- Model Ducati Scrambler 1100 telah diperkenalkan buat pertama kalinya sewaktu EICMA 2017.
- Next Bike Sdn. Bhd. akan memperagakannya untuk warga Malaysia di acara Art of Speed 2018 pada hujung minggu ini.
- Rangkaian motosikal Scrambler 1100 ini bakal mengiringi para penunggang ke “Land of Joy”.
Semenjak model Ducati Scrambler 1100 diperkenalkan kepada orang ramai sewaktu EICMA 2017, para penggemar di Malaysia telah menanti dengan sabarnya akan ketibaan model berkenaan. (Sila tekan pautan di bawah untuk membaca laporan kami sewaktu kemunculan sulungnya di EICMA 2017 lalu.) Penantian itu telah hampir berakhir, di mana Next Bike Sdn. Bhd., pengedar tunggal motosikal Ducati di Malaysia akan memperagakan kedua-dua varian Scrambler 1100 Special dan 1100 Sport sewaktu festival Art of Speed (AOS) 2018 pada 28 Julai yang akan datang.
Ducati Scrambler 1100 2018 – Motosikal Ducati Scrambler Paling Berkuasa Setakat ini
Model Scrambler 1100 ini bakal meluaskan lagi rangkaian “Land of Joy” Scrambler, dan ia bakal menarik minat lebih ramai peminat Scrambler di Malaysia.
Menjana motosikal ini adalah sebuah enjin L-Twin (V-Twin 90º), 4 injap, Desmodromic, sejukan udara, 1079cc, yang menghasilkan sehingga 86hp pada 7,500rpm dan 88Nm pada 4,750rpm. Selain itu, model terkini ini akan dilengkapi dengan bantuan tunggangan elektronik seperti mod penunggangan dalam 3 atur cara, ‘Ducati Traction Control’ (DTC), serta ABS menyelekoh terbaru Bosch.
Tiga mod tunggangannya adalah ACTIVE, yang menawarkan kuasa enjin sepenuhnya dan kawalan cengkaman terhad (seperti mod SPORT), JOURNEY, yang menawarkan kuasa penuh dan agihan kuasa yang berpatutan (sepert mod TOURING), dan CITY, yang menghadkan kuasanya ke 74hp dan menawarkan agihan kuasa yang paling lancar (seperti mod URBAN atau RAIN).
Untuk daya hentinya, ketiga-tiga model (asas, Special, dan Sport) telah dilengkapi dengan angkup 4 omboh Brembo 4.32 Monobloc, beserta suspensi boleh laras, di mana model asas dan Special berkongsi fork terbalik boleh laras sepenuhnya 45mm Marzocchi dengan penyerap hentakan belakang Kayaba. Bagi varian Sport pula, ianya dilengkapi dengan fork terbalik boleh laras sepenuhnya 45mm Öhlins dengan penyerap hentakan belakang Öhlins. Selain itu, kedua-dua model asas dan Sport berkongsi rim aloi 17 inci 10 jejari yang sama, manakala varian Special menggunakan roda aluminium berjejari 17 inci.
Ciri-ciri juga telah dikemaskini bagi membezakan model 1100 dari model 821cc dan 400cc. Lampu hadapannya kini bercirikan sebuah “X” yang ketara dan gugusan instrumen LCD yang baharu. Walaupun model 1100 adalah model sejukan udara, terdapat selubung ‘radiator’ aluminium di belakang fork.
Bagaimana pun, ciri penggayaan yang paling ketara sudah pasti peredam ekzos berganda pautan tinggi yang mana didakwa oleh pengeluar Itali tersebut akan menghasilkan nota bunyi ekzos “Ducati V-Twin sejati”.
Next Bike yakin yang model Ducati Scrambler 1100 Special dan Scrambler 1100 Sport ini akan mencuri tumpuan daripada kebanyakan motosikal baharu yang akan dilancarkan sewaktu AOS, jadi kunjungilah acara berkenaan pada hujung minggu ini.
Art of Speed 2018 akan diadakan pada 28 hingga 29 Julai di MAEPS, Serdang. Sila rujuk peta di bawah.
GALERI GAMBAR