- Model Moto Guzzi V7 III Carbon Shine menampilkan kemaskini estetik pada rangkaian popular V7.
- Tiada perubahan dari segi prestasi pada motosikal ini, tetapi, ianya telah dilengkapi dengan bahagian karbon fiber untuk menyerlahkan lagi rupa parasnya.
- Hanya 500 unit yang akan dihasilkan untuk seluruh dunia, dan berkemungkinan ada yang akan tiba di tanah air kita.
Dari segi penggayaan retro, Moto Guzzi adalah satu-satunya jenama yang kekal tulus sejak bertahun lamanya. Model V7 secara amnya tidak banyak berubah dari awal pengenalannya, kecuali untuk beberapa buah perincian moden bagi membawanya ke zaman semasa.
Rangkaian V7 ini telah menghasilkan pelbagai edisi khas, termasuklah model Anniversario yang cukup menawan. Model berkenaan telah pun habis dijual dan kini, Moto Guzzi telah kembali dengan sebuah lagi model yang cukup menggugat iman yang telah diberi nama yang amat cocok sekali, V7 III Carbon Shine.
Ianya tidak banyak berubah dari segi penggayaan mahu pun prestasi, dengan enjin V-Twin melintang 90 darjah dan pacuan syaf yang sama. Malah kemaskininya adalah dari segi estetik sahaja, dengan penonjolan gabungan warna hitam dan krom.
Tangki bahanapinya disadur krom dengan tali kulit berwarna hitam pada bahagian atasnya, yang sama boleh didapati pada model Anniversario, dengan tali kuil berwarna perang. Ia juga dilengkapi dengan bahagian karbon fiber di madgad hadapannya dan di panel sisi, bahagian aluminium canaian ‘billet’, dan pelana jahitan tangan yang bergaya.
Hanya 500 unit motosikal asli yang menawan ini yang akan dihasilkan, dan ada kemungkinan beberapa buah daripadanya akan tiba di pasaran Malaysia, memandangkan kebangkitan semula jenama Guzzi di Malaysia.
Sebagai bukti, “The Clan”, nama yang telah diberi untuk kelab pemilik Moto Guzzi, telah bergiat aktif di Malaysia pada kebelakangan ini. TEKAN SINI untuk membaca artikel kami mengenai tunggangan malam yang telah mereka jalankan ke Pulau Pinang baru-baru ini, atau saksikanlah video sorotan konvoi ke Melaka di bawah, di mana mereka telah singgah ke The Straits Werks Cafe.