KTM 790 Adventure 2019 dan KTM 790 Adventure R 2019 Dilancarkan

  • Motosikal KTM 790 Adventure 2019 dan KTM 790 Adventure R 2019 telah dilancarkan.
  • Model asasnya itu lebih sesuai untuk kegunaan jalan raya manakala varian R adalah untuk penunggangan ‘off-road’.
  • Model-model ini telah diperkenalkan di pertunjukan EICMA 2018.

Motosikal KTM 790 Adventure 2019 dan KTM 790 Adventure R 2019 telah pun diperkenalkan di acara pertunjukan EICMA.

Kedua-dua buah model ini telah berada dalam fasa pembangunan buat beberapa ketika, di mana KTM telah melancarkan model 790 Duke terlebih dahulu.

Kedua-dua model ini adalah varian yang berkongsi spesifikasi asas yang sama. Bagaimana pun, model 790 Adventure yang asas lebih sesuai untuk digunakan atas jalan raya, manakala bagi motosikal 790 Adventure R pula bagi penunggangan ‘off-road’ yang lasak.

Dan seperti mana dengan mana-mana motosikal KTM, ianya dilengkapi dengan pelbagai jenis perincian, dan di sini kami bawakan yang paling anda ingin ketahui. Enjinnya menghasilkan 94hp dan 88Nm. Kuasa enjin dikurangkan sebanyak 11hp berbanding enjin model 790 Duke, kerana ianya ditala untuk tebaran tork yang lebih luas dan bukannya kelajuan semata-mata.

Motosikal 790 Adventure asas menggunakan fork WP APEX 43mm dan penyerap hentakan belakang WP, memberikan ruang gerak sebanyak 200mm di kedua-dua bahagian hadapan dan belakang. Bagi varian 790 Adventure R pula, ianya dilengkapi dengan fork WP XPLOR dan penyerap hentakan belakang WP, kedua-duan dengan ruang gerak sehingga 240mm bagi memberikannya kelegaan tanah yang lebih banyak. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan roda hadapan 21 inci dan roda belakang 18 inci.

Selain itu, pelana model asas adalah pelana dua tempat duduk rata, manakala bagi model R pula didatangkan dengan aturcara dwi-pelana bertingkat.

Bagi kelengkapan elektronik pula, kedua-dua buah motosikal ini menggunakan IMU (Inertial Measurement Unit) untuk Cornering ABS sensitif sudut condong dan kawalan cengkaman. ABS-nya boleh dimatikan atau hanya untuk roda belakangnya.

Terdapat tiga mod penunggangan standard, beserta dengan mod “Rally” tambahan. Mod Rally adalah kelengkapan pilihan tambahan bagi model asas dan standard bagi model R.

Penggayaannya memberikan motosikal ini rupa bentuk sebuah jentera perlumbaan Rali Dakar dan didatangkan dengan lampu hadapan LED terbahagi dua.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]