- Suzuki Motorcycle Italia telah memuatnaik satu gambar model GSX-R1000 yang istimewa.
- ‘Hashtag’-nya itu tampak seperti mengandaikan yang ia akan membuat kemunculan sewaktu GP San Marino pada hujung minggu ini.
- Kami berharap yang ianya adalah model homologasi bagi siri perlumbaan WSBK musim 2019.
Suzuki Itali telah memberikan kita satu usikan dengan memuatnaik satu gambar sebuah motosikal GSX-R1000 istimewa yang diliputi dengan karbon fiber pada laman Facebook mereka beserta dengan ‘hashtag’ #spotted #staytuned #motogp #2019. Sudah pasti ia akan menghantui mimpi para penggemar Suzuki.
Ia tampak seperti sebuah model Gixxer edisi khas, berdasarkan rupa bentuknya, kerana ianya dilengkapi dengan reraup karbon, pelindung tuil, dan penghadang angin ala perlumbaan. Selain itu, berdasarkan ‘hashtag’nya itu, ia barang kali akan diperkenalkan sewaktu pusingan MotoGP San Marino pada hujung minggu ini dan merupakan model tahun 2019 berdasarkan ‘hashtag’ #2019 tersebut.
Namun, sudah semestinya ianya bukan motosikal pengilangan jumlah besar, sebaliknya ia mungkin sekali model homologasi mewah pengeluaran terhad untuk siri perlumbaan World Superbike Championship. Diingatkan yang WSBK adalah berdasarkan pengeluaran, oleh kerana itu, pengeluar perlu menghasilkan model homologasi dalam jumlah yang tertentu bagi melayakkannya menyertai siri perlumbaan tersebut. Dan kerana kejohanan ini berdasarkan pengeluaran, ini juga bermakna yang jentera perlumbaan perlulah hampir mirip dengan motosikal yang boleh dibeli oleh orang awam, jadi para pengilang akan menghasilkan model istimewa ini sehampir boleh dengan spesifikasi perlumbaan. Sebagai contoh: model Kawasaki Ninja ZX-10RR 2019 akan dilengkapi dengan palang penyambung titanium dan aktuasi injap ‘finger follower’.
Pengeluar yang lain juga telah menggunakan cara ini, contohnya, Ducati 888 SPS, Ducati 916 SP/SPS, Ducati 1199 Panigale R, Yamaha YZF-R1M, Aprilia RSV4 APRC Factory, Kawasaki Ninja ZX-10RR, Honda CBR1000RR Fireblade SP2, dan sebagainya.
Harap-harapnya dapatlah Suzuki mengilangkan model istimewa ini, dan bukannya sebuah model istimewa yang tunggal untuk GP San Marino dan merampas semula kejuaraan World Superbike Championship, seperti mana yang telah mereka lakukan pada tahun 2005 dengan Troy Corser.