Honda HR-V 2018 sedia untuk tempahan; varian baharu HR-V RS

  • Honda Malaysia sudah sedia untuk menerima tempahan bagi model terbaharu mereka iaitu Honda HR-V 2018.

  • Model kompak SUV terlaris ini juga mempunyai varian baharu iaitu Honda HR-V RS.

  • Kad ganjaran Petronas bernilai RM1,000 akan diberi kepada pemilik Honda HR-V baru yang mendaftarkan kenderaan mereka sebelum 31 Oktober 2018.

Honda Malaysia telah mengumumkan tempahan untuk Honda HR-V 2018 untuk pasaran Malaysia sudahpun bermula hari ini (12 Julai 2018) di semua pengedar rasmi di tanah air. Mereka juga telah melancarkan varian terbaharu bagi model HR-V iaitu Honda HR-V RS 2018.

Model SUV kompak yang dilancarkan pada tahun 2015 telah mendapat sambutan meriah sehingga ia mampu kekal di tempat pertama dalam segmen SUV kompak tiga tahun berturut-turut. Ia juga merupakan model Honda kedua terlaris dengan jualan purata 16% sehingga Jun 2018.

HR-V terbaharu ini dipasangkan denan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC bersama teknologi Earth Dreams Technology Continuous Variable Transmission (CVT) yang mampu memberi prestasi dan kecekapan penggunaan bahan api yang seimbang.

Bagi varian terbaharu mereka iaitu HR-V RS memberi ekspresi yang berkuasa dan gagah dengan rekabentuk luaran yang agak maskulin.

Dengan gaya yang lebih ‘sporty’, model berkonsep ‘Solid Wing Face’ dilengkapi dengan pakej lampu LED didepan dan belakang kereta bersama Daytime-Running Lights (DRL). Spesifikasi menarik yang lain termasuk rim aloi 18 inci jenis dua tona, gril, bampar depan dan belakang jenis ‘sporty’ gaya baharu.

Ciri-ciri baharu yang lain adalah:

  • Pemegang pintu krom hitam
  • Hiasan pemegang plat krom hitam
  • Hiasan tepi krom hitam
  • Mesh kabus hiasan baharu
  • Warna baharu – Passion Red Pearl

Model HR-V terkini masih mengekalkan Multi-Utility Cargo Space untuk mengekalkan ruang simpanan barang yang maksimum kepada para pemilik. Konfigurasi berbeza seperti Utility Mode, Tall Mode dan Long Mode juga memberi lebih kebebasan kepada pemilik untuk menyimpan lebih banyak barang tidak kira untuk kegunaan seharian ataupun perjalanan jarak jauh bersama keluarga.

Honda juga menitikberatkan kepada aspek keselamatan dan Honda HR-V telah ditambahbaikkan lagi dengan sistem Honda LaneWatch. Sistem ini menolong pemandu dalam memantau kawasan titik buta atau ‘blind spot’ dengan sistem kamera yang dipasang di cermin sisi belah penumpang. Ciri-ciri keselamatan yang lain termasuk:

  • Enam beg udara
  • Lampu isyarat kecemasan berhenti (Emergency Stop Signal atau ESS)
  • Vehicle Stability Assist (VHA)
  • Hill Start Assist (HSA)
  • Kamera belakang pelbagai sudut (Multi-Angle Rear-View Camera)

Honda HR-V 2018 akan dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat antara Julai hingga September. Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan awal, pihak Honda Malaysia akan memberi ganjaran dalam bentuk kad hadiah Petronas berjumlah RM1,000 (bagi mereka yang mendaftar kenderaan baharu sebelum 31 Oktober 2018).

Untuk maklumat lanjut, layari www.honda.com.my

Honda Malaysia Umumkan Harga Model Mereka Selepas 1 Jun 2018, Civic Type-R Kini RM18,072 Lebih Murah!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]