- Terdapat lebih banyak kemaskini bagi model Aprilia Shiver 900 2019.
- Antaranya adalah ekzos baharu, ECU baharu, paparan TFT baharu, dan warna baharu.
- Adakah ia akan membuat kemunculan di Malaysia?
Kami pernah menunggang model Aprilia Shiver 750 sebelum ini. Apa yang boleh kami katakan tentangnya ialah kami cukup kagum dengan pengendalian, prestasi, reliabiliti, dan betapa berbaloinya motosikal berkenaan untuk dimiliki. Namun, model Aprilia Shiver 900 yang baharu masih belum membuat kemunculannya di Malaysia. Kami harap yang pengedar eksklusif baharu Aprilia di Malaysia akan mengubah hakikat ini.
Model Shiver 900 memasuki tahun ketiga pengeluaran pada tahun 2019 (diperkenalkan pada tahun 2017). Dan oleh kerana itu, pengeluar yang beribu pejabat di Noale itu akan mengemaskininya bagi tahun baharu ini, walaupun tidaklah banyak. Jikalau sudah sempurna, mengapa perlu mengubahnya, bukan?
Pertama sekali, terdapat sebuah sistem ekzos baharu bagi membebaskan wasap dengan lebih berkesan. Kuasa enjin kekal pada 95hp dan 89.5Nm, namun ditampilkan dengan pendikit yang lancar dan tindak balas enjin yang boleh dijangka.
Model Aprilia Shiver 750 merupakan motosikal pengeluaran pertama yang dilengkapkan dengan pendikit ‘Ride-by-Wire’. Model Shiver 900 meneruskan legasi ini, begitu juga dengan mod penunggangan. Bagaimana pun, model tahun 2019 akan dilengkapkan dengan ECU Marelli 7SM (yang mana juga boleh didapati pada model RSV4 dan Tuono 1100 V4). Ia membolehkan penyelarasan tahap kawalan cengkaman atau mematikannya terus.
ABS adalah unit dwi-saluran ‘Continental’ standard, namun, tiada ABS menyelekoh berasaskan IMU. Paparan TFT 4.3 inci (sama seperti RSV4 dan Tuono) kini didatangkan dengan pautan multimedia, muzik, dan navigasi.
Model tahun ditawarkan dalam kemasan warna Challenging Red dan Innovation Dark.