Pandu Uji SUV Mazda CX-9

Artikel oleh: Chris Wee

Ianya teramat bagus. Benar. Jarang saya mulakan ulasan dengan terus memberikan pandangan saya, tetapi, untuk kali ini, saya rasa tidak perlulah kita berdolak-dalik lagi. Jadi, saya akan mulakan seperti mana yang saya sering lakukan pada penghujungnya: Jika anda ingin memiliki kenderaan SUV besar 7 tempat duduk, dan ianya berada dalam jangkauan bajet anda, anda mesti memandu uji Mazda CX-9 ini. Dan kini, sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, saya akan terangkan mengapa… namun, sebelum itu, saksikanlah video tanggapan pertama saya sewaktu mengambil CX-9 ini dari Bermaz.

Pertama sekali, walau pun kecantikan itu satu perkara yang subjektif, di mana setiap orang mempunyai pendapat yang agak berlainan tentang apa yang mereka rasakan sebagai cantik, saya secara peribadinya merasakan yang Mazda CX-9 ini sebuah SUV yang teramatlah menarik rupa parasnya, lebih-lebih lagi dari sudut ini:

Malah, warna badan bagi unit pandu uji ini, sebenarnya pada pandangan penulis, tidak menonjolkan keanggunan gayanya, kerana saya pernah melihatnya dengan warna Perak (silver), dan ianya kelihatan lebih menakjubkan. CX-9 ini berjaya tampil dengan gaya yang elegan dan pada masa yang sama dengan gaya yang tidak keterlaluan sporty, dan tuan-tuan, ianya jauh lebih menarik di bahagian dalaman.

Gambar sahaja tidak cukup bagi membayangkan perasaan berada di dalam model CX-9 ini, kerana semangat jinba-ittai* dapat dirasakan dengan kuat sekali. Sebaik sahaja anda memasukinya, ianya terasa seperti anda berada di dalam sebuah SUV ‘continental’, kerana ianya kelihatan amat mewah. Dari segi bahagian dalamannya, model CX-9 ini adalah salah satu yang terbaik dalam kelasnya, jika tidak yang terbaik sekali. Di mana ergonomiknya cukup hebat sekali, ianya bukan sekadar bagaimana bahagian dalamannya disusun atur, tetapi juga bagaimana ianya diperbuat dan dari bahan apakah ianya diperbuat, yang telah meletakkanya pada satu aras yang berbeza berbanding SUV-SUV lain.

*”Jinba-Ittai melambangkan perasaan ‘ke-satu-an’ antara pemandu dan jenteranya yang merupakan ikatan yang muktamad” – Mazda.

Perkara yang paling menakjubkan mengenai CX-9 ini adalah cara ia menggunakan 228hp dan sejumlah 420Nm tork yang dijana oleh enjin petrol 4 silinder, Skyactiv-G 16-injap, DOHC, 2.5 liternya, yang digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan Skyactiv Drive dengan kebolehan syif manual. Keseluruhan daya kilasnya boleh dicapai serendah 2,000rpm, dan ini membolehkan CX-9 ini untuk memecut dari kedudukan pegun ke kelajuan tiga digit dalam masa yang tidak padan dengan saiznya yang besar itu.

Atas jasa GVC (G-Force Vectoring Control), pemecutan dan halaju yang dicapai oleh CX-9 ini juga terasa lebih halus dan lancar, berbanding terburu-buru dan menggila. Redaman NVH yang hebat juga bermakna yang kelajuan yang melebihi had kelajuan negara bagaikan tidak terasa langsung; 140km/j terasa seperti 80km/j sahaja. Jadi, berjaga-jagalah ya….

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan *GVC? Agak sukar untuk menerangkan apa itu GVC, kerana secara amnya ianya boleh dikatakan sebagai ‘rasa/perasaan’. Dengan menggunakan sejumlah pengesan aktif canggih yang senantiasa berkomunikasi antara enjin, kotak gear, pedal minyak, roda stereng, suspensi, sistem keselamatan aktif, dan juga casis, GVC secara terus menerus mengawasi segala maklum balas pemanduan dari pemandu, sebagai contoh kelajuan, keadaan muka bumi, kedudukan pendikit, pemecutan, nyahpecutan, malah daya ‘lateral’ dan ‘longitudinal’, bagi mengoptimakan setiap aspek bagi membolehkannya menawarkan pemanduan yang lebih santai dan lancar, tidak kiralah di atas jalan lurus lebuh raya mahu pun jalan raya yang bersimpang siur.

Faham ke tidak? Okeylah, secara mudah ianya magik. GVC ini magik. Ia terasa seperti magik, tetapi jika anda inginkan penerangan yang lebih teliti dan jitu, yang lebih baik daripada apa yang ada di atas, TEKAN SINI untuk pautannya.

Dan kini, untuk harganya. Kerana model CX-9 ini diimport sepenuhnya (CBU), ia telah ditetapkan pada harga RM265,585.40 bagi varian 2WD seperti yang telah kami pandu uji, dan RM280,585.40 bagi varian AWD (kedua-dua varian berkongsi ‘powertrain’ yang sama). Harga-harga ini adalah harga 0% GST, yang mana harga bagi varian AWD sebelum ini adalah lebih hampir kepada RM300,000.

Tetapi, seperti yang saya kata sewaktu penutup video di bawah, saya memandu uji SUV ini tanpa ingin mengetahui apa pun mengenainya. Sungguh, sewaktu saya mengambilnya, saya tidak tahu harganya, atau apakah spesifikasinya, dan dengan senang hatinya saya mengatakan yang saya tersalah anggar akan setiap aspeknya, lebih-lebih harganya. Seperti yang dapat anda saksikan dalam video di bawah, saya ada nyatakan yang ianya “terasa seperti bernilai setengah juta”. Ia tidaklah semahal itu, sikit pun tidak, namun, ianya terasa ia patut berharga sebegitu. – Chris Wee

Galeri Gambar

Spesifikasi Mazda CX-9 dan senarai harga 0% GST:

Lembaran Spesifikasi Mazda CX-9 (2WD)
Lembaran Spesifikasi Mazda CX-9 (AWD)
Senarai harga penuh 0% GST bagi Sabah dan Sarawak

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]