MotoGP Pasukan Pengilang Yamaha Tandatangani Perjanjian Dengan Monster Energy

  • Pasukan pengilang Yamaha MotoGP telah menandatangani perjanjian baharu dengan Monster Energy sebagai penaja utama mereka bermula musim 2019.
  • Bermula tahun hadapan, pasukan pengilang Yamaha akan dikenali sebagai pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP.
  • Kedua-dua Valentino Rossi dan Maverick Viñales juga merupakan atlit tajaan Monster Energy.

Pasukan pengilang Yamaha MotoGP bakal melakukan satu perubahan besar pada musim 2019, di mana mereka telah menandatangani satu perjanjian baharu dengan Monster Energy sebagai penaja utama baharu mereka. Bermula pada musim hadapan, pasukan yang dianggotai Valentino Rossi dan Maverick Viñales akan dikenali sebagai Monster Energy Yamaha MotoGP.

Penaja utama semasa mereka, iaitu jenama telekomunikasi Movistar akan memberi ruang kepada Monster Energy bermula pada musim hadapan. Pengumuman ini telah dibuat awal hari ini oleh Yamaha Motor Co., Ltd. Ini merupakan satu langkah yang bijak sekali memandangkan kedua-dua Rossi dan Viñales juga adalah penunggang tajaan Monster Energy.

Menurut Lin Jarvis, Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, ” Kami berasa amat gembira kerana telah mencapai kata sepakat dengan Monster Energy Company sebagai Penaja Utama baharu bagi pasukan pengilang MotoGP kami. Kerjasama baharu ini akan memberikan Monster Energy satu platform yang lebih menyerlah dalam kelas MotoGP – kemuncak tertinggi dalam dunia perlumbaan motosikal.”

“Dengan Monster Energy yang merupakan sebuah jenama yang amat dinamik dan teramatlah aktif di seluruh dunia, kami menjangkakan kerjasama ini akan meningkatkan lagi tahap pendedahan bagi kedua-dua jenama ini dan juga memberikan kami satu platform yang hebat untuk aktiviti pemasaran. Perjanjian baharu ini juga menandakan kesungguhan Yamaha serta Monster Energy dalam memperkukuhkan lagi kerjasama kami bagi program sukan permotoran atas jalan raya dan luar jalan raya.” tambah Jarvis.

Rodney Sacks, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Monster Energy juga turut berkata, ” Dengan rasa penuh bangga, kami umumkan kesinambungan penyertaan dan hubungkait MotoGP selama sedekad bagi Monster Energy, yang mana akan diperkuatkan lagi dengan kerjasama bersama dengan pasukan Yamaha Factory Racing MotoGP. Setelah berkongsi semangat untuk sukan ini bersama dengan Valentino Rossi, Maverick Viñales, Cal Crutchlow, dan Johann Zarco (dan lain-lain), bersama dengan keluarga besar Yamaha bertahun lamanya; peluang untuk membina lagi hubungan bersama pasukan ini adalah sesuatu yang kami rasa amat teruja.”

“Kami kekal amat komited untuk memberikan pengalaman peminat Monster yang paling mengujakan kepada jutaan penggemar MotoGP di seluruh dunia, sama ada di atas litar dan sebaliknya. Melalui penajaan utama kami untuk pasukan Yamaha Factory Racing dan juga perlumbaan ikonik seperti GP Czech dan Catalunya, kami berpeluang untuk meneruskan kerjasama kami dalam salah satu sukan yang paling dinamik dalam dunia ini.”

Persoalannya kini, adakah kita bakal menyaksikan Rossi dan Viñales mengenakan warna hitam dan hijau Monster Energy atau kekal dengan skema warna biru Yamaha yang ikonik? Atau pun mungkin sekali gabungan kedua-dua skema ini? Kami amat suka dengan skema warna yang ada pada jentera Yamaha YZR-M1 dan juga pada sut Johann Zarco dan Hafizh Syahrin dan kami berasa amat yakin yang ianya pasti tampak hebat dikenakan oleh kedua-dua penunggang pasukan pengilang ini.

Sumber imej: MotoGP

MotoGP: Dani Pedrosa Bersara

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.