- Ana Carrasco telah menjuarai kejohanan World Supersport 300 (WorldSSP300) 2018.
- Dia menempah sejarah sebagai juara wanita pertama dalam sukan perlumbaan motosikal.
- Dia telah menggondoli kejohanan ini dengan beza hanya sebanyak satu mata dengan pencabar terdekatnya, Mika Perez.
Selain daripada kemenangan takhta kejohanan Superbike World Championship buat kali ke-empat berturut-turut bagi Jonathan Rea di Magny-Cours, Perancis, yang telah mencipta sejarah, satu lagi sejarah telah ditempa dalam kategori World Supersport 300 (WorldSSP300), apabila Ana Carrasco telah ditabalkan sebagai juara.
Dan dengan itu, Carrasco berjaya menjadi penunggang wanita pertama yang berjaya merangkul kejohanan dalam mana-mana kelas perlumbaan motosikal di peringkat antarabangsa.
Gadis kelahiran Sepanyol ini telah memenangi kejohanan di pusingan akhir WSSP 300 dengan mengatasi pencabar terdekatnya, Mika Perez, dengan perbezaan hanya sebanyak 1 mata. Perez telah mendahului perlumbaan sehingga pusingan akhir perlumbaan, sehinggalah dia kehilangan kedudukan tersebut swaktu perlumbaan berbakikan dua selekoh sahaja.
Konsistensi penunggang berusia 21 tahun tersebut bersama dengan pasukannya itu, DS Junior Team, telah membuahkan hasil. Mereka telah memenangi dua perlumbaan (di Imola dan Donington Park) dan menamatkan perlumbaan di dalam kelompok 10 Teratas sebanyak enam kali, manakala pencabar yang lain tidak mempamerkan prestasi yang konsisten dalam keputusan perlumbaan mereka.
Memasuki pusingan yang terakhir ini, dia mempunyai kelebihan sebanyak 10 mata di hadapan salah seorang pesaing utama, yang juga teman sepasukannya dan dia menunggang dengan stabil untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-13, dan memenangi kejohanan dengan perbezaan 1 mata di atas jentera Kawasaki Ninja 400nya.
Carrasco mendedikasikan takhta kejuaraannya itu kepada mendiang Luis Slalom, pelumba Moto 2. Luis adalah teman rapatnya dan juga merupakan sepupu pengurus pasukannya, David Slalom.
“Saya ingin mendedikasikan kejuaraan ini buat Luis Slalom. Pada hari kami kehilangannya, saya berjanji akan mendedikasikan kejohanan pertama saya untuknya. Pada tika ini, saya berasa amat gembira kerana kami telah mencapai matlamat kami, namun, saya tidak menyedari langsung tentang perkara menjadi wanita pertama dalam sejarah ini. Saya rasa dalam masa beberapa hari saya akan lebih sedar akan hakikat ini,” ujar juara baharu itu.