MotoGP 2018: Bagaimanakah Prestasi Hafizh Syahrin Setakat Ini?

  • Dengan berbakikan tiga lagi pusingan MotoGP dalam musim 2018 ini, kita menyingkap kembali prestasi penunggang kebanggaan negara, Hafizh Syahrin.
  • Hafizh menamatkan perlumbaan di Motegi, Jepun, dalam kedudukan 10 teratas dan kini sedang sengit dalam pertarungan untuk memenangi takhta “Rookie of the Year”.
  • Dia hanya ketinggalan sebanyak 4 mata di belakang penunggang rookie Itali dan juga bekas penunggang bagi VR46 Academy, Franco Morbidelli.

Para peminat MotoGP pastinya sudah sedia maklum yang penunggang bagi pasukan pengilang Repsol Honda, Marc Marquez telah berjaya merangkul kejohanan dunianya yang kelima dalam kelas premier setelah memenangi perlumbaan di halaman Honda. Kami telah pun meliputinya sebelum ini dan pada masa ini, kami lebih tertarik akan prestasi penunggang kebanggaan negara kita, Hafizh Syahrin, dalam kelas premier ini setakat ini.

Bagi meringkaskan musim ‘rookie’ Hafizh Syahrin dalam kelas premier MotoGP setakat ini, dia kini sedang menduduki tangga ke-17 dengan 34 mata. Daripada 24 orang penunggang tetap di dalam kelas ini, penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3 ini, buat masa ini, menduduki tempat yang lebih tinggi berbanding penunggang berprofil lebih tinggi seperti Aleix Espargaro, Scott Redding, dan lain-lain. Diingatkan bahawa para penunggang berkenaan semuanya mengemudi jentera pengilang penuh berbanding dengan jentera Yamaha YZR-M1 yang agak tua dalam pasukan satelit.

Dalam musim 2018, ada lima orang penunggang rookie dalam kelas premier ini, dan penunggang kebanggaan kita ini sedang dalam persaingan untuk memperolehi takhta “Rookie of the Year”. Satu-satunya penunggang yang menjadi penghalangnya adalah penunggang berusia 23 tahun dari Itali dan juga ‘protégé VR46 Academy (yang ditubuhkan oleh Valentino Rossi), Franco Morbidelli.

Morbidelli yang menunggang bagi pasukan Marc VDS kini dalam pertarungan yang sengit dengan Hafizh Syahrin, Selepas hujung minggu ini di mana Hafizh berjaya mencapai kedudukan terbaik dalam kejohanan musim ini dengan P10, dia kini hanya 4 mata di belakang penunggang Itali muda yang amat berbakat tersebut. Ianya satu jurang amat kecil memandangkan masih ada tiga lagi pusingan dan 75 mata maksimum yang boleh diperolehi.

Kita dapat lihat yang prestasi Hafizh yang agak baik di atas jentera Yamaha YZF-M1 dan menentang Honda RC213V yang ditunggang oleh Franco Morbidelli, ianya sudah pasti satu pertarungan yang sengit bagi menggondoli takhta penunggang rookie terbaik pada musim 2018 ini. Berita baiknya adalah pusingan MotoGP Malaysia bakal menjelma dalam masa dua minggu dan di sinilah kelebihan tuan rumah akan memberi manfaat dalam usaha Hafizh untuk mengatasi Morbidelli dalam tangga kejohanan.

Sudah pasti ke semua peminat negara akan menyokong Hafizh Syahrin sepanjang perjalanannya, di mana ianya sudah pasti akan bertambah cerah kerana dia telah pun melanjutkan lagi masanya dalam MotoGP selepas menandatangani perjanjian baharu dengan pasukan Tech 3. Bukan setakat itu sahaja, dia juga bakal mengemudi jentera spesifikasi pengilang, KTM RC16 (yang kami harap bertambah baik pada musim 2019).

Bersiap sedialah, tuan-tuan dan puan-puan. Musim MotoGP 2018 masih lagi belum berakhir dan nampak gayanya, peluang Hafizh Syahrin mendapat takhta “Rookie of the Year 2018” tampak amat cerah sekali. Walaupun sekiranya dia tidak berjaya merangkul takhta ini, kita semua sedia maklum bahawa dia adalah seorang penunggang yang hebat, yang telah mengharumkan nama negara. Semoga berjaya Hafizh!

Sumber imej: MotoGP

Menangi Tiket MotoGP Sepang 2018 Dari Ducati Malaysia!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]