Naza Kia Malaysia telah melancarkan beberapa model 2019 yang menarik di Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS 2018) seperti Kia Optima GT, Sorento, Grand Carnival dan Sportage GT-Line. Model paling menarik yang sedang dipratontonkan sekarang di MITEC Kuala Lumpur adalah Kia Picanto GT-Line 2019 yang akan tiba di pasaran negara tidak lama lagi.
Model Picanto dari Kia merupakan salah satu model dalam segmen atau kategori kenderaan kelas A yang agak terkenal di Malaysia dan berdasarkan maklum balas yang telah diterima dari pasaran seluruh dunia, Kia telah melancarkan varian yang lebih ‘sporty’ dengan pakej GT-Line.
Dari segi luaran, pakej GT-Line yang telah diperkenalkan kepada model Picanto ini merangkumi gabungan bampar depan dan belakang yang moden lebih-lebih lagi dengan tambahan jalur merah yang menyerlahkan lagi reka bentuk Kia Picanto GT-Line. Ia juga telah dipasangkan dengan rim 16-inci dan juga sistem ekzos kembar.
Dari segi penjanaan kuasa, Kia Picanto GT-Line 2019 didatangi dengan enjin 1.2-liter Kappa II empat silinder yang mampu menjana 82hp pada 6,000rpm dan 122Nm tork maksimum serendah 4,000rpm. Segala kuasa dihantar ke tayar hadapan melalui sistem transmisi automatik empat-kelajuan.
Bahagian dalaman juga telah mengikuti tema GT-Line dengan gabungan kulit berwarna hitam dan merah pada semua tempat duduk dan juga roda stereng. Picanto GT-Line ini juga didatangi dengan paparan skrin sentuh 7-inci dengan DRS (Radio Data System) dan DAB (Digital Audio Broadcast). Ia juga mempunyai Apple CarPlay dan Android Auto bersama sistem kawalan suara.
Ciri-ciri keselamatan yang telah dipakejkan dalam Kia Picanto GT-Line 2019 adalah:
- 6 beg udara
- ABS with Electronic Brakeforce Distribution (EBD)
- Brake-Assist System (BAS)
- Electronic Stability Control (ESC)
- Vehicle Stability Management (VSM)
- Forward Collision-Avoidance Assist (FCA)
- Hill-start Assist Control (HAC)
- Emergency Stop Signalling (ESS)
- Tyre Pressure Monitoring System (TPMS)
Naza Kia Malaysia masih belum mengeluarkan harga bagi varian GT-Line tetapi berdasarkan model asas yang berharga RM50,308 (harga atas jalan tanpa insurans), kami mengjangkan varian Picanto GT-Line akan tidak lari jauh dari harga ini. Untuk maklumat lanjut, layari www.kia.com/my.