Marc Marquez Penunggang Paling Banyak Terbabas Dalam MotoGP 2018

  • Telah berlaku begitu banyak kemalangan dalam setiap hujung minggu perlumbaan dalam musim 2018.
  • Marc Marquez ternyata penunggang yang paling kerap terbabas dalam kelas perlumbaan MotoGP.
  • Namun, yang paling kerap terbabas dalam ketiga-tiga kelas perlumbaan adalah Stefano Manzi.

Marc Marquez baharu sahaja merangkul kejohanan MotoGP-nya buat kali ke-lima pada tahun 2018 ini, tetapi, ianya bukanlah satu-satunya takhta yang telah diperolehi penunggang kelahiran Sepanyol berkenaan.

Marquez telah terbabas sebanyak 23 kali pada musim ini, di hadapan Alvaro Bautista yang telah kemalangan sebanyak 21 kali. Jumlah itu sudah pasti akan meningkat lebih tinggi, jika tidak kerana kebolehan luar biasa Marquez menyelamatkan diri dan jentera dari keadaan yang sudah pasti akan menyebabkannya terbabas. Bagaimana pun, jumlah kemalangan sebanyak 23 kali ini adalah satu peningkatan berbanding dengan musim 2017, di mana dia telah terbabas sebanyak 27 kali pada musim tersebut.

Juara dunia berkenaan selalunya terbabas ketika sesi latihan, sewaktu dia menguji tayar dan jenteranya bagi mengetahui hadnya. Dari situ, Marquez mengetahui setakat mana yang dia boleh desak jenteranya sewaktu perlumbaan.

Tiga penunggang lain yang mengisi kedudukan Lima Teratas dalam carta penunggang paling kerap terbabas adalah Xavier Simeon dengan 18 kali, serta Cal Crutchlow yang terikat bersama Jack Miller dengan 17 kali.

Penunggang kebanggaan negara, Hafizh Syahrin, terbabas sebanyak 9 kali.

Bagaimana pun, jumlah itu jauh ketinggalan berbanding penunggang-penunggang daripada kelas-kelas yang lain. Stefano Manzi (penunggang yang telah dicengkam brek hadapannya oleh Romano Fenati) telah terbabas sebanyak 31 kali dalam kelas Moto2. Manzi kemudiannya diikuri oleh Lowes (27 kali), Marco Bezzecchi (24 kali), Jorge Navarro (24 kali), serta Gabriel Rodrigo (22 kali). Ini meletakkan Marc Marquez di anak tangga yang ke-lima.

Terdapat sejumlah 303 buah kemalangan dalam kelas MotoGP, 418 bagi Moto2, dan 356 dalam kategori Moto3. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 1,007 buah kemalangan. Jumlah ini adalah pengurangan dari 1,126 pada musim 2017.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]