- Dani Pedrosa telah setia berkhidmat bagi pasukan Honda MotoGP sejak 2006 lagi.
- Dia sering dinamakan antara pesaing utama kejohanan, namun dengan kemerosotan prestasinya pada musim ini telah mengundang kritikan.
- Honda telah mengesahkan bahawa mereka telah memaklumkan Dani bahawa kontraknya tidak akan diperbaharui bagi tahun 2019.
- Tetapi, siapakah yang akan menggantikannya? Jorge Lorenzo adalah salah satu nama yang telah disebut-sebut.
Repsol Honda dengan secara rasminya telah memaklumkan penunggang pasukan tersebut, Dani Pedrosa, yang kontraknya tidak akan diperbaharui bagi tahun 2019.
Ada sesetengah yang berkata tanda-tandanya telah dapat dilihat sekian lama memandangkan keputusannya yang tidak memberangsangkan setakat ini bagi musim 2018, di mana Dani kini sedang menduduki tangga ke-12 dalam kejohanan manakala teman sepasukannya, Marc Marcquez, sedang mendahului kejuaraan.
Walaupun ianya tidaklah begitu mengejutkan, berita ini cukup menyedihkan memandangkan Dani hanya pernah berlumba di atas jentera Honda sahaja di sepanjang kerjaya perlumbaannya. Dia telah memenangi kejuaraan 125cc 2003 dan juga kejuaraan 250cc 2005 dengan Honda. Dani juga telah bersama pasukan HRC MotoGP sejak tahun 2006 lagi.
Tiada sebarang berita mengenai penggantinya lagi, namun, ada desas-desus yang mengatakan Honda akan juga merisik Jorge Lorenzo. Besar kemungkinannya ianya tidak akan berlaku, memandangkan penunggang dari Sepanyol itu, yang kontraknya dengan Ducati akan tamat pada penghujung musim ini, tampak sedia untuk menyertai sebuah pasukan satelit tajaan bersama Petronas dan Yamaha.
Pasukan Petronas Yamaha MotoGP Bakal Ditubuhkan Dengan Jorge Lorenzo dan Hafizh Syahrin?
Namun godaan berlumba dengan jentera yang telah terbukti sukar untuk ditandingi di tangan yang pakar sejak beberapa musim yang lalu mungkin cukup sukar untuk ditepis. Apa yang boleh kita lakukan hanyalah tunggu dan lihat. Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini MotoGP.