- Tom Sykes dan pasukan WorldSBK Kawasaki Racing Team (KRT) telah mengumumkan perpisahan mereka pada hujung musim 2018.
- Spekulasi dan drama berbulan lamanya antara Sykes dan teman sepasukannya, Jonathan Rea telah menyumbang kepada keputusan ini.
- Sykes telah berjaya merangkul 34 kemenangan, 106 podium, dan satu takhta kejohanan sepanjang sembilan musim bersama KRT.
Selepas sembilan musim yang hebat bersama dalam siri perlumbaan WorldSBK, Tom Sykes dan pasukan Kawasaki Racing Team (KRT) akan berpisah pada penghujung musim 2018. Setelah berbulan lamanya spekulasi dan keadaan yang agak dingin antara Sykes dan teman sepasukannya, Jonathan Rea, keputusannya untuk meninggalkan pasukan itu bukannya sesuatu yang memeranjatkan.
KRT dengan jelas sekali berpihak kepada Rea apabila mereka telah melanjutkan kontraknya sehingga tahun 2020. Sykes telah berjaya mengumpul jumlah statistik yang membanggakan dalam sembilan tahun dia berlumba bagi pasukan Kawasaki tersebut. Setakat ini, dia telah berjaya merangkul 34 kemenangan, 106 tempat podium, rekod sebanyak 46 petak pertama, dan yang paling penting sekali, satu gelaran kejuaraan pada tahun 2013.
Menurut Sykes sendiri, “Saya rasa sudah tiba masanya; detik untuk membuat perubahan dalam kerjaya saya dan mencari cabaran baharu. Mempunyai motivasi untuk menguji had anda dan juga jentera anda tersangatlah penting terutamanya sewaktu anda ingin mengecapi kemenangan pada setiap perlumbaan dan saya rasa yang saya telah memberikan sebaik boleh usaha saya sewaktu di KRT. Saya kini menunggang pada tahap terbaik sekali, dan saya ada pengalaman dan prestasi untuk terus memenangi perlumbaan.”
“Jadi kini saya memutuskan untuk mengundur diri dari projek KRT pada tahun 2019 dan mencari cabaran dan matlamat baharu. Saya kini akan menumpukan perhatian untuk berada di atas podium bagi empat pusingan terakhir musim 2018. Saya berazam untuk menikmati perlumbaan saya dan dengan pengumuman ini akan menamatkan segala spekulasi.”
“Pengaturan masa untuk keputusan kerjaya sebesar ini tidak pernah mudah, namun yang ini teramatlah sukar kerana kehidupan peribadi saya juga menghadapi perubahan yang besar. Dengan ini, saya rasa satu beban yang besar telah pun terangkat sedikit dari bahu saya dan saya pasti yang tahun 2019 akan membolehkan saya berusaha pada kapasiti penuh.”
Persoalan utama yang bermain di minda semua kini, adakah Sykes akan meneruskan kerjayanya dalam siri perlumbaan WorldSBK, atau sudah adakah tawaran yang menantinya di MotoGP dari kalangan pasukan persendirian? Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya.
Sumber imej: WorldSBK