- Kemunculan motosikal Triumph Scrambler 1200 telah digembar-gemburkan sejak dari pelancaran versi 900cc lagi.
- Kini, Triumph telah hadir dengan video usikan yang baharu.
- Motosikal baharu ini akan dilancarkan pada 24 Oktober 2018.
Kami baru sahaja memuat naik artikel mengenai motosikal Triumph TR6 Trophy yang telah digunakan dalam filem “The Great Escape” dan berkenaan dengan penggantinya, model Street Scrambler, dan kini, Triumph Motorcycles telah mengeluarkan satu video pratonton bagi model Scrambler 1200 serba baharu!
Desas desus mengenai motosikal 1,200cc Scrambler ini telah pun digembar-gemburkan buat sekian lama dan ramai penggemar telah menanti pelancaran model tersebut.
Video pendek berdurasi 10 saat itu menunjukkan sebuah motosikal baharu yang keluar dari hutan, sebelum mengumumkan tarikh pelancarannya, iaitu pada 24 Oktober 2018.
Kami hanya mampu berspekulasi berdasarkan ilustrasi video berkenaan. Motosikal tersebut dilengkapi dengan tayar ‘knobby’ dan juga plet gelingcir bawah enjin.
Apa yang kami agak pasti adalah enjinnya, yang akan berdasarkan enjin ‘Twin’ selari, sejukan cecair, 1,200cc yang menjana model Bonneville Bobber dan model Bobber Black, Speedmaster, T120, dan juga Thruxton/Thruxton R. Kami juga tertanya-tanya akan ‘nota bunyi’ yang akan dipilih oleh Triumph, kerana Thruxton dijana oleh versi “High Power” (HP) manakala yang selebihnya dijana dengan “High Torque” (HT).
Ada juga khabar angin yang mengatakan enjin 1,215cc triple yang baharu dari model Tiger 1200 ini yang akan digunakan. Ia adalah satu kemungkinan walaupun kami rasa ianya hanya satu kemungkinan yang kecil, berdasarkan pendekatan moden klasik Scrambler.
Berikut adalah kenyataan Triumph Motorcycles Ltd. mengenai motosikal tersebut:
“Sebuah motosikal moden klasik Triumph serba baharu telah bersedia untuk mencipta revolusi penunggangan dengan satu tanda aras baharu untuk motosikal scrambler yang hebat.
Motosikal Scrambler 1200 ini menandakan kemunculan generasi motosikal baharu yang menakjubkan. Dengan tahap kebolehan dwi-sukan yang tidak pernah ada sebelum ini, motosikal scrambler yang mengagumkan ini sama hebatnya di atas jalan tanah merah seperti ia di atas jalan raya, melakukan segala yang boleh dilakukan oleh sebuah motosikal kembara, dengan gaya dan sikap sebuah motosikal scrambler sejati.
Atas minat seluruh dunia yang tidak dijangka untuk motosikal generasi seterusnya ini, kami memutuskan untuk untuk menerbitkan satu siri pandangan yang lebih mendalam pada motosikal yang bakal mengubah segmennya itu, jauh lebih awal dari pelancaran rasminya.”
Versi 900cc telah dilancarkan pada tahun 2017 dan telah mendapat sambutan hangat di seluruh dunia kerana perwatakan dan faktor keseronokannya. Kami telah menguji motosikal Triumph Street Scrambler tersebut sebelum ini dan mendapati diri amat menyukainya. Versi 1,200cc ini bakal mengubah pasaran segmen ini, berdasarkan kecenderungan Triumph untuk melengkapkan motosikal mereka dengan pengendalian yang hebat, agihan kuasa yang linear, dan perwatakan yang menyeronokkan.
Editor laman saudara kami, Bikes Republic telah mendapat peluang keemasan melawat kilang Triumph Motorcycles Ltd. di sekitar tarikh pelancaran tersebut (terima kasih tidak terhingga kami ucapkan pada Triumph Motorcycles Malaysia dan UK), jadi, kami berharap untuk dapat membawa acara pelancaran itu kepada anda secara langsung.