GP British 2018 telah dibatalkan akibat sistem saliran yang kurang memuaskan dan lapisan asfalt baharu di Litar Silverstone.
Perlumbaan kelas Moto3 dan Moto2 yang sepatutnya berlangsung sejurus selepas perlumbaan MotoGP juga terpaksa dibatalkan.
Ini merupakan pembatalan perlumbaan pertama dalam 38 tahun.
Anda mungkin tercari-cari akan keputusan perlumbaan GP British yang sepatutnya berlangsung semalam dan mendapati tajuk utamanya ialah “GP British Dibatalkan”. Walau apa pun jua yang telah dikatakan oleh pelbagai, apa yang pasti ianya berpunca dari sistem saliran dan lapisan asfalt baharu di Litar Silverstone tersebut.
Ini merupakan pembatalan perlumbaan pertama sejak GP Austria pada tahun 1980.
Bagi para peminat MotoGP yang telah menghabiskan masa berjam lamanya di litar tersebut di bawah hamburan hujan dan dalam kesejukan, satu-satunya aksi yang dapat mereka saksikan adalah sewaktu ‘Safety Car’ dan kenderaan ‘sweeper’ membuat pusingan dalam litar, dalam usaha mereka untuk mencuba menyelamatkan perlumbaan tersebut.
Benar, perlumbaan dalam cuaca yang basah sudah biasa dilaksanakan sebelum ini, namun, keadaan litar semalam ternyata agak berbeza. Pihak pengurusan Litar Silverstone telah mencuba sedaya upaya menurap kembali litar bagi memberikannya permukaan perlumbaan yang lebih konsisten, namun, ia tidak semena-mena menyebabkan litar itu lebih beralun. Telah timbul video gerak perlahan menunjukkan motosikal Marc Marquez melantun-lantun sewaktu menangani satu selekoh sewaktu satu pusingan latihan, yang mana ianya tidak pernah berlaku sebelum ini.
Tidak cukup dengan itu, ada pula hujan yang tidak henti-henti. Ia bukanlah hujan yang paling lebat pernah kita saksikan dalam sejarah MotoGP – rekod itu masih dipegang di Litar Antarabangsa Sepang. Namun begitu, air hujan mulai bertakung di atas litar Silverstone atas sebab sistem saliran yang kurang berkesan.
Perlumbaan telah dicepatkan ke 11.30 pagi (waktu tempatan), 90 minit lebih awal namun hujan telah mulai turun di pertengahan waktu latihan Moto3. Ianya kemudiannya dijadualkan untuk bermula pada jam 2 petang tetapi sekali lagi terpaksa ditunda. Pada jam 4 petang, Dorna, IRTA, dan para penunggang serta pasukan memutuskan untuk membatalkan perlumbaan. Ianya disebabkan kerana terlalu banyak air yang bertakung di atas litar.
Bagi perlumbaan kelas Moto3 dan Moto2 yang telah ditetapkan untuk menyusul selepas perlumbaan MotoGP, kedua-dua perlumbaan tersebut turut dibatalkan.
Pembatalan ini adalah untuk keselamatan semua penunggang, di mana ada antara mereka telah melaporkan berlakunya ‘aquaplaning’ (tayar yang terapung di atas lapisan air) walaupun pada hanya 15% peratus penggunaan pendikit. Keadaan litar sebeginilah yang menyebabkan Tito Rabat mengalami kecederaan patah tulang femur, fibia, dan tibula pada kaki kanannya setelah bertembung dengan jentera Franco Morbidelli. Ada yang lain yang telah terbabas memasuki perangkap kerikil.
Benar, penunggang pada zaman dahulu pernah menungang dalam hujan tanpa bantuan kawalan cengkaman, tidak mempunyai sut perlumbaan beg udara, jentera dengan kerangka dan tayar yang tidak sekukuh sekarang, tetapi, ingat sahaja korbannya. Begitu ramai penunggang ternama yang telah cacat atau meninggal dunia akibatnya. Telah begitu ramai yang terkorban demi sukan ini.
Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan yang perlumbaan akan ditundakan ke hari Isnin namun MotoGP kemudiannya telah memuat naik ‘twit’ mengatakan yang ianya tidak benar. Selepas itu, timbul desas desus mengatakan ada pengarah pasukan yang merasakan yang ianya sepatutnya dilaksanakan, tetapi sekarang, keluar berita mengatakan Dorna bahawa para pengarah pasukan telah menolak idea untuk menunda perlumbaan tersebut.
Telah diadakan satu sidang akhbar di mana Ketua Pegawai Eksekutif Litar Silverstone telah mengatakan yang keseluruhan perkara ini di luar kawalannya, dan mereka telah melakukan sebaik mungkin bagi menyediakan satu litar yang hebat. Sebaliknya pula, pegawai keselamatan FIM, Franco Uncini, beserta dengan pengarah teknikal MotoGP, Mike Webb, mengatakan yang pembatalan ini adalah akibat bonggolan atas litar dan air yang bertakung. Satu siasatan rasmi akan dijalankan.
Kami harap yang siasatan ini akan menjumpai jalan penyelesaian bagi GP British yang akan datang bagi mengelakkan berulangnya kejadian ini yang telah mengakibatkan kerugian untuk pelbagai pihak yang terlibat.