KTM 790 Duke 2018: Pandangan Pertama “The Scalpel”

  • Model KTM 790 Duke, yang diberi nama gelaran “The Scalpel”, telah pun tiba di tanah air kita.
  • Ianya telah dijurutera untuk kegunaan harian, kembara hujung minggu, mahu pun untuk penunggangan atas litar.
  • Motosikal ini cukup ringan dan padat!

KTM berjaya menarik minat ramai dengan model 690 Duke sejak pengenalannya pada tahun 2012. Namun, semenjak itu, pasaran kelas pertengahan telah pun berkembang ke enjin berkapasiti bawah 800cc, dan sudah tiba masanya untuk KTM meneruskan warisan tersebut dengan model 790 Duke.

KTM telah pun membelanjakan sejumlah besar dana bagi membangunkan model KTM 790 Duke 2018. Pembangunannya sahaja telah mengambil masa 4 tahun dan juga 18 buah prototaip sebelum mereka bersedia memperkenalkannya.

Dan pada masa ini, “The Scalpel” telah pun tiba di Malaysia dan kami telah berpeluang untuk melihatnya dengan mata sendiri terlebih dahulu. Selain itu, sila tekan pautan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ciri-ciri tambahan dan harga motosikal ini di pasaran kita.

KTM 790 Duke Baharu Telah Tiba Di Malaysia – RM64,800!

Dalam penciptaan motosikal ini, pengilang dari Austria tersebut telah meneliti dengan tekun beberapa buah kriteria.Motosikal yang baharu ini perlu beraksi dengan hebat sebagai tunggangan harian, jentera kembara hujung minggu, dan perlulah menjiwai semangat “READY TO RACE” KTM, dan dengan itu, sesuai untuk tunggangan atas litar. Satu tugas yang besar.

Dan oleh kerana itu, ianya perlu menggabungkan keringanan dan kelincahan sebuah enjin satu silinder (seperti 690 Duke), dan pemecutan pantas seperti sebuah enjin Twin.

Penyelesaian mereka cukup revolusinari dalam sejarah mereka. Bagi memenuhi keperluan di atas, KTM telah mencipta enjin ‘parallel-Twin’ serba baharu yang mereka namakan sebagai LC8c (liquid-cooled, 8-valve, compact). Sebuah enjin ‘parallel-Twin’ (mahu pun mana-mana enjin selari) adalah kompromi terbaik antara pengurangan berat, kepadatan, dan kuasa.

Minta perhatian tuan-tuan dan puan-puan seketika: Sebuah enjin satu silinder sudah pasti mampu memecut dengan pantas, namun, akan menjadi terlalu menelan belanja penyelenggaraan jika prestasinya didesak ke tahap tertingginya. Sebaliknya, enjin V-Twin seperti pada model KTM 1290 pula cukup berkuasa, namun, sudut V pada silindernya memerlukan lebih banyak ruang hadapan dan belakang, lebih berat dan juga rumit. Enjin V-Twin 75 darjah 1,301cc cukup sesuai bagi sebuah motosikal besar, di mana ianya sepatutnya dilengkapi dengan 160 hingga 180hp. Tambahan pula, kerana enjin V-Twin ‘lebar’ ini lebih panjang, lengan ayunnya perlu dijadikan lebih pendek bagi mengimbangi matlamatnya untuk mendapatkan jarak antara roda keseluruhan yang pendek, kerana, jarak antara roda yang lebih pendek menambahkan kelincahannya.

Oleh kerana itu, enjin LC8c ini adalah salah sebuah enjin paling kompak dunia. Kepadatannya membolehkan adanya sebuah motosikal yang lebih ringan secara keseluruhannya, peletakan enjin optimal dalam kerangka untuk pengagihan berat optimum, dan lengan ayunnya boleh dipanjangkan (untuk kestabilan yang lebih baik) dan pada masa yang sama, masih mempunyai jarak antara roda yang lebih pendek.

Enjin LC8c, DOHC, 799cc ini menghasilkan 105hp pada 9,000rpm, dan 87Nm pada 8,000rpm. Walaupun ianya bukanlah jumlah keluaran kuasa tertinggi di kalangan saingannya dalam segmen di bawah 800cc, KTM 790 Duke mempunyai berat bersih yang agak ringan, iaitu hanya 169kg. Ini bermakna nisbah berat-ke-kuasanya adalah pada 1.61kg/1hp.

Bagi meredamkan getaran enjin, para jurutera KTM telah membekalkan enjin LC8c ini dengan dua pengimbang balas; sebuah di kedudukan biasanya di hadapan aci engkol dan sebuah lagi di antara aci sesondolnya.

Aci sesondolnya adalah dari jenis yang digabungkan berbanding daripada sebuah unit tempaan, bagi mengurangkan beratnya. Bahagian “lifters’ finger followers”nya pula telah disadur dengan DLC (diamond-like coating) untuk memastikan jangka hayat yang panjang.

Sistem klacnya menggunakan sistem PASC (Power and Assist Slipper Clutch) milik KTM, yang mana plet klacnya ditekan rapat bersama dengan lebih kuat sewaktu pemecutan, membolehkan penunggang mengunakan tuil dengan satu jari, manakala fungsi ‘slipper’nya pula mengasingkan plet sewaktu penyahpecutan yang kuat sewaktu penurunan gear yang mendadak, bagi menghapuskan lompatan atau penguncian roda belakang.

Bagi bahagian casisnya, kerangka tiub ‘chrome-molbydenum’ serba baharu dipotong menggunakan laser dan dikimpal oleh robot untuk kejituan yang hebat. Berbanding dengan kerangka ‘steel ladder’ yang ada pada model KTM yang lain, kerangka 790 Duke ini mempunyai sebuah palang di kedua-dua belah sisi atas enjin, manakala dua lagi palang menjulur ke bawah bagi mendakap bahagian hadapan enjin. Rekabentuk ini cukup kuat, ringkas, dan ringan; malah, kerangka baharu ini adalah antara yang paling ringan di kalangan keseluruhan motosikal pengeluaran semasa dalam segmen yang sama. Geometri sterengnya ditetapkan pada sudut 24 darjah yang agresif.

Sub-rangkanya adalah sebuah unit aluminium tempa. Di sinilah terletaknya kotak udara motosikal ini, mirip motosikal ‘dirtbike’ KTM. Merumahkan kotak udaranya di sini memberikannya dua kelebihan: 1) Masukan udara diasingkan dari haba enjin, dan 2) Tangki bahanapinya kini lebih rendah untuk pusat graviti yang lebih baik. KTM juga telah mereka bentuk sub-rangka ini bagi membolehkan ketinggian pelana yang lebih rendah, iaitu pada hanya 825mm.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, lengan ayunnya telah dipanjangkan. Bagaimana pun, ianya masih menggunakan rekaan kekisi terbuka tempaan yang sering kita jumpa pada motosikal KTM yang lain.

Di bahagian suspensinya, forknya adalah dari jenis kartrij terbuka 43mm WP Suspension. Tugas redaman lantunan dan pemampatan dijalankan oleh kaki fork yang berlainan, manakala pegasnya bersifat progresif. Penyerap hentakan belakangnya juga buatan WP dan ianya dari jenis bantuan gas.

Mengendalikan daya henti hadapan adalah dua cakera brek 300mm yang diapit oleh angkup pautan jejari 4 omboh. Angkup ini dihasilkan khusus untuk model 790 Duke ini.

Untuk bahagian elektroniknya pula, model 790 Duke ini didatangkan dengan pelbagai bantuan penunggang. Selain daripada pendikit ‘Ride-by-Wire’, ianya juga dilengkapi dengan empat mod tunggangan; RAIN, STREET, SPORT, dan TRACK. Dalam mod TRACK, penunggang boleh menyesuaikan tahap tindak balas pendikit mengikut kesukaan mereka di antara STREET, SPORT, TRACK; menghidupkan atau mematikan fungsi anti-wheelie dan kawalan mulaan; dan tahap kawalan cengkaman.

Bantuan elektronik yang lain termasuklah Motor Slip Regulation (MSR) yang melengkapkan lagi fungsi klac slipper bagi memberikan kebolehan penyahpecutan keras yang terkawal; Motorcycle Stability Control (MSC) dengan ABS Menyelekoh; mod Supermoto yang mematikan fungsi ABS roda belakang yang membolehkannya untuk ‘drift’,; serta Quickshifter+, yang dilengkapkan sebagai kelengkapan standard, hanya fungsi KTM MY RIDE yang datang sebagai kelengkapan pilihan tambahan.

Berdasarkan ciri-ciri menakjubkan yang ada padanya, segmen kelas pertengahan bawah 800cc sudah pasti akan menjadi lebih hangat lagi. Teruskan bersama kami untuk ulasan penuh tunggang ujinya nanti!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]