Mana Perginya Lampu Hadapan Tidak Simetri Model BMW S 1000 RR?

  • Mengapakah model BMW S 1000 RR yang pertama bercirikan lampu hadapan tidak simetri?
  • Mengapa pula bagi model S 1000 RR 2019 ianya simetri?
  • Semua ini berbalik kepada fungsi.

Model BMW S 1000 RR sebelum ini dilengkapi dengan reka bentuk lampu hadapan tidak simetri yang telah menjadi bualan hangat sewaktu ianya diperkenalkan pada tahun 2008. Ramai yang merungut tentangnya. Ada sahabat kami yang telah menutup lampu sebelah kirinya itu.

Bagaimana pun, dari masa ke semasa, semakin ramai penunggang yang menerimanya dan reka bentuk berkenaan menjadi mercu rekaan model S 1000 RR.

Tunggang Uji BMW S 1000 RR 2018 – “Mahakarya Jerman”

Namun kini, ianya berlaku sekali lagi dengan model yang terkini. Sudah menjadi sifat manusia yang sering menentang perubahan yang ketara.

Tetapi, pernahkah anda tertanya-tanya mengapa BMW Motorrad sentiasa menggunakan dua buah reka bentuk lampu hadapan yang berbeza pada hampir keseluruhan motosikal mereka? Ianya sama juga bagi model GS, namun, ianya tidaklah seketara yang ada pada model S 1000 RR.

Menurut pengeluar yang beribu pejabat di Munich itu, reka bentuk bagi lampu hadapan model S 1000 RR dari 2008 hingga 2018 adalah sedemikian kerana kejuruteraannya dan bukanlah atas sebab-sebab penggayaan. Lampu hadapan kiri merupakan lampu sinar rendah, tetapi ianya tidak cukup terang. Jadi, BMW telah menambah sebuah lampu yang lebih besar pada sebelah kanan bagi memberikan lebih banyak cahaya. Lampu sebelah kiri dikekalkan kecil bagi mengurangkan berat sebanyak 500 gram.

Ketua Reka Bentuk BMW, Edgar Heinrich, memberitahu MCN, “Kami ingin membina motosikal yang terbaik yang boleh kami hasilkan, yakni bagi motosikal lumba, yang paling ringan. Di mana sahaja kami boleh kurangkan beratnya, kami buat, yang mana telah menghasilkan kelengkapan yang tidak simetri, seperti mana pemantul sinar besar yang mengurangkan berat sebanyak 150 gram.”

Bagi model 2019 pula, mereka tidak perlukan lampu hadapan yang tidak simetri kerana ianya bercirikan lampu LED. Heinrich menambah bahawa jabatan reka bentuk ingin “melupuskan terus” lampu tersebut kerana “jentera perlumbaan tidak mempunyai lampu.”

“Kami boleh sahaja menjadikan komponen LED tidak simetri, tetapi ianya tidak masuk akal. Kami bukannya mereka bentuk hanya atas dasar reka bentuk semata-mata.”

Dengan erti kata lain, bentuknya itu adalah berdasarkan fungsinya.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.