- Motosikal BMW R 1200 RT 2018 ini terletak di antara model S 1000 XR yang sporty dan model tourer penuh K 1600.
- Ia dijana oleh enjin Boxer 1,170cc yang sama seperti model R 1200 G.
- Harga bermula dari RM118,798.77 (dengan 0% GST).
Model BMW RT (“Reise-Tourer”, atau “travel tourer”) mempunyai satu sejarah yang panjang, bermula dari model pertamanya, R 100 RT pada tahun 1978, sehinggalah model semasa, R 1200 RT 2018. Dan ya, tahun ini adalah ulang tahun ke-40 RT. Selain itu, model R 100 RT merupakan varian touring bagi motosikal pengeluaran ber-reraup penuh pertama, R 100 RS, yang mana merupakan perintis bagi segmen sport touring.
Sila tekan pautan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Susur galur R 1200 RT semasa, bagaimana pun, bermula dari tahun 2014, dengan pengenalan enjin Boxer sejukan cecair; dan dengan itu, BMW telah merekabentuk semula model RT ini dari mula (seiring dengan model R 1200 GS yang baharu). Pelana, posisi duduk, reraup, instrumentasi, dan kerangka yang baharu telah dilengkapkan atau diperkemaskini.
Pada waktu ini juga, BMW telah menambah pilihan tambahan, seperti Dynamic ESA (Electronic Suspension Adjustment – pelarasan suspensi elektronik), ‘Shift Assist Pro’ (untuk pertukaran ke gear lebih tinggi dan rendah), sistem penguncian pusat untuk bagasi dan ruang simpanan, kawalan bersiar pelana rendah dan tinggi, serta pemulaan enjin tanpa kunci (bermula tahun 2015).
Ada tambahan kemaskini pada model R 1200 RT ini pada tahun 2017, walaupun kecil. BMW telah melengkapkannya dengan peredam ‘judder’ pada syaf keluaran transmisi, beserta dengan aktuasi dram pemilih, syaf transmisi, dan galas syaf transmisi yang telah dirombak semula (model R 1200 GS juga turut menerima kemaskini ini).
Ciri standard yang lain termasuklah ABS Pro, pelana dan cengkaman yang dipanaskan, ASC (Automatic Stability Control), Mod Tunggangan (Road/Rain), Stepless Adjustable Power Windshield, On-Board Computer Pro, pelana penunggang yang boleh dilaras ketinggiannya, lampu isyarat LED, lampu belakang LED, dan lain-lain lagi.
Dari segi rupa parasnya, model R 1200 RT sudah pasti tidak akan disalah cam dengan model-model yang lain. Bahagian hadapan yang besar merumahkan gugusan lampu hadapan yang besar, yang mana terdiri daripada lampu sorotan rendah tengah, diapit oleh sepasang lampu sorotan tinggi yang besar; yang telah dibingkaikan dengan cincin ‘halo’ LED BMW.
Panel badan yang selebihnya tampak kemas dan terdiri dari ‘panel’ yang menempiaskan udara panas menjauhi penunggang. BMW telah menyalurkan udara panas daripada ‘split radiator’ melalui lohong udara yang direka dengan bijak sekali pada kedua-dua belah sisi menjauhi penunggang. Panel badan lain yang lebih kecil menyembunyikan bahagian belakang enjin dan dan penyerap hentakan belakang.
Palang pemegangnya telah ditetapkan pada kedudukan yang amat sesuai sewaktu anda mencapainya. Di sinilah bermulanya keseronokannya.
Enjin ‘flat-twin’ 1,170cc itu hidup dengan bunyi Boxer yang cukup terkenal itu dan menderu perlahan dengan sedikit getaran bagi memberitahu anda yang ianya telah ‘terjaga’. Pulas sedikit pendikitnya dan enjin Boxer itu akan meraung, ditemani dengan sedikit gegaran ke arah kanan.
Menekan butang INFO membolehkan anda melewati menunya bagi mengatur cara motosikal tersebut, termasuklah untuk pra muatan ESA (penunggang, penunggang dengan bagasi, penunggang dan pembonceng), atur cara redaman ESA (Soft, Normal, Hard), maklumat perjalanan (tekanan tayar, penggunaan bahanapi, jarak bahanapi, dan lain-lain), audio, serta bermacam-macam lagi. Penunggang menggunakan roda Multi Controller untuk memilih dan mengesahkan pilihan.
Butang di sebelahnya pula adalah untuk melaraskan ketinggian penghadang angin. Penghadang angin akan merendahkan dirinya secara automatik ke posisi terendahnya apabila anda mematikan enjin dan menaikkan dirinya secara automatik ke atur cara terakhirnya yang telah anda tetapkan sewaktu ia dihidupkan. Penghadang angin tersebut memberikan ruang bebas gelora pada bahagian sekeliling badan dan saya boleh dengari bunyi stereo dengan jelas pada kelajuan tinggi (bergantung pada helmet).
Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, saya telah menekan suis penguncian ruang simpanan bagi mengunci ‘pannier’ dan juga ruang simpanan di hdapan palang pemegang, tidak kiralah sama ada saya telah membiarkan ‘pannier’nya berkunci atau pun tidak. Kedengaran satu bunyi mekanikal dan sejurus itu, satu simbol kunci di atas beg telah menyala pada panel instrumen sebagai pengesahan. Ini satu langkah yang bijak bagi sentiasa mengingatkan anda sekiranya anda terlupa untuk mengunci bahagian simpanan.
Masuk gear pertama, terdengar bunyi ‘klak’ yang biasa didengari. Lepaskan sedikit klac dan anda telah pun bermula dengan lancar. Motosikal ini maju ke hadapan dengan pantas dan juga lancar, dan mekanisma penukar berfungsi dengan baik di mana penukaran gear terasa ringan, lancar, dan tidak berbunyi. Digandingkan dengan aerodinamiknya, anda tidak akan perasan akan pemecutannya sehinggalah anda tengok pada paparan dan mendapati anda bergerak sepantas 130km/j ke atas.
Pada mulanya, saya agak ragu-ragu sewaktu kali pertama menghampiri kereta di kedua-dua belah sewaktu di lampu trafik, namun, dengan pantas saya dapati yang ada ruang yang mencukupi untuk memastikan bahagian hadapannya yang lebar itu lepas untuk dilalui; dan sebaik sahaja ‘kepala’nya lepas, yang selebihnya akan turut sama muat. Selain itu, model RT memiliki satu rupa yang garang yang menyebabkan kebanyakan kenderaan memberi laluan. Setidaknya pun, saya akan ekori untuk seketika, sebelum saya gunakan tork enjin tersebut untuk memintas apabila mempunyai ruang dan masa yang sesuai.
Mengapa perlu tergesa-gesa, bukan?
Sistem bunyinya cukup hebat sekali dan saya telah menguji pelbagai atur caranya untuk menghiburkan diri. Tambahan pula, ramai orang terlopong kagum melihatnya, dengan reka bentuk yang secantik ini dan pilihan skema warna Mars Red Metallic dan Slate Metallic Matte yang baharu. Dari depan ke belakang, atas ke bawah, malah mereka memanjangkan leher bagi mencuri pandangan pada gugusan instrumennya yang menakjubkan itu.
Sekali lagi, sewaktu masa untuk bergerak, R 1200 RT tidak berlengah. Vroooom, dan anda sudah jauh di hadapan, walaupun dalam gear tertinggi. Kami menunggang motosikal pada kelajuan tertingginya, yang mana melebihi 200km/j, dengan duduk menegak! Tiada gelora, tiada huyung-hayang. Mengagumkan.
Pengendaliannya banyak membantu dalam penunggangan dalam bandar. Di sinilah terserlah DNA R 1200 GS dan R 1200 R. Motosikal ini cukup lincah sekali tanpa terasa gemuruh, jadi anda boleh mengerjakannya sewaktu anda menyelinap di antara trafik, mengharapkan pada tork enjin untuk dorongan pantas dan breknya yang mengagumkan untuk menghentikan anda. Brek hadapannya terjalin bersama brek belakangnya dan keseluruhan motosikal akan mendekam sewaktu anda mengerjakannya dengan keras, menghapuskan sebarang gerakan atau goyangan.
Sentuhan ringan pada palang pemegangnya sudah cukup untuk mengubah haluannya, walaupun dengan ‘rake’ 26.4º, ‘trail’ 116mm, jarak antara roda 1485mm, dan berat basah 276kg ‘touring’nya itu. Macam tidak masuk dek akal betapa hebatnya pengendalian R 1200 RT ini, jika dilihat pada lembaran spesifikasinya, Malah, ia terasa seperti menunggang sebuah skuter. Skuter yang jauh lebih stabil dan jauh lebih baik pengendalian dan breknya. Tidak terasa letih menungganginya, walaupun melalui kesesakan trafik puncak pagi dan petang di Jalan Tun Razak.
Tidak hairanlah model BMW R 1200 RT ini menjadi pilihan agensi penguatkuasaan undang-undang seluruh dunia!
Sehebat mana pun ia di dalam bandar, hebat lagi RT ini di habitat semulajadinya. Di atas Lebuhraya Karak, selain daripada merasakan maklum balas jalan pada tangan dan punngung anda, ianya begitu selesa sekali, bagaikan anda memandu sebuah BMW 7-Series. Ya, Dynamic ESAnya pasti akan terasa sewaktu menaiki bonggol tajam, tetapi, ia tetap beraksi dengan baik sekali. Ia membolehkan anda untuk mengambil masa menikmati keindahan alam sewaktu anda menunggang dengan santai – walaupun pada kelajuan tinggi.
Dan ianya bukan hanya sekadar bergerak laju dalam garis lurus; RT ini mampu menyelekoh dengan pantas. Benar, mungkin tidak sepantas motosikal lumba, namun, sudah pasti ia dapat menandingi kebanyakan motosikal sport tourer. Satu-satunya cara untuk anda melakukan kesilapan adalah dengan berasa gugup dan panik. Yakinilah kebolehan bahagian hadapan motosikal ini dan anda pasti akan mendapat ganjaran dalam bentuk menyelekoh mencecah tempat letak kaki.
Motosikal R 1200 RT ini juga beraksi cukup baik dalam mendaki Genting Highlands. Motosikal ujinya telah dilengkapkan dengan tayar sport-touring Michelin Pilot Road 4 GT, dan ia mencengkam dengan baik walaupun di atas jalan raya yang basah dan berpasir. Tunggangan lewat malam mempamerkan kebolehan lampu sorot tinggi hadapannya dalam menerangi malam yang berkabus.
Sudah pun namanya motosikal touring, sudah pasti ianya mampu membawa bagasi, bukan? Jangan risau. Dengan pannier-panniernya mampu diisi dengan sebuah helmet ‘full-face’ atau sebuah Macbook Pro 15 inci dalam setiap satu beg, dan masih lagi mempunyai ruang untuk diisi dengan barang-barang yang lain. Tambah sebuah ‘top-case’ 49 liter BMW dan anda pasti boleh merantau jauh.
Akhir sekali, dengan tangki bahanapi sebesar 25 liter, anda boleh merentasi jarak sejauh 500km jika anda menunggang dengan lancar. Gabungan penunggangan dalam bandar yang sesak dan pecutan laju atas lebuhraya mengurangkannya kepada sekitar 400km. Masih lagi jumlah yang amat mengagumkan buat sebuah motosikal besar.
Kesimpulannya, model BMW R 1200 RT ini adalah sebuah motosikal touring mewah yang berada di antara motosikal sport tourer S 1000 XR yang lebih sporty, dan motosikal tourer penuh, K 1600. Saya tidak akan mengelaskannya sebagai kompromi antara dua model yang berbeza itu; sebaliknya, ia ada perwatakannya yang tersendiri sebagai tunggangan jarak jauh yang pasti akan memikat hati anda dengan keselesaannya yang hebat, prestasi, rupa bentuk yang menakjubkan, kualiti yang boleh diharapkan dari BMW dan ekonomi bahanapi.
Harganya bermula dari RM118,798.77 (dengan 0% GST), sesuai dengan statusnya sebagai motosikal touring mewah, dan penulis ingin sekali memilikinya jika ada insan di luar sana yang sanggup memberi derma.
ENGINE | |
ENGINE TYPE | 2-cylinder, 4-stroke, DOHC, air/liquid-cooled, flat-Twin |
DISPLACEMENT | 1170 cc |
BORE x STROKE | 101.0 mm x 73.0 mm |
POWER | 125 hp (92 kW) @ 7750 RPM |
TORQUE | 125 Nm (92 lb-ft) @ 6500 RPM |
COMPRESSION RATIO | 12.5:1 |
TRANSMISSION | Constant mesh, 6 gears with helical cut gears |
FUEL SYSTEM | Electronic fuel injection with ride-by-wire throttle |
CLUTCH | Multiple-plate wet clutch, hydraulically operated |
CHASSIS | |
FRAME | Front two-section frame, bolted on rear frame, load bearing engine |
FRONT SUSPENSION | BMW Telelever ø 37 mm forks, central spring strut |
REAR SUSPENSION | Monoshock with WAD strut, spring preload hydraulically adjustable (continuously variable), rebound damping adjustable, BMW Paralever |
SUSPENSION TRAVEL FRONT/REAR | 120mm / 136 mm |
FRONT BRAKE | 2x radially-mounted 4-piston caliper, ø 320 mm floating discs |
REAR BRAKE | 2-piston caliper, ø 276 mm brake disc |
ABS | BMW Motorrad Integral ABS |
TIRES FRONT/REAR | 120/70 ZR-17; 180/55 ZR-17 |
STEERING HEAD ANGLE | 26.4o |
TRAIL | 116 mm |
WHEEL BASE | 1,485 mm |
SEAT HEIGHT | 825 mm (high setting), 805 mm (low setting) |
FUEL TANK CAPACITY | 25 litres |
WEIGHT (READY TO RACE) | 276 kg |