- Tunggangan Modenas Dominar D400 “Explore the Unexplored” kali kedua telah berlangsung sewaktu hujung minggu Hari Malaysia yang lalu.
- Perjalanan kali ini adalah dari Juru Autocity menuju ke Taiping dan berakhir di Belum Rainforest Resort.
- Konvoi ini juga adalah sebahagian daripada projek #motography global dan projek #motographymalaysia tempatan.
Tunggangan Modenas Dominar D400 “Explore the Unexplored” buat kali kedua telah diadakan pada hujung minggu Hari Malaysia (17 September 2018) yang lalu, selepas tunggangan edisi pertama yang berlangsung dengan jayanya pada 19 Ogos 2018 yang lalu.
Di mana konvoi kali pertamanya itu bermula dari Ibu Pejabat Modenas di Glenmarie, Shah Alam, Selangor, dan menuju ke Ipoh, Perak, untuk tunggangan kali kedua ini, ianya meliputi perjalanan dari Juru Autocity, Pulau Pinang, menuju ke Belum Rainforest Resort, Perak.
Dan seperti mana dengan tunggangan “Explore the Unexplored” sebelum ini, aktiviti ini adalah khusus untuk pemilik motosikal Modenas D400, kerana motosikal itu dikelaskan sebagai sebuah motosikal sport-tourer. Kuasa dan tork yang dihasilkan oleh enjin sejukan cecair, 373cc dan ciri ergonomiknya itu membolehkan motosikal ini ditunggang ke merata-rata tempat.
Konvoi ini juga merupakan sebahagian daripada projek #motography Modenas/Bajaj, di mana gambar-gambar tempat tumpuan yang menarik akan dikongsi oleh para pemilik Dominar D400 secara global, dan dengan itu membentuk satu travelog buat para pemilik yang ingin mengunjungi tempat-tempat ini sekiranya mereka ingin menunggang ke negara-negara yang lain. Para pemilik Malaysia telah memuat naik gambar mereka dengan tanda pagar #motographymalaysia.
Konvoi kali kedua ini bermula dengan pendaftaran penunggang dan sarapan pagi pada jam 6.30 pagi di Restoran Nasi Kandar Pelita di Juru Autocity. Kumpulan kali ini ternyata lebih ramai, terdiri daripada 25 orang peserta. Modenas telah memaklumkan kami bahawa para penunggang yang menyertai tunggangan kali ini adalah dari negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia, dan mereka berasa amat teruja dapat mengambil bahagian dalam tunggangan kali ini.
Satu taklimat telah diberikan oleh Ketua Marsyal mengenai laluan, aktiviti, sebarang kemungkinan halangan dan etika penunggangan berkumpulan. Modenas telah menyediakan kakitangan teknikal dan dua buah kenderaan empat roda sebagai kumpulan sokongan.
Tunggangan ini bermula pada jam 7.30 pagi dan menuju ke bandar Taiping yang bersejarah. Konvoi ini bergerak dalam formasi yang kemas di atas Lebuhraya PLUS, mematuhi had laju dan bertindak dengan cermat untuk tidak mengganggu trafik.
Mereka terus menuju ke Taiping Lake Gardens untuk hentian #motographymalaysia yang pertama. Para pemilik dibenarkan untuk meneroka tempat di sekitar Lake Gardens ini bagi mendapatkan gambar Dominar D400 mereka yang terbaik.
Tidak lama selepas itu, para peserta telah menunggang menuju ke Kuala Kangsar, melalui Grik, dan berhenti di Belum Rainforest Resort untuk makan tengah hari, hentian #motographymalaysia yang kedua dan juga aktiviti riadah dan permainan.
Seperti mana dengan hentian pertama mereka di Taiping, para peserta telah keluar untuk sesi fotografi sesudah makan tengah hari. Mereka kembali semula untuk permainan kemahiran menunggang penunggang paling perlahan, dan juga melambung dan menangkap semula belon berisi air.
Kumpulan ini kemudiannya membawa haluan masing-masing dari Grik.
GALERI GAMBAR