Ewan McGregor Dan Charley Boorman Dalam Perancangan Untuk Dokumentari seterusnya, “The Long Way Up”

The Long Way Around – Sumber imej: BBC
  • Ewan McGregor dan Charley Boorman kini sedang dalam perancangan bagi menghasilkan dokumentari “The Long Way Up” untuk tahun 2019.
  • Tidak dapat dinafikan yang dokumentari “The Long Way Around” dan “The Long Way Down” telah mempopularkan kembara motosikal jarak jauh.
  • Mereka berdua merancang untuk menunggang dari Ushuaia ke Alaska untuk rancangan terbaru ini.

Ewan McGregor dan Charley Boorman sedang dalam perancangan untuk menghasilkan satu siri televisyen baharu, “The Long Way Up”, susulan siri dokumentari “The Long Way Around” dan “The Long Way Down” yang telah membuka mata orang ramai – sama ada penunggang motosikal mahu pun yang bukan penunggang – kepada dunia pengembaraan bermotosikal.

Pasangan tersebut telah mengembara dari London ke New York melalui Eropah, Asia, terbang ke Alaska dan kemudiannya telah menunggang ke New York, meliputi jarak 31,000 kilometer untuk dokumentari “The Long Way Around”. Rancangan televisyen itu telah disiarkan pada tahun 2004.

Berikutnya adalah “The Long Way Down”, pada tahun 2007, di mana mereka berdua mengembara dari Scotland melalui Eropah dan benua Afrika, menamatkan perjalanan mereka di Cape Town, Afrika Selatan.

The Long Way Down – Sumber imej: BBC

Kini, mereka kembali bekerjasama dengan penerbit Russ Malkin dengan rancangan untuk menunggang dari Ushuaia, Argentina (dianggap sebagai bandar paling selatan dalam dunia) menuju ke Alaska. Mereka akan menunggang melalui Argentina, Chile, Bolivia, Peru, Ecuador, Colombia, Mexico, Amerika Utara dan tiba di Alaska (bandar paling utara di Amerika Utara) pada tahun 2019. Boorman menjangkakan yang perjalanan tersebut akan mengambil masa “beberapa bulan”.

“Kami masih lagi dalam tahap perancangan awal buat masa ini,” ujar Boorman kepada MCN. “Ia pasti akan mengambil masa beberapa bulan, (kerana) Amerika Selatan adalah satu benua yang cukup cantik sekali untuk diterokai jadi kami mahu mengambil masa kami menikmatinya.”

Charley Boorman – Sumber imej: MCN

“The Long Way Around” juga terkenal atas satu sebab yang lain. McGregor lebih menggemari motosikal BMW, manakala Boorman pula mencadangkan yang mereka menunggang motosikal KTM. Tetapi, sewaktu penerbitnya mengusulkan kepada KTM untuk menaja motosikal, mereka telah dihampakan kerana pengeluar dari Austria itu khuatir yang mereka akan gagal. BMW mengambil peluang ini dengan menyumbang tiga buah BMW R 1150 GS yang didatangkan dengan kelengkapan navigasi. Oleh itu, ianya boleh dikatakan yang rancangan inilah yang telah mempopularkan motosikal BMW R 1150 GS dan juga penggantinya, motosikal R 1200 GS Adventure yang telah digunakan dalam dokumentari “The Long Way Down”.

Semenjak itu, Boorman telah menjadi duta bagi Triumph Motorcycles dan ianya pasti amat mengujakan untuk melihat mereka di atas jentera Triumph Tiger 1200 atau Tiger 800 yang baharu. Namun, dengan motosikal BMW R 1250 GS yang bakal hadir pada tahun hadapan, pasti menarik untuk menyaksikan jentera mana yang akan dipilih untuk rancangan tersebut.