga £500 manakala model X-AR pula pada harga £1000.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]