Moto2 GP San Marino 2018: Romano Fenati Membahayakan Nyawa Stefano Manzi

Fenati dan Manzi – Sumber imej: www.motorcyclesports.net
  • Aksi membahayakan nyawa yang telah dilakukan Romano Fenati ke atas Stefano Manzi sewaktu perlumbaan Moto2 GP San Marino telah berjaya dirakamkan.
  • Penunggang panas baran dari Itali itu telah bergeser dengan Stefano Manzi sewaktu perlumbaan Moto2 tersebut.
  • Fenati telah dibatalkan kelayakan perlumbaan tersebut dan telah menerima penggantungan dua perlumbaan.

Sekiranya perlumbaan Moto3 selalunya mengujakan kita, perlumbaan Moto2 pula mempunyai reputasi yang sebaliknya. Begitulah juga sewaktu perlumbaan Moto2 di GP San Marino, dengan Francesco Bagnaia jauh di hadapan tidak dicabar di perlumbaan grand prix tanah airnya. Hinggalah Romano Fenati memutuskan untuk membiarkan perasaan amarah menguasai dirinya.

Fenati sedang bertarung di kedudukan ke-15, sewaktu Stefano Manzi menyelinap ke bahagian dalamnya di selekoh belah kanan. Sewaktu Fenati membelok ke arah apeks, mereka berdua bertembung dan tersasar memasuki perangkap pasir, namun berjaya menyelamatkan keadaan.

Tampak jelas pada waktu ini yang Fenati amat berang sekali dan dia memberikan isyarat tangan ke arah Manzi.

Sewaktu kamera memfokuskan balik lensanya ke arah pendahulu perlumbaan, ianya secara tiba-tiba menukar tumpuannya ke arah pasukan Fenati yang sedang bergegas menyiapkan papan arahan yang memaklumkan bahawa penunggang tersebut telah dibatalkan kelayakan perlumbaannya. Sejurus itu, kita telah menyaksikan satu tayangan gerak perlahan memaparkan Fenati menunggang seiring dengan Manzi, dan mencapai tangan kirinya bagi menggenggam tuil brek hadapan penunggang tersebut.

https://youtu.be/t3m967W4eNo

Romano Fenati adalah seorang penunggang yang berbakat besar dan merupakan antara penunggang pertama yang dipilih oleh Valentino Rossi sendiri untuk menunggang bagi pasukan SKY Racing Team by VR46 dalam Kejohanan Moto3 pada tahun 2014 yang lalu. Dia kadang kala mampu mempamerkan prestasi yang hebat dan pada waktu yang selebihnya, sunyi. Namun, pasukan itu tetap yakin dengan bakat semulajadinya dan mengekalkannya dalam pasukan tersebut.

Pada tahun 2016, dia secara tiba-tiba digantikan pada permulaan GP Austria dan kontraknya pada baki musim itu dan tahun 2017 telah ditamatkan. Pasukan itu kemudiannya menyatakan sebab kontrak ditamatkan adalah kerana ‘isu sikap yang bertentangan dengan polisi pasukan”.

Namun begitu, Marinelli Honda memutuskan untuk mengambil peluang mereka dengan Fenati dan memberikannya kontrak untuk Moto3 musim 2017. Mereka meraih tiga kemenangan dan lima tempat ke-dua dan Fenati telah berjaya menamatkan musim tersebut di tempat ke-dua keseluruhan.

Dia kemudiannya berpindah ke kelas Moto2 pada musim ini dan sedang bergelut dengan masalah, menduduki bahagian belakang. Bagaimana pun, MV Agusta telah menandatangani kontrak bersama Fenati untuk kemunculan semula pasukan tersebut dalam kelas Moto2 pada tahun 2019.

Romano Fenati Dipilih Untuk Mengemudi Jentera Perlumbaan Moto2 MV Agusta

Pada pendapat kami, aksi sebegitu tiada tempat dalam sukan ini. Membahayakan nyawa penunggang lain adalah satu tindakan yang amat keji, lebih-lebih lagi tindakan yang selantang ini. Dorna dan FIM telah menjatuhkan hukuman penggantungan selama dua pusingan dan rata-rata peminat berpendapat yang ianya terlalu ringan. “Saya rasa dia tidak patut berlumba motosikal lagi selepas ini,” komen Cal Crutchlow mengenai insiden berkenaan.

“Dia sepatutnya balik jalan kaki sahaja ke garajnya, dan pasukannya patut berhentikannya dengan serta merta. Anda tidak boleh melakukan perkara sebegini ke atas pelumba motosikal yang lain. Sudah cukup kami memperjudikan nyawa. Benar, mungkin ada pergeseran sebelum itu, tetapi ada sahaja pergeseran yang berlaku pada bila-bila masa. Menarik tuil brek ketika laluan lurus, dia patut dipecat serta merta.” ujar Cal Crutchlow lagi.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]