Demak (DNC Asiatic) Memasuki Fasa Receivership, Menimbulkan Lebih Banyak Tanda Tanya

  • Demak (DNC Asiatic) kini telah memasuki fasa ‘receivership’ apabila Maybank cuba mendapatkan semula hutang yang telah mereka berikan.
  • Ianya kini diketahui bahawa dua orang pengarah serta pengurus besar kilang di banting tidak dapat dikesan.
  • Demak telah mengaut keuntungan sejak lima tahun yang lalu, walaupun memiliki beberapa buah liabiliti.

Kami telah melaporkan pada bulan Mei yang lalu bahawa DNC Asiatic, pengilang dan pengedar motosikal Demak telah menghentikan operasi kilang dan pusat perkhidmatan mereka, termasuklah bilik pameran dan bengkel MV Agusta.

Penutupan Demak: Apakah Yang Sebenarnya Telah Terjadi Kepada Pembina Motosikal Malaysia Ini?

Bagaimana pun, tiada siapa yang mampu memberikan sebab mengapa syarikat berkenaan berhadapan dengan masalah dengan begitu pantas sekali, setelah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan, terutamanya selepas pembukaan bangunan pejabat dan kilang baharu di Banting, Selangor. Ketiadaan jawapan yang muktamad menandakan permulaan spekulasi yang berleluasa.

Kini, nampaknya ada satu pendedahan yang telah dilakukan. Akhbar The Edge baru-baru ini telah melaporkan yang syarikat tersebut telah memasuki fasa ‘receivership’ sebagai DNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd., apabila Maybank cuba mendapatkan semula hutang yang telah mereka berikan.

The Edge menemui bahawa operasi terhenti di kedua-dua kilang di Banting dan Kuching sejak dua bulan yang lalu, berikutan keghaiban dua orang pengarah DNC Asiatic serta pengurus besar, sejak enam bulan yang lalu.

Akhbar kewangan itu juga telah memeriksa dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengenal pasti pemegang saham syarikat berkenaan, yang mana mereka adalah Gao Rong (70%), Dato’ Seri Feona Sim @ Norjanah. Pengarah syarikat tersebut adalah Gao, Sim, Sharifah Nong Jasima Syed Junaidi, dan Hu Ying. Lim Boo Hing memegang jawatan sebagai setiausaha syarikat merangkap Pengurus Besar di kilang Banting. Kedua-dua Gao dan Hu adalah rakyat China yang kini memegang kewarganegaraan Malaysia.

Menurut sumber-sumber The Edge,Gao, Hu, dan Lim tidak dapat dikesan pada waktu ini.

Dato’ Seri Feona Sim adalah isteri kepada kepada bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Sharifah adalah anak kepada pasangan ini.

Bertentangan dengan kepercayaan ramai, SSM mendedahkan yang DNC Asiatic telah menrekodkan keuntungan sejak lima tahun yang lalu. Malah, hasil keuntungan mereka telah berganda sebanyak RM195.95 juta dalam tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2016, berbanding dengan RM92.57 juta dalam tahun kewangan 2012. Seiringan dengan itu, keuntungan bersih meningkat ke RM10.73 juta bagi tahun kewangan 2016, berbanding RM8.17 juta pada tahun kewangan 2012.

Dari situ, jumlah keuntungan terkumpul DNC Asiatic adalah sebanyak RM73.38 juta dalam tahun kewangan 2016 dengan jumlah liabiliti keseluruhan sebanyak RM129.33 juta. Selain itu, menurut SSM, syarikat tersebut mungkin berhutang dengan Maybank sehingga jumlah RM54 juta, selain hutang-hutang yang lain dengan Kuwait Finance House dan Bank Islam.

Bagaimana pun, DNC Asiatic telah mengumumkan yang mereka telah memasuki pasaran Kemboja dan akan mengeskport sebanyak 25,000 buah motosikal serta alat ganti bernilai $56 juta menjelang suku kedua tahun ini. Ini adalah di samping motosikal yang telah dieksport ke Sri Lanka dan Myanmar.

Eksekutif Hu telah menyatakan yang mereka telah mula mengalihkan fokus mereka ke arah pasaran eksport, dengan separuh daripada jumlah 60,000 unit tahunan yang dikilangkan di Banting akan dieksport. Kapasiti pengilangan di kilang mereka di Kuching juga telah dilaporkan pada jumlah 60,000 setahun.

Selain itu, DNC Asiatic juga sedang dalam pembinaan kilang di Colombo, Sri Lanka, seperti mana yang telah kami laporkan sebelum ini.

Itulah laporan yang telah kami terima sebelum ini, namun, kita hanya boleh mengandaikan sahaja tentang para pengarah dan pengurus besar yang hilang buat masaini. Namun, kita kini sudah maklum bahawa pengeluarannya telah dihentikan selepas kehilangan mereka.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.