Triumph Thruxton R Binaan Hedonic – “Amazing”

  • Pembina motosikal buatan khas dari Perancis, Hedonic, telah mengkhususkan motosikal Triumph Thruxton R yang diberi nama “Amazing”.
  • Bahagian badan dan komponennya telah dihasilkan daripada bahan aluminium yang dibuat sendiri.
  • Bahagian badan aluminium yang digilap itu menyerlahkan lagi bekas perumah enjin motosikal ini.

Kami telah merumuskan bahawa motosikal Triumph Thruxton R adalah motosikal café racer pengeluaran yang paling menyeronokkan setelah menunggang ujinya. Kami juga mengatakan yang ianya teramatlah menawan, lebih-lebih lagi setelah dilengkapi dengan pilihan tambahan reraup “bullet”. Ia paling hampir dengan apa yang boleh anda gambarkan sebagai ‘kesempurnaan’. Tetapi, Hedonic merasakan yang ianya boleh dipertingkatkan lagi sewaktu mereka mengkhususkan motosikal Thruxton R ini.

Triumph Thruxton R Test & Review

Di bengkel Hedonic, warga Perancis, Serge Heitz, bersama dengan pasukan ahli tukangnya, akan membina sebarang motosikal buatan khas berdasarkan tempahan dan motosikal Spirit Racer Thruxton R ini telah mempamerkan kebolehan mereka.

Hedonic adalah satu nama yang agak baharu dalam perusahaan pembinaan motosikal buatan khas. Serge telah menjalankan perusahaan ini atas sebab minat mendalamnya terhadap kereta, bot, dan motosikal, walaupun tidak semestinya dalam aturan tersebut. Di mana motosikal Spirit Racer telah direka dan dibina oleh Hedonic secara sepenuhnya, pelanggan diberikan peluang untuk terlibat secara langsung dalam proses rekaan supaya mereka boleh membangunkan motosikal unik mengikut citarasa masing-masing.

Diberi nama “Amazing”, motosikal Triumph Thruxton R binaan Hedonic ini memperagakan kemahiran pembinanya dalam pembentukan keluli. Tangki bahanapi, reraup, dapra, pelitup bahagian bawah dan sisi, ke semuanya telah dibina oleh mereka sendiri bagi menghiasi susuk motosikal ini. Mereka telah meluangkan lebih daripada 150 jam dalam pembentukan komponen aluminium yang mana kemudiannya telah digilap.

Model Thruxton R telah dilengkapi dengan sepasang fork Showa BFF yang cukup mengagumkan, namun, Hedonic memutuskan untuk melengkapkannya dengan fork dari motosikal Yamaha YZF-R6 kerana ianya lebih pendek. Rodanya berdiameter 16 inci dan dilitupi dengan tayar Firestone bergaya klasik. Brek standardnya dikekalkan.

Palang pemegang ‘clip-on’ telah dihasilkan khusus untuk diterapkan bersama silinder utama brek, kabel klac, dan tuil songsang.

Kokpitnya terdiri daripada tolok Motogadget tunggal, butang pencucuhan dan laras pencucuhan. Lampu amaran telah dipindahkan ke gugusan suis sebelah kiri.

Hedonic mengemaskan binaan ini dengan sistem ekzos buatan khas yang telah mereka hasilkan sendiri bagi mempertingkatkan lagi deraman motosikal Thruxton R ini.

Sumber imej: Return of the Cafe Racer

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]