Lebih Banyak Model Ducati V4 Akan Tiba

  • Ducati sedang membangunkan lebih banyak motosikal kegunaan jalan raya janaan enjin V4.
  • Mereka bakal melancarkan 29 buah motosikal baharu dalam tempoh lima tahun yang akan datang.
  • Motosikal baharu ini juga bakal meliputi segmen yang tidak ditawarkan Ducati sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, telah mendedahkan bahawa akan ada lebih banyak model Ducati V4 pada masa yang akan datang. Domenicali berkata yang ianya adalah disebabkan oleh sambutan yang telah diterima oleh model Ducati Panigale V4.

Ducati telah merancang untuk memperkenalkan 29 buah motosikal baharu dalam tempoh lima tahun yang akan datang, termasuklah bagi segmen yang tidak ditawarkan oleh Ducati sebelum ini. Dan oleh kerana itu, pengeluar dari Itali berkenaan akan menggunakan enjin V4 tersebut dalam platform yang berbeza.

Walaupun mereka masih belum mendedahkan lagi ke manakah arah tuju yang seterusnya bagi enjin Desmosedici Stradale V4 1,103cc 213hp mereka itu, ramai yang berpendapat bahawa Ducati sedang mempertimbangkan antara motosikal naked, kembara, atau pun ‘touring’.

Domenicali juga meluahkan rasa terujanya dengan model homologasi motosikal superbike perlumbaan, Panigale V4 R. Ia menggunakan enjin V4 998cc berbanding enjin V4 1,103cc.

“Model V4 R adalah satu kejutan yang positif bagi kami,” ujar Domenicali. “Ianya sudah semestinya satu cabaran yang sukar dengan pengurangan kapasiti bagi mengekalkan kuasa kuda yang sama, tetapi, enjin tersebut kemudiannya telah bertindak balas dengan baik sekali terhadap penambahbaikan yang telah kami lakukan, jadi, menjelang penghujung pembangunannya, kami telah berjaya menemui lebih banyak (kuasa) daripada apa yang kami jangkakan. Dari pelbagai segi, ianya motosikal paling canggih yang pernah kami bangunkan setakat ini.”

Tunggu sekejap. Mengapakah model V4 R ini dianggap sebagai “motosikal paling canggih” yang pernah Ducati bangunkan? Ianya kerana dalam kejohanan MotoGP, peraturan tidak membenarkan penggunaan pakej elektronik, winglet, suspensi, serta ABS.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]