Aprilia RS 660 Concept Diperkenalkan Di EICMA 2018

  • Kami telah melaporkan desas-desus mengenai Aprilia sedang membangunkan sebuah motosikal kelas pertengahan dua silinder.
  • Model Aprilia RS 660 Concept telah diperkenalkan di acara EICMA 2018.
  • Enjinnya adalah sebuah enjin ‘parallel-Twin’ yang berasaskan model RSV4 1100/Tuono 1100 V4.

Kami telah menyiarkan laporan mengenai khabar angin yang mengatakan Aprilia sedang membangunkan sebuah motosikal kelas pertengahan dua silinder pada bulan Ogos yang lalu, berdasarkan satu laporan oleh Asphalt & Rubber. Dan kini ternyata mereka mempunyai jaringan risikan yang amat bagus sekali, kerana Aprilia telah memperkenalkan model Aprilia RS 660 Concept di acara pertunjukan EICMA 2018.

Khabar Angin Mengenai Motosikal Supersport Kelas Pertengahan Dua Silinder Aprilia Tampak Semakin Benar

Seperti mana yang telah kita sedia maklum dari desas desusnya itu, enjinnya berdasarkan kepada enjin model RSV4 1100/Tuono 1100 V4 yang telah lama berkhidmat, kecuali untuk dua silinder belakangnya. Pengecualian bahagian belakang silinder ini menjadikan enjin RS 660 sebuah enjin ‘parallel-Twin’.

Kebenaran Mengenai Enjin Parallel-Twin

Pasaran kita mungkin mempunyai ‘tanggapan buruk’ berkenaan enjin ‘parallel-Twin’ dalam model Kawasaki ER-6 dan Versys 650 sebelum ini. Bagaimana pun, enjin ‘parallel-Twin’ adalah sebuah enjin yang lebih kompak dan ringkas berbanding enjin ‘V-Twin’. Ianya juga lebih murah untuk dihasilkan.

Sebuah enjin ‘V-Twin’ memerlukan ruang depan-ke-belakang yang lebih besar dalam kerangkanya, dan dengan itu menyebabkan lengan ayunnya dipendekkan bagi membolehkannya memperolehi jarak antara roda yang pendek. Namun begitu, lengan ayun yang lebih pendek juga akan menghasilkan lebih banyak daya tangensial dari rantai, yang mana akan menyebabkan bahagian belakangnya mendekam sewaktu pemecutan dan mengangkat roda hadapan. Ini bermakna penunggang tidak boleh memulas penuh pendikit dengan awal bagi mengelakkan motosikal tersasar sewaktu memasuki selekoh. Lihat sahajalah betapa kontotnya lengan ayun pada motosikal Ducati Panigale.

Selain itu, jika anda letakkan silinder hadapan sebuah enjin ‘V-Twin’ lebih rapat ke hadapan bagi memberikan lebih banyak beban pada roda hadapan, anda mungkin tidak dapat menggunakan sudut stereng yang luas. Seperti mana yang kita ketahui, sudut stereng yang lebih luas membantu dengan tahap kelincahan motosikal. Benar, anda boleh sengetkan silindernya ke atas. Tetapi, ini pula akan menyebabkan anda tidak mempunyai berat yang mencukupi pada roda hadapan. Selain itu, motosikal kini menjadi lebih tinggi bagi memuatkan bahagian atas penutup kepala silinder.

Sebuah enjin ‘parallel-Twin’ (atau mana-mana enjin selari) dapat menyelesaikan pelbagai masalah pempakejan. Terdapat banyak ruang di belakang silinder bagi merumahkan badan pendikit dan penyerap hentakan. Anda boleh sengetkan silindernya ke arah roda hadapan.

Antara manfaatnya adalah:

  1. Lebih banyak beban pada roda hadapan.
  2. Lengan ayun yang lebih panjang memberikannya jarak antara roda yang pendek dan pengurangan dekaman bahagian belakang.
  3. Penyerap hentakan belakang tidak terdedah dengan haba dari kepala ekzos seperti dengan enjin ‘V-Twin’ atau ‘V-Four’.
  4. Badan pendikit boleh ‘menembak’ campuran udara/bahanapi dengan lebih lurus ke dalam kebuk pembakaran.
  5. Penyejukan yang lebih cekap.

Enjin ‘parallel-Twin’ mempunyai daya penyejukan yang lebih cekap kerana kedua-dua silinder menghadap aliran udara. Sebab itulah mengapa para penunggang motosikal berenjin ‘V-Twin’ atau ‘V-Four’ terasa seperti bahagian dalam peha mereka ‘dipanggang’.

Kembali kepada RS 660, kami berharap yang Aprilia akan menggunakan penjarakan aci engkol yang berbeza berbanding sudut 180º tradisional. Engkolan 270º seperti yang ada pada Triumph Bonneville meniru sudut 90º ‘V-Twin’ dari segi gegaran enjin dan perwatakan tork.

Aprilia inginkan sebuah motosikal kelas pertengahan yang kompak, ringan, dan lincah, dan dengan itu, sebuah enjin ‘parallel-Twin’ cukup sesuai sekali untuk tugas ini. Aprilia telah mereka bentuk motosikal konsep RS 660 mirip jentera perlumbaan 250cc mereka. Kerangka aluminium (digilap) motosikal ini menggunakan enjinnya sebagai ‘stressed member’. Lengan ayunnya juga buatan aluminium dan melengkung melewati ekzos di sebelah kanan. Terdapat ruang bagi penyerap hentakan untuk dipaut terus kepada lengan ayun dalam posisi tengah.

Aprilia juga telah memperkenalkan konsep Aprilia Active Aerodynamics (A3) dengan model RS 660 ini. Bak namanya itu, motosikal ini mempunyai kebolehan untuk mengubah profil aerodinamik hadapannya mengikut jumlah ‘downforce’ yang dikehendaki.

Aprilia mengatakan bahawa model RS 660 akan dihasilkan untuk Eropah, Amerika dan Asia.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]