Triumph Street Twin 2019 Dilancarkan di Intermot

  • Triumph Street Twin 2019 menyaksikan motosikal berkenaan dikemaskini dengan spesifikasi yang lebih mengancam.
  • Kini ia hadir dengan lebih kuasa, pengendalian yang lebih baik, serta kelengkapan baharu.
  • Perincian dan kemasan baharu akan menjadikan motosikal baharu ini tampak lebih anggun.

Triumph telah melancarkan model Street Twin 2019 yang dikemaskini, sewaktu pertunjukan motosikal Intermot di Cologne, Jerman.

Model Street Twin yang sedia ada adalah sebuah motosikal yang cukup menyeronokkan untuk ditunggang dan tidak dinafikan adalah salah sebuah motosikal kegemaran penulis. Daya tarikannya terletak pada keringkasannya, dan dengan itu, mudah digunakan dan aksesibiliti buat rangkaian luas penunggang. Tiada sebarang rungutan yang serius dari penunggangnya, namun begitu, kita boleh sahaja mempertingkatkannya dengan lebih banyak kuasa.

ENJIN

  • Enjin ‘parallel-Twin’, 900cc motosikal Triumph Street Twin 2019 ini telah ditala bagi menghasilkan sehingga 18% lebih kuasa, meningkatkannya dengan lebih tepat lagi kepada 64hp.
  • Tork maksimum kekal pada tahap 80Nm.
  • Rev maksimumnya telah ditingkatkan sejajar dengan penambahan kuasanya itu, iaitu sebanyak 500rpm, menjadi 7,500rpm untuk kelenturan lebih tinggi antara tork maksimum dan kuasa kuda maksimum.

  • Ini bermakna anda boleh merasakan kuasa motosikal ini meluru pantas ke hadapan setiap kali anda memulas pendikitnya tanpa perlu kerap menukar ke gear yang lebih rendah.
  • Penutup ‘cam’ adalah buatan magnesium, manakala bahagian klac dan penutupnya telah dikurangkan beratnya.
  • Selain daripada ke semua ini, aci engkolnya, aci mati, dan aci pengimbangnya juga telah dikurangkan berat.

  • Klacnya telah digantikan dengan jenis bantuan tork bagi meringankan daya usaha penggunaan tuil (ia juga sepatutnya melembutkan ‘back torque’ enjin berkenaan).
  • Dari segi elektronik, kawalan cengkaman dan ABS datang sebagai kelengkapan standard.

KEMASAN/PERINCIAN

Versi 2019 ini dari pandangan kasarnya mungkin nampak seperti tidak berubah, namun, jika diteliti dengan lebih rapat, anda akan dapati pelbagai perincian baharunya.

  • Daya hentinya kini ditangani oleh angkup 4 omboh Brembo baharu bagi daya henti yang lebih besar.
  • Forknya kini mempunyai masukan kartrij untuk pengendalian dan maklum balas yang lebih baik.

  • Roda aluminium tempanya juga kelengkapan yang baharu.
  • Pelana baharu lengkap dengan material baharu dan pelapik yang lebih tebal untuk keselesaan tambahan.

  • Perincian yang anggun dapat dilihat di keseluruhan motosikal dari tolok kelajuan tunggal yang besar, pendakap lampu hadapan aluminium yang disadur, kemasan cat dan perincian keseluruhan pada enjin dan bahagian-bahagian lain.

“INSPIRATION KITS”

Triumph juga turut melancarkan dua “inspiration kits” dengan motosikal Street Twin 2019 ini.

  • Yang pertama, bergelar Urban Ride ‘membogelkan’ motosikal standard tersebut dan melengkapkannya dengan pelana warna perang, pelindung tadahan minyak hitam, kit penanggal dapra, penutup tangki dan pelindung masukan berwarna hitam, pannier kapas berlilin, dan lampu isyarat LED.

  • Kit yang kedua, bergelar Café Custom, menukarkan motosikal ini menjadi café racer dengan paip ekzos Vance & Hines, penyerap hentakan Fox, kit penanggal dapra belakang, pelitup enjin berwarna hitam dan lampu isyarat LED.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]