- Ducati telah memperkenalkan model edisi terhad, Ducati Monster 1200 25º Anniversario 2019.
- Hanya 500 buah unit akan disediakan di pasaran seluruh dunia bermula bulan September.
- Ciri terhebat model ulang tahun ke-25 ini adalah kemasan warna istimewa ‘tricolour’ merah, putih, dan hijau Italinya, beserta logo ulang tahunnya.
Sewaktu pengumuman yang telah dibuat berkaitan dengan World Ducati Week 2018 (WDW2018) baru-baru ini, Ducati telah membuat kejutan dengan melancarkan motosikal Ducati Monster 1200 25º Anniversario 2019. Jentera yang teramat terhad ini telah dipersembahkan oleh penunggang MotoGP mereka, Andrea Dovizioso.
Hanya 500 buah unit sahaja bagi model Monster 1200 25º Anninversario ini yang akan dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada motosikal naked yang ikonik, yang mana telah mula dihasilkan pada tahun 1993 yang lalu. Ciri terhebat pada model ulang tahun ke-25 ini adalah kemasan warna istimewa ‘tricolour’ merah, putih, dan hijau Italinya, beserta dengan logo ulang tahunnya.
Bagi memastikan yang model Monster yang amat terhad dan terkini mereka lebih istimewa, Ducati telah melengkapkannya dengan pelbagai kelengkapan serta aksesori eksklusif yang istimewa seperti:
- Grafik bendera Itali 25º Anniversario dengan bingkai serta rim roda berwarna emas.
- Pelana premium dengan logo sulaman “25º”.
- Nombor siri edisi terhad (XXX/500) pada kerangka.
- Roda tempa Marchesini dengan jejari W.
- Peredam stereng Öhlins.
- Tuil klac dan brek bersendi.
- Cermin yang dicanai mesin.
- Plag kerangka yang dicanai mesin.
- Pemberat hujung palang pemegang yang dicanai mesin.
- Pemegang plet aluminium.
- Penutup lubang kunci karbon fiber.
- Pelindung haba ekzos karbon fiber.
- Madgad depan dan belakang karbon fiber.
- Cengkaman khusus.
- ‘Nose fairing’.
- Penutup tangki bahanapi yang dicanai mesin (dibekalkan).
- Penutup motosikal 25º Anniversario (dibekalkan).
Motosikal Monster yang pertama muncul buat kali pertama pada tahun 1992 di festival perdagangan di Cologne, dan sejurus selepas itu, pada bulan Mac 1993, ia mula dikilangkan. Tidak lama selepas itu, motosikal ini mencecah status ikon dan telah menjadi tanda aras bagi jentera naked berprestasi tinggi yang bagus.
Bagi motosikal Ducati Monster ulang tahun ke-25 ini, inspirasi utamanya datang dari model Ducati Monster S4RS Testastretta Tricolore 2008. Dengan rupa paras ‘tricolour’-nya, sehinggalah ke kerangka trellis emasnya, motosikal Monster 25º Anniversario ini tampak gah sekali, walaupun dalam keadaan pegun.
Dijana enjin DS, 11-darjah, Testastretta dwi-silinder, 1,202cc, tawaran terkini dalam rangkaian Monster ini mampu menghasilkan sehingga 147hp pada 9,250rpm dan 124Nm tork maksimum pada 7,750rpm. Jumlah keluaran ini membolehkannya menawarkan fleksibiliti yang hebat pada kelajuan yang lebih rendah dan ledakan kuasa tanpa penghujung pada jangkauan pertengahan dan tinggi rpm. Digandingkan senggang antara penyelenggaraan yang panjang, iaitu bagi setiap 30,000km, model Monster ini memastikan jangka hayat motosikal yang lebih bersesuaian buat ke semua pemiliknya di seluruh dunia.
Ciri-ciri hebat yang lain termasuklah:
- Fork hadapan boleh laras sepenuhnya 48mm Öhlins.
- Suspensi belakang boleh laras sepenuhnya Öhlins.
- Cakera brek berganda hadapan 330mm Brembo yang digandingkan dengan angkup monobloc Brembo M50.
- Cakera brek belakang berdiameter 245mm.
- Tiga Mod Tunggangan berbeza (SPORT, TOURING, dan URBAN).
- ‘Inertial Measurement Unit’ (IMU).
- ABS Menyelekoh Bosch.
- Sistem ‘Ducati Wheelie Control’ (DWC).
- ‘Ducati Traction Control’ (DTC).
- ‘Ducati Quick Shift Up and Down’ (DQS).
- Instrumen TFT berwarna.
- Sistem nyalaan waktu siang (DRL).
Model Ducati Monster 1200 25º Anniversario 2019 akan disediakan secara berperingkat di seluruh bermula pada bulan September. Harganya masih belum diumumkan lagi.