MV Agusta Dan Forward Racing Melancarkan Jentera Perlumbaan Moto2 2019!

  • Memperkenalkan jentera perlumbaan terkini MV Agusta yang akan dipertandingkan oleh Forward Racing Team dalam perlumbaan Moto2 musim 2019.
  • Ini menandakan kemunculan semula MV Agusta dalam siri perlumbaan semenjak menarik diri pada tahun 1976.
  • MV Agusta masih memegang rekod sebagai pengeluar motosikal Eropah paling berjaya dengan kemenangan Grand Prix paling banyak.

Ini adalah imej rasmi pertama jentera perlumbaan MotoGP MV Agusta yang bakal membuat kemunculan pertamanya dalam siri perlumbaan Moto2 pada tahun 2019.

Dipratontonkan di laman sesawang rasmi MotoGP, pasukan Forward Racing Team akan mempertandingkan jentera MV Agusta dengan sokongan dari pengeluar Itali tersebut. Ini bukan kali pertama MV Agusta bersaing dalam perlumbaan Grand Prix motosikal, malah, mereka masih memegang rekod sebagai pengeluar motosikal Eropah paling berjaya sepanjang zaman dengan 75 takhta kejuaraan dunia di antara tahun 1952 hingga 1974.

75 kejohanan dunia dalam 22 tahun. Menngagumkan.

Saksikanlah video rasmi dari Forward Racing Team di mana ia menunjukkan bagaimana mereka membangunkan jentera perlumbaan tersebut.

Sejarah ringkas MV Agusta

MV Agusta, atau nama penuhnya, Meccanica Verghera Agusta, telah ditubuhkan pada tahun 1945 di Cascina Costa, Itali.

Untuk pengetahuan anda, Meccanica membawa maksud mekanik dalam bahasa Itali, manakala Verghera pula merupakan desa di mana motosikal pertamanya dihasilkan. Agusta pula pada asalnya merupakan sebuah syarikat penerbangan yang telah diasaskan oleh Count Giovanni Agusta pada tahun 1923.

Dan seperti Ferrari, Mv Agusta pada asalnya telah membina motosikal jalan raya dengan tujuan untuk membiayai usaha perlumbaannya. Mereka telah memenangi perlumbaan pertama yang telah mereka sertai pada tahun 1948, dan sejak daripada itu tidak pernah berpaling ke belakang.

Syarikat ini terkenal sebagai pembina motosikal perlumbaan terbaik dunia, dan tidak mengambil jalan pintas dalam semangat mereka untuk membangunkan motosikal lumba muktamad.

Oleh kerana itu, semakin banyak pasukan yang memberi kepercayaan kepada mereka dan membeli jentera MV Agusta, dan ini telah menambah lagi keuntungan pengeluar tersebut dan memberikan dana yang lebih besar untuk membina motosikal yang lebih baik.

Pada tahun 1957, pengeluar-pengeluar motosikal Itali, iaitu Gilera, Moto Guzzi, dan Mondial, telah bersetuju untuk menarik diri dari perlumbaan GP akibat kos yang semakin meningkat. MV Agusta juga pada awalnya telah bersetuju untuk menarik diri, tetapi akhirnya, tetap bertanding. Mereka telah memenangi 17 kejohanan dunia 500cc secara berturut-turut.

Apabila Count Domenico, anak kepada pengasas syarikat ini, meninggal dunia pada tahun 1971, syarikat ini dikatakan telah kehilangan hala tujunya. MV Agusta telah memenangi perlumbaan GP terakhir pada tahun 1976, dan menarik diri dari perlumbaan pada tahun yang sama. Dari situ, syarikat itu berhadapan dengan pelbagai kesukaran, sehinggalah ianya dibangunkan semula oleh Cagiva pada tahun 1991.

Di sini kami doakan yang jenama ikonik Itali ini menemui rentak mereka semula dan kembali menyertai siri perlumbaan MotoGP.

MV Agusta Kembali Ke MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]