- Kita sebagai para penunggang motosikal telah sedia maklum buat sekian lama bahawa pertembungan dengan papan tanda besi boleh mengakibatkan kecederaan yang serius atau pun kemalangan jiwa.
- PBB dan Kesatuan Eropah telah mengesyorkan yang papan tanda buatan besi dan penghadang dibuang.
- Negara Jerman menerajui usaha dengan menggantikan papan tanda buatan besi dengan buatan plastik.
Selain daripada penghadang jalan raya buatan besi yang sering kita lihat di sisi lebuh raya dalam negara kita, terdapat juga papan tanda besi yang amat merbahaya buat penunggang motosikal. Berapa kerap sudah kita lihat para penunggang motosikal kehilangan anggota badan dan nyawa mereka setelah bertembung dengan ‘penghadang keselamatan’ ini?
Pelbagai negara maju di seluruh negara telah mengambil langkah menggantikan penghadang jalan raya mereka. Negara Jerman pula, telah mengambil satu lagi langkah tambahan dengan menggantikan papan tanda buatan besi dengan buatan plastik, di samping penghadang jalan raya mereka. Sila rujuk gambar utama artikel ini.
Di mana kita sebagai para penunggang, sekian lama telah sedia maklum dengan bahaya bertembung dengan papan tanda jalan raya, badan kajian keselamatan Jerman, DEKRA, telah mengadakan ujikaji tahap bahayanya bagi mendapatkan keputusan yang boleh dinyatakan kuantitinya. Mereka mendapati bahawa penunggang motosikal lebih berkemungkinan untuk kehilangan nyawa sekiranya mereka bertembung dengan papan tanda besi.
Dan oleh kerana itu, mereka menyokong penggunaan papan tanda plastik. Sila tonton video DEKRA di bawah ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menjalankan satu kaji selidik keselamatan jalan raya dan telah menerbitkan sebuah laporan pada tahun 2017. Di antara cadangannya adalah untuk menanggalkan bahaya sisi jalan raya yang telah terbukti menyebabkan kecederaan dan kemalangan jiwa di kalangan penunggang motosikal. Laporan sepanjang 108 muka surat oleh WHO (World Health Organization) itu mendapati penunggang motosikal 15 kali lebih berkemungkinan untuk mengalami kemalangan jiwa berbanding apabila terbabas di mana tiada bahaya ini. Tahap serius kecederaan juga turut meningkat dengan adanya bahaya ini.
Federation of European Motorcyclists’ Associations (FEMA) dan European Union Road Federation (ERF) juga telah menerbitkan satu laporan berjudul “Improving infrastructure safety for powered two-wheelers”, yang mana telah memberikan cadangan yang sama seperti WHO, antaranya memasang sistem perlindungan motosikal pada penyangga jalan, menyelenggarakan perintang gelincir pada petanda jalan (garisan jalan) dan memastikan permukaan jalan raya diselenggara.
Bercakap mengenai bahaya-bahaya tersebut, kami ingin menyatakan yang walaupun jalan raya kita di Malaysia agak baik berbanding dengan jiran-jiran terdekat kita, masih ada banyak perkara yang boleh diperbaiki. Pada pandangan kami, antaranya adalah:
- Kami telah melihat adanya ‘rolling guardrail barrier’ yang baharu di satu selekoh atas Lebuhraya Karak dan berharap akan ada lebih banyak lagi yang akan dipasang.
- Garisan di atas jalan raya kurang berkesan rintangan gelincirnya, malah, tetap licin walaupun dalam keadaan yang kering.
- Walaupun lebuh raya kita pada asasnya diselenggara dengan baik, masih ada lubang-lubang yang boleh dibandingkan dengan kawah-kawah di bulan.
Kami berharap yang Menteri Pengangkutan baharu serta Jabatan Pengangkutan Jalan memandang serius masalah ini.