BMW R nineT Sun Kist BikeBiz

  • Membina motosikal buatan khas tidak semesti bermakna anda seharusnya ‘membogelkan’ motosikal kesayangan anda.
  • Konsep ini telah didemonstrasi di sini oleh binaan BikeBiz ini, BMW R nineT Sun Kist.
  • Satu pilihan yang menarik buat para pemilik BMW R nineT dan R NineT Racer.

Kami telah menyiarkan beberapa buah motosikal buatan khas yang telah dirombak semula keseluruhannya menjadi sebuah motosikal yang lain sama sekali namun, motosikal BMW R nineT Sun Kist binaan BikeBiz ini telah dibina bagi menyerlahkan lagi motosikal BMW R nineT dan R nineT Racer standard.

Mungkin ada yang mengatakan yang pengkhususan yang dibuat pada motosikal ini adalah minimal, namun, kami percaya yang ianya bagi menunjukkan kepada para pemilik R nineT yang tidak mahu “membogelkan” motosikal mereka, memandangkan BMW telah melakukan tugas yang hebat menjadikan motosikal standardnya tampak cukup menggiurkan seadanya.

Ada satu lagi sebab mengapa motosikal ini tampak agak standard – waranti. BikeBiz adalah sebuah peruncit dan pembekal aksesori motosikal yang bertapak di Sydney, Australia, yang membekalkan alat ganti dan aksesori kepada pemilik yang ingin membina motosikal mereka sendiri, selain daripada menjual motosikal buatan khas yang sudah siap dibina. Para pelanggan tidak akan membatalkan waranti motosikal mereka sekiranya mereka memasang aksesori atau membeli motosikal buatan khas yang siap dibina dari BikeBiz.

Mike Condon dari BikeBiz berkata, “Pasukan kami cukup arif dengan motosikal, jadi, kami boleh memberi sedikit cadangan mengenai reka bentuk dan prestasi berdasarkan pelanggannya, membekalkan sebuah motosikal BMW dan alat gantinya dan biarkan mereka binanya sendiri, atau, kita boleh bina khas keseluruhan motosikal dari mula.”

Motosikal R nineT Sun Kist ini pula adalah motosikal buatan khas yang siap dibina. Pereka Alex Bianchini-Kometer telah bekerjasama dengan Boris dari BikeBiz bagi menghasilkan sesuatu yang luar dari kebiasaan dan pada masa yang sama masih mengekalkan garisan asal motosikal R nineT Racer.

Para peminat BMW pasti dengan serta merta akan mengenali kemasan warna gradated orange/silver ini, yang memberi nama “Sun Kist” motosikal ini. Ianya satu ‘homage’ buat motosikal legenda R90, “Daytona Orange”, yang mana memperingati kemenangan motosikal tersebut sewaktu perlumbaan superbike AMA yang pertama di litar Daytona International Speedway pada tahun 1976. Garisan ‘pinstripes’ merah tambahan pada bahagian badan dan rodanya untuk disuaikan dengan kerangka merahnya.

Pasukan itu telah menggantikan reraup separuh standard Racer dengan reraup separuh klasik yang lebih besar bagi memberikannya rupa paras yang lebih retro.

Bahagian standard yang lain seperti dapra/lampu belakang/pemegang nombor plet dan lampu isyarat telah ditanggalkan bagi memberikannya rupa paras yang lebih kemas. Sistem ekzos “2-ke-1-ke-2” buatan khas dilengkapkan dengan sepasang peredam pautan tinggi bagi membolehkan lengan ayun satu sisi dan roda belakang mudah dilihat.

Kelengkapan yang lain termasuklah tempat letak kaki, cermin sisi, dan lampu isyarat Rizoma, manakala jam, sistem brek, roda, pelana, dan palang pemegangnya ke semuanya adalah kelengkapan standard.

Jadilah sebuah motosikal BMW R nineT yang “sama, tetapi, berbeza.”

Sumber imej oleh Return of the Cafe Racers. Gambar oleh Saxon Shing

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply