- Pusingan 1 Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018 (MSBK) bermula dengan hebat.
- Cuti yang panjang tidak menghalang para pasukan dari bertanding tanpa masa yang panjang untuk bersiap-sedia.
- Persaingan sengit dan mengujakan dalam beberapa kategori.
Negara mungkin masih sedang bergembira dengan kemenangan rakyat ketika PRU14 pada pertengahan minggu lalu, dan suasana perayaan itu diteruskan sewaktu Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018 (MSBK 2018).
Pilihan Raya Umum dan cuti umum yang menyusul telah memendekkan masa yang ada untuk setiap pasukan bagi mengatur cara motosikal mereka untuk perlumbaan. Namun begitu, ke semua pasukan telah menghadirkan diri dan menggunakan sesi latihan bagi mempercepatkan proses tersebut.
Namun begitu, ianya amat menyegarkan untuk menyaksikan siri perlumbaan yang amat mesra keluarga. Kebanyakan penunggang dan ahli pasukan telah turut membawa sama keluarga mereka ke kawasan paddock. Mereka makan bersama. Kalah, menang dirai bersama. Sama-sama berdoa.
Ada empat kategori yang telah dipertandingkan pada tahun ini: Superbike, Superstock, Supersport, dan Super 250. Setiap kelas kemudiannya dibahagikan kepada kelas Open dan Rookie, yang dipertandingkan bersama dalam setiap perlumbaan.
Hari Sabtu bermula dengan cuaca yang agak panas yang kemudiannya bertukar terik sebelum matahari tegak di atas kepala lagi. Para penunggang yang masuk kembali ke paddock setelah sesi latihan ke semuanya kelihatan agak penat, sedangkan mereka ini jauh lebih cergas dari kebanyakan kita. Ada beberapa buah pasukan yang telah menyediakan kolam getah di belakang kawasan pit mereka sebagai pelan kontingensi sekiranya penunggang mereka mengalami strok haba.
Sesi kelayakannya telah diadakan dalam panas yang membahang, namun, catatan masanya tetap amat pantas. Sebagai contoh, penunggang baru Chia Motor PJ, Azlan Shah Kamaruzaman, berjaya mendapat Petak Pertama dalam kategori Superbike dengan catatan masa 2:09.506, 0.8 saat lebih pantas dari penunggang di tempat ke-dua, Ramdan Rosli, dari pasukan TOC HKMTOYO Racing Team.
Bekas juara MSBK, Rajini Krishnan, yang mengendalikan pasukannya sendiri, iaitu Team RACR, telah kembali dalam siri perlumbaan MSBK di atas jentera Yamaha R-1M, dan akan memulakan perlumbaan dari tempat ke-tiga dengan catatan masa 2:11.157.
Catatan masa kelayakan dalam ke semua kelas-kelas yang lain juga mengikut corak yang sama.
Bagaimana pun, segala usaha kelayakan itu hampir menjadi sia-sia bagi beberapa orang pelumba.
Taburan hujan yang lebat membanjiri litar. Dengan awan tebal melindungi langit, litar kekal basah hampir seluruh hari, sehinggalah ke lewat petang.
Bagi sesiapa yang pernah menunggang atau memandu di atas Litar Antarabangsa Sepang pasti sudah sedia maklum keadaannya yang mengaburi mata. Litar mungkin kelihatan kering, sehinggalah anda melaluinya baru anda sedari yang sebahagian daripadanya sebenarnya basah.
Perlumbaan pertama pada hari itu, Perlumbaan 1 Superbike, telah dimulakan setelah ianya diisytiharkan sebagai WET RACE. Sewaktu para pendahulu mencuba sedaya upaya mengawal jentera mereka di atas litar, terdapat enam orang penunggang yang terbabas di belakang mereka di atas bahagian litar yang tiada air bertakung di atasnya.
Rajini berlumba dengan hebat sekali dan memenangi perlumbaan tersebut di hadapan Ramdan Rosli dan Azlan Shah.
Para pesaing dalam kelas yang lain juga turut berlumba di atas litar yang basah, namun, di antara semua perlumbaan yang telah dijalankan, Perlumbaan 1 kategori Super 250 ternyata paling menghiburkan. Peraturan tidak memisahkan motosikal satu dan dua silinder, namun, motosikal satu-silinderlah yang ternyata lebih pantas di atas jalan lurus Litar Sepang. Pertarungan enam penjuru untuk tempat pertama telah terjadi sewaktu pusingan-pusingan akhir dengan pintasan tajam dan junaman kamikaze memotong satu sama lain. Dan aksi tersebutlah yang telah menentukan keputusan perlumbaan di selekoh terakhir pada pusingan terakhir, di mana seorang penunggang tersasar zon pembrekannya dan merempuh penunggang yang berada di tempat ke-dua. Penunggang berusia 16 tahun dari Indonesia, Surya Narayana bersaing sengit dengan pelumba yang lain dan berjaya merangkul kemenangan dalam ke semua perlumbaan. Di atas motosikal yang dipinjam.
Litar mulai kering menjelang Perlumbaan 2 Supersport dan ianya merupakan kali pertama tayar ‘slick’ Pirelli membuat kemunculan sewaktu perlumbaan Superbike. Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Hong Leong Yamaha Racing memenangi Perlumbaan 2, menebus kesilapan terbabas sewaktu Perlumbaan 1. Pasukannya telah bekerja keras sepanjang waktu senggang antara perlumbaan bagi memperbaiki jenteranya.
Azlan Shah mendahului perlumbaan sewaktu Perlumbaan 2 Superbike, ketika Ramdan berhadapan dengan masalah brek, manakala Rajini pula terbabas pada permulaan Pusingan 3. Rajini berjaya menaiki semula motosikalnya dan bertarung bagi mendapatkan tempat ke-lima.
Dalam perlumbaan Superstock 1000 yang dijalankan selepas perlumbaan superbike, Azrol Hakeem dari pasukan Fastthrottle Motorsports menunggang dengan bergaya dan mendominasi kedua-dua perlumbaan.
Sebagai rumusannya, ianya satu hujung minggu yang hebat penuh dengan perlumbaan yang menakjubkan. Malangnya, oleh kerana ramai masih berada di kampung halaman kerana cuti panjang, bilangan penonton lebih rendah dari yang dijangkakan. Mereka telah terlepas peluang menyaksikan satu pertunjukan yang hebat.
Kita akan bertemu kembali nanti sewaktu Pusingan 2 Pirelli Malaysia Superbike Championship yang akan bersambung selepas bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.