Sepuluh Perseteruan Perlumbaan Motosikal Paling Hangat (Bahagian 1)

Pedrosa merempuh Hayden – Sumber imej: MotoGP.com
  • Perlumbaan motosikal sering kali menampilkan pelumba yang berpewatakan yang amat menarik.
  • Apabila para pelumba ini bertentangan antara satu sama lain, ianya sudah pasti akan mencetuskan persaingan yang sama hebatnya.
  • Perseteruan sebeginilah, di samping faktor-faktor yang lain, membuatkan perlumbaan motosikal ini amat menarik untuk ditonton.

Perbalahan antara dua orang penunggang terkemuka, Valentino Rossi dan Marc Marquez bukannya satu benda yang baharu.

Marc Marquez (93), menggeser Valentino Rossi (46)

Walaupun pada kebanyakan masanya mereka bersikap professional, sebagai insan biasa, mereka tidak terlepas dengan kesilapan. Dan sebagai manusia biasa, sering kali perasaan mengambil alih diri, lebih-lebih lagi apabila ianya berkaitan dengan kemegahan dan periuk nasi mereka. Namun, mereka bukannya yang pertama yang bersengketa di arena perlumbaan motosikal, dan persaingan hangat sebeginilah yang sering menambah rencah pada perlumbaan motosikal.

10. Neil Hodgson vs. Aaron Slight, WSB, 1998

Hodgson (5) mendahului Slight (111)

Anda mungkin pernah mendengar nama mereka ini, memandangkan kedua-duanya kini bertugas sebagai pengulas perlumbaan motosikal, lebih-lebih lagi Aaron Slight bagi siri perlumbaan MotoGP.

Sebelum bermulanya perlumbaan World Superbike di Brands Hatch pada tahun 1998, penunggang dari New Zealand, Aaron Slight telah memberitahu Neil Hodgson untuk tidak menghalang laluannya kerana dia hendak mencabar Carl Fogarty bagi takhta WSB.

Pertama sekali, Hodgson dan Slight bukannya teman sepasukan pun, dan keduanya, tidak mungkin Hodgson memberi laluan di litar negaranya. Neil tidak menghiraukan ‘arahan’ Slight dan berlumba sepenuh hati sepanjang perlumbaan. Ini memberangkan Slight dan dia telah menghamun Hodgson sewaktu pusingan ‘cool down’. Mereka berdua kemudiannya menuruni jentera masing-masing dan berbalas tumbukan. Marsyal litar terpaksa meleraikan mereka sebelum keadaan bertukar lebih serius.

Sebab ini agaknya Aaron Slight cakap perlahan sangat sekarang ini.

9. Loris Capirossi vs. Tetsuya Harada, GP 250cc, 1998

Capirossi (65) merempuh Harada (31) – Sumber imej: enoanderson.com

Aprilia telah menampilkan pasukan pengilang 3 pelumba yang terdiri dari Loris Capirossi, Tetsuya Harada, dan seorang penunggang baru ketika itu, Valentino Rossi. Capirossi sedang mendahului kedudukan kejohanan pada waktu itu dengan beza empat mata dan mereka akan memasuki pusingan akhir di Argentina, namun, Harada bertekad untuk memenangi kejohanan tersebut dan sedang mendahului perlumbaan tersebut. Capirossi tahu yang dia tidak ada peluang yang cerah untuk memintas penunggang dari Jepun itu. Jika ianya berakhir sebegini, Harada akan dinobatkan sebagai juara dengan beza satu mata sahaja.

Capirossi mengerti apa yang perlu dilakukan. Dia meluru masuk dari sebelah dalam Harada dan telah menyebabkan mereka berdua terbabas, dan dengan itu, mencuri kejuaraan tersebut.

Kedua-dua Aprilia dan Harada sangat berang dengan tindakan Capirossi. Pasukan pengilang tersebut enggan melanjutkan kontrak Capirossi untuk tahun berikutnya walaupun dia merupakan juara 250cc.

8. Dani Pedrosa VS. Nicky Hayden, MotoGP, 2006

Pedrosa merempuh Hayden – Sumber imej: MotoGP.com

Mendiang Nicky Hayden telah bersaing dengan Valentino Rossi sepanjang keseluruhan musim 2006. Rossi telah memenangi lima perlumbaan, namun, telah gagal menamatkan perlumbaan sebanyak beberapa kali akibat kerosakan mekanikal, tetapi berjaya merapatkan jurang sebanyak 51 mata bagi mencabar Hayden pada dua pusingan terakhir.

Tetapi, walaupun pada tahap itu, teman sepasukan Hayden, Dani Pedrosa, tetap tidak mahu mengalah dan masih sanggup untuk bersaing dengan penunggang Amerika Syarikat itu untuk memenangi perlumbaan.

Sewaktu pusingan kedua terakhir di Estoril Portugal, daripada menyokong Hayden, kedua-dua teman sepasukan tersebut telah bersaing sesama sendiri. Dan pertarungan ini berakhir dengan Pedrosa merempuh motosikal Hayden, menyebabkan mereka berdua terbabas.

Meme yang lahir dari kemalangan antara Pedrosa dan Hayden

Pasukan Honda menyangkakan yang peluang Hayden untuk menjuarai kejohanan pada tahun itu telah pun terpadam.

Bagaimana pun, Rossi terbabas di pusingan terakhir di Valencia. Dia mengejar kembali sehingga mendapat tempat ke-13, membolehkan Hayden memenangi kejuaraan dengan jurang lima mata, yang secara ironinya, adalah lima mata yang telah dia hilang di tangan Tony Elias, pemenang perlumbaan di Portugal.

7. Matt Mladin vs. Ben Spies, AMA Superbikes, 2000 – 2008

Spies (1) mendahului Mladin (66) – Sumber imej: AMA

Penunggang Australia, Matt Mladin telah mendominasi siri perlumbaan American Superbike Championship dengan memenangi kejuaraan sebanyak enam tahun berturut-turut, sebelum munculnya seorang penunggang muda bernama Ben Spies yang menggugat kejayaannya. Mladin terasa dimalukan dan bertindak dengan melakukan perang mulut, dengan kenyataan seperti, ” Mak dia (Spies) masih mengekorinya untuk menjaga dirinya,” dengan harapan ianya akan mengganggu tumpuan Spies.

Namun Spies langsung tidak mengendahkannya dan telah memenangi 3 kejuaraan berturut-turut, sebelum berpindah ke WSBK dan memenangi kejohanan tersebut pada musim rookie-nya, dan kemudiannya berpindah ke MotoGP.

6. Kenny Roberts Sr. vs. Barry Sheene, GP 500cc, 1978 – 1982

Sheene (7) mendahului Roberts (1) – Sumber imej: otorcycleoftheday.blogspot.com

Barry Sheene merupakan juara GP Dunia 500cc sehinggalah munculnya seorang penunggang gila-gila dari California, Kenny Roberts.

Kedua-dua penunggang tidak menyenangi satu sama lain. Sheene pernah ditanya tentang pendapatnya mengenai Roberts sebagai ‘development rider’, yang mana dia telah menjawab dengan “He couldn’t even develop a cold”. Kenny membalas semula dengan mengatakan satu-satunya sebab dia bangun setiap hari adalah untuk mengalahkan Barry Sheene.

Kemuncak pertelingkahan mereka adalah semasa GP British 1979, sewaktu Sheene menunjukkan jari tengahnya setelah memintas Roberts. Roberts membalas semula dengan serta merta dan memulakan satu pertarungan yang epik sebelum berjaya memintas penunggang Inggeris itu dan memenangi perlumbaan tersebut.

Teruskan bersama kami bagi Bahagian 2 di mana kami akan menyenaraikan lagi perseteruan terhangat dalam perlumbaan motosikal.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]