Kelab Motosikal Shadowfax MC Malaysia Anjurkan Rumah Terbuka Deepavali

  • Kelab Motosikal Shadowfax Motorcycle Club Malaysia telah menyambut Deepavali dengan menganjurkan sebuah rumah terbuka.
  • Kumpulan serta kelab motosikal dari seluruh Malaysia dan Brunei telah menghadiri rumah terbuka ini.
  • Shadowfax juga turut menjemput kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

Kelab motosikal Shadowfax Motorcycle Club Malaysia telah menganjurkan Rumah Terbuka Deepavali tahunan mereka pada 25 November 2018 yang lalu.

Sejak penubuhannya oleh Dato’ Anand pada tahun 2015, kelab motosikal ini telah pun menunggang ke merata tempat di atas jentera Harley-Davidson kesayangan mereka. Kelab ini terdiri daripada para penggemar motosikal Harley yang sejati. Pengasasnya sendiri telah mula menunggang sejak tahun 1998 dan telah mengumpul model ulang tahun Harley-Davidson, termasuklah model ulang tahun ke-115 CVO Limited yang terkini.

Kelab-kelab dan kumpulan motosikal dari Brunei, Johor, Pulau Pinang, Perak dan bahagian tengah Malaysia telah menghadiri rumah terbuka ini. Keharmonian dapat dilihat sewaktu gerombolan motosikal Harley menderam di sepanjang jalan Damansara Perdana. Ianya satu peragaan semangat setiakawan tanpa mengira agama dan kaum.

Shadowfax MC turut menjemput 27 orang kanak-kanak dari Pusat Kanak-Kanak Istimewa, Lagenda Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Klang, Selangor. Kelab motosikal ini telah memberikan hadiah berupa keperluan persekolahan dan ang pau buat anak-anak ini.

Harley-Davidson Petaling Jaya (HDPJ) turut mengambil bahagian dalam acara yang meriah ini, menjadi tempat pertemuan buat para penunggang Harley sebelum menuju ke rumah terbuka berkenaan. Segerombolan 25 buah Harley telah bergerak dari wakil pengedar berkenaan menuju tempat sambutan tersebut.

“HDPJ akan senantiasa menyokong ke semua saudara kami tidak kira dari mana asal mereka. Asalkan ianya sebuah Harley, kita semua sekeluarga,” menurut Sebaran Akhbar HDPJ.