Konvoi Modenas Dominar 400 Ke Kuantan – “When Life’s A Beach”

  • Konvoi Modenas Dominar 400 yang terkini menuju ke Kuantan, Pahang.
  • Ianya merupakan konvoi bermalam pertama dalam siri tunggangan ini.
  • Turut diadakan aktiviti pencarian harta karun dan berhimpun mengelilingi unggun api.

Modenas telah menganjurkan satu lagi konvoi buat pemilik Modenas Dominar 400, untuk kali ini mereka menuju ke Kuantan, Pahang.

Konvoi ini juga sebahagian daripada inisiatif #motography Bajaj dan #motographymalaysia Modenas. Projek ini bertujuan bagi mengumpulkan gambar-gambar destinasi penunggangan terbaik di seluruh dunia hasil ciptaan pemilik Dominar sendiri; bertepatan dengan label motosikal sport tourer yang diberikan kepada model Dominar 400.

Terdapat pelbagai perbezaan bagi konvoi kali ini. Ini merupakan konvoi bermalam yang pertama, dengan pelbagai aktiviti sukaneka yang disediakan beserta unggun api di tepi pantai.

Dua puluh orang peserta, kru bantuan, marsyal, serta wakil dari Bajaj Auto berkumpul di ibu pejabat Modenas di Glenmarie pada awal pagi Sabtu untuk sarapan ringan. Seorang wakil dari Bajaj telah memberikan sepatah dua kata sebelum taklimat keselamatan.

Hujan renyai mengiringi perjalanan kami meninggalkan ibu pejabat Modenas. Hujan lebat yang turun sepanjang minggu lalu di seluruh negara tidak syak lagi berada di fikiran kami semua. Jalan raya masih lagi basah dari hujan yang turun lewat malam.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Lebuhraya Karak dari Glenmarie. Trafik telah mulai sesak walaupun ianya baru jam 9 pagi. Mujur tiada kumpulan besar penunggang hujung minggu yang lain di Lebuhraya Karak pada hari tersebut.

Kami membuat isian semula di stesen minyak Shell di Lebuhraya Karak sebelum keluar dari lebuh raya menuju Lancang. Dari situ kami terus menuju ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah bagi hentian #motography yang pertama.

Para peserta telah mengambil peluang ini untuk meluangkan masa bersama gajah-gajah yang ada, namun, kami tidak dibenarkan membawa masuk motosikal untuk menangkap gambar. Masuk adalah percuma, namun, para pengunjung dapat menyumbang sebarang jumlah yang diinginkan.

Para pengunjung boleh membeli seikat tebu pada harga RM3 untuk diberikan kepada gajah. Terdapat dua seksyen, satu untuk gajah yang muda dan masih bayi. dan satu lagi untuk gajah dewasa.

Tanpa adanya bantuan pemandu, kami hanya dapat mengandaikan yang gajah-gajah tersebut telah diselamatkan dan/atau dibawa masuk untuk rawatan. Seekor gajah bayi ada tongkat di kakinya, seekor gajah dewasa pula mempunyai kecacatan di kakinya. Cukup menyayatkan hati melihat kecederaan yang telah menimpa mereka, namun kami berasa senang hati melihat mereka dijaga dengan baik sekali.

Selepas itu, para renjer telah membawa tiga ekor gajah dewasa berjalan-jalan di sekeliling pusat penjagaan tersebut.

Kami meninggalkan tempat penjagaan tersebut dan memasuki semula Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dan berhenti di kawasan R&R Gambang untuk isian semula.

Kami tiba di Hotel Mandurah di tepi pantai tepat pada waktu makan tengah hari dan pendaftaran masuk. Hotel tersebut menyajikan makan tengah hari di teres pinggir laut dan udara nyaman laut memberikan kelegaan selepas menunggang di bawah terik mentari.

Satu pencarian harta karun telah diadakan di sebelah petang. Kakitangan hotel telah melakukan tugas yang hebat dalam menjayakannya. Mereka juga turut menyediakan penghalau nyamuk untuk keselesaan kami. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka perlu menyelesaikan teka-teki, berlari di atas pasir pantai, melakukan tekan tubi, “commando crawl”, dan mengorek pasir mencari ‘harta karun’ mereka. Para pemenang telah menerima hadiah wang tunai RM100 setiap seorang.

Para nelayan mulai pulang dari laut sewaktu pencarian harta karun ini diadakan.

Makan malam sekali lagi disajikan di teres pinggir laut, diiringi alunan kugiran tiga pemuzik yang mendendangkan lagu-lagu popular. Kakitangan hotel mula menyalakan unggun api di atas pantai pada ketika ini.

Kami mulai berhimpun di sekeliling unggun api sewaktu Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Encik Amirudin Abdul Kadir memberikan ucapan. Para peserta juga telah mengajukan soalan-soalan mengenai motosikal mereka kepada kru Modenas dan wakil Bajaj.

Kami bangun pada awal pagi keesokan harinya untuk sarapan pagi dan mendaftar keluar sebelum memulakan perjalanan pulang. Namun, sebelum itu, kami telah menuju ke Cherating untuk hentian #motography yang kedua. Kakitangan hotel juga turut sama membantu pada waktu ini. (Kami syorkan anda menginap di Hotel Mandurah sekiranya anda merancang untuk melawat kawasan pinggir pantai Kuantan.)

Cherating hanyalah sejauh kira-kira 30km dari hotel yang telah kami inapi, namun, trafik dan keadaan jalan raya (termasuklah bahagian yang ditenggelami air) memaksa kami menunggang dengan (amat) perlahan. Para peserta diberikan masa selama 30 minit bagi mencari tempat yang bersesuaian untuk sesi fotografi masing-masing.

Sesudah sesi penggambaran, kami menunggang pulang melalui LPT.

Tetapi para penunggang perlu berwaspada! Lebuh raya ini amat lurus sekali sehinggakan para pemandu kereta sering kali memandu laju di sini, membuatnya seperti Litar Antarabangsa Sepang. Mereka cukup tidak sabar sehinggakan mereka sanggup memotong di laluan kecemasan (video tersebut akan menyusul.

Kami berhenti di kawasan R&R Gambang untuk isian semula dan memutuskan yang konvoi ini mengikut format “free and easy” berbanding konvoi untuk keselamatan dan mengelakkan daripada melengahkan trafik sewaktu kami memintas kenderaan lain secara beramai-ramai.

Kami berhimpun untuk kali terakhir di kawasan Rawat dan Rehat Genting Sempah sebelum berpisah menuju destinasi masing-masing.

GALERI GAMBAR

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]