Motosikal KTM 200 Duke 2018 Dilancarkan – RM11,888

  • KTM Malaysia dengan secara rasminya telah melancarkan model KTM 200 Duke 2018 bagi pasaran Malaysia.
  • Pelancarannya telah diadakan bersempena dengan “KTM Orange Carnival” di UTM Skudai, Johor.
  • KTM 200 Duke 2018 akan mula memasuki bilik pameran rasmi mereka pada bulan Ogos 2018, dan tersedia pada harga RM11,888 (harga asas dengan 0% GST).

Ketika berlangsungnya acara “KTM Orange Carnival” pada hujung minggu lalu (Sabtu, 28 Julai 2018) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, KTM Malaysia telah mengambil peluang itu bagi memperkenalkan sebuah tawaran terkini mereka.

KTM Malaysia Orange Carnival Bakal Gegarkan Johor 28 Julai Ini!

Rangkaian motosikal KTM Duke di Malaysia bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran model terbaru mereka yang telah dikemaskini, KTM 200 Duke 2018!

KTM Malaysia dengan secara rasminya telah melancarkan model terkini mereka, KTM 200 Duke 2018, untuk pasaran Malaysia.

Sejak ianya mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2013 yang lalu, motosikal KTM 200 Duke ini telah membawa perubahan yang besar dalam segmen di bawah 250cc dan mendapat sambutan hangat dari para penggemar motosikal negara.

Tampil dengan penggayaan rangkaian Duke yang cukup dikenali ramai, ia menggarapkan gaya yang sedia ada dari ‘abang-abangnya’ yang lebih besar lagi, seperti mana yang dapat dilihat pada keseluruhan motosikal ini.  Antara yang paling menarik adalah rupa bentuk lampu hadapannya yang cukup mudah dikenal pasti sebagai model dalam rangkaian Duke, serta kemasan grafik unik KTM.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan paparan LCD, yang mana dapat mempamerkan segala maklumat penunggangan yang utama seperti penggunaan bahanapi.

Dengan beratnya pada 134kg, model 200 Duke 2018 ini telah dijana oleh enjin satu silinder, empat lejang, sejukan cecair, 199.5cc yang menghasilkan sehingga 26hp pada 10,000rpm dan 19.5Nm pada 8,000rpm, kuasanya dipacu ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan.

Suspensi hadapannya dikendalikan oleh fork terbalik 43mm WP Suspension, beserta cakera brek 300mm, dengan angkup pautan jejari empat omboh, manakala bahagian belakangnya pula bercirikan penyerap hentakan belakang monoshock WP Suspension dengan cakera brek 230mm, beserta angkup terapung satu omboh untuk menangani daya hentinya.

Ditetapkan pada harga RM11,888 (harga asas beserta 0% GST), model KTM 200 Duke 2018 akan mula memasuki bilik pameran KTM di seluruh negara seawal bulan Ogos yang akan datang. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi KTM Malaysia, atau anda juga boleh melayari laman Facebook rasmi KTM Malaysia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]