VIDEO: Bugatti uji kaliper brek titanium teknologi cetakan 3D

Sejak awal tahun ini, Bugatti telah mengumumkan usaha mereka dalam percubaan dan eksperimen kaliper brek titanium yang dibuat khas dengan teknologi percetakan 3D atau ‘3D-printing’. Usaha mereka dalam meneraju ke arah pengilangan sepergini adalah untuk mereka bentuk bahagian kereta yang jauh lebih tinggi dari segi prestasi jika dibandingkan dengan teknologi yang digunakan secara berleluasa sekarang.

Hasil mereka adalah sebuah kaliper bersaiz 41cm panjang, 21cm lebar dan 13.6cm tinggi dengan berat hanya 2.9kg. Kaliper brek bersaiz sama yang digunakan oleh Bugatti sekarang adalah 40% lebih berat kerana ia menggunakan aloi aluminium.

Percetakan 3D yang menggunakan teknologi laser yang mencairkan sebuk aloi titanium jenis Ti6AI4V (biasanya digunakan untuk industri aeroangkasa) mengambil masa selama 45 jam untuk membuat 2,213 lapisan kaliper. Hasilnya? Sebuah brek kaliper 8-piston titanium terbesar pernah dikilang setakat ini yang teramat kuat dengan prestasi tinggi dan juga tahan lasak!

Bugatti juga ambil masa selama 11 jam untuk mengemaskan segala bahagian permukaan dan bebenang dan ini bukan untuk tunjuk-tunjuk sahaja ya, tuan-tuan dan puan-puan. Dalam video di bawah, Bugatti telah menguji prestasi dan ketahanan brek kaliper titanium ini dengan kelajuan setinggi 400km/j dan juga darjah kepanasan melepasi 1,000°Celcius!

Ini merupakan satu langkah yang besar bagi industri automotif dan jika ia berjaya dilaksanakan pada skala pengilangan yang lebih besar, Bugatti (yang merupakan syarikat di bawah paying VW Group) kemungkinan besar akan meneruskan usaha tersebut kepada jenama motosikal milik mereka iaitu Ducati. Menarik, kan?