- Ducati North America telah mengeluarkan dua panggilan semula bagi model Ducati Panigale V4 2018 terbaru.
- Ke semua 692 buah unit motosikal V4, V4 S, dan V4 Speciale telah terjejas dengan dua isu yang berkaitan dengan sistem pengudaraan bahanapinya dan juga penutup tangki bahanapi.
- Kedua-dua panggilan semula ini telah diisukan dengan segera kerana ia mungkin akan meningkatkan risiko kebakaran jika ada sumber nyalaan.
National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), badan keselamatan jalan raya di Amerika Syarikat telah mengeluarkan bukan satu, tetapi, dua panggilan semula yang berbeza bagi motosikal terkini dan paling dinanti-nantikan penggemarnya, Ducati Panigale V4 2018.
Panggilan semula ini adalah atas kerana model Panigale janaan V4 yang baru ini telah didiagnos dengan ‘kebocoran bahanapi dari plag injap sistem pengudaraan tangki’, dan ‘bahanapi terpercik sewaktu penutup tangki ditanggalkan’. Ke semua 692 buah unit motosikal V4, V4S, dan V4 Speciale yang telah di bawa masuk ke Amerika Syarikat didapati terjejas dengan dua panggilan semula ini, yang telah dikeluarkan bersama dengan bantuan Ducati North America.
Ini adalah satu panggilan utama yang amat penting dan Ducati North America telah bertindak dengan segera dalam menangani situasi ini yang boleh berubah menjadi satu keadaan yang sangat membahayakan. Beberapa bulan yang lalu telah tersebar gambar tular yang menunjukkan sebuah motosikal Ducati Panigale V4 sedang terbakar di Vancouver, Kanada, dan kini, kita sudah mengetahui dengan jelas apa yang telah menyebabkan kebakaran itu berlaku.
Panggilan semula pertama adalah berkenaan dengan plag injap sistem pengudaraan tangki bahanapi, di mana ianya mungkin telah terjejas sewaktu pengilangan. Ini mungkin akan menyebabkan kebocoran bahanapi dari plag injap yang roak itu dan ‘O-ring’ tersebut akan digantikan oleh Ducati bagi memperbetulkan masalah ini.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai panggilan semula plag injap sistem pengudaraan tangki bahanapi, TEKAN SINI.
Panggilan semula kedua berkaitan dengan penutup tangki bahanapi Panigale V4, di mana ia mungkin akan memercikkan bahanapi sewaktu dibuka dan ini berkaitan dengan masalah yang pertama, iaitu plag injap sistem pengudaraan bahanapi yang pincang tugas. Penutup tangki semasa tidak mampu menangani tekanan yang terbentuk di dalam tangki bahanapi dengan baik apabila motosikal tersebut berdepan dengan faktor-faktor seperti suhu luaran, penggunaan motosikal, jumlah bahanapi di dalam tangki dan yang lain-lain.
Bagi memperbetulkan keadaan ini, Ducati North America akan ‘merombak semula’ penutup tangki bahanapi bagi mempertingkatkan lagi kapasiti pengudaraan tangki bahanapi tersebut. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai panggilan semula penutup tangki bahanapi, TEKAN SINI.
Untuk pasaran Malaysia pula, motosikal Ducati Panigale V4 2018 ini semakin menghampiri tarikh pelancarannya. Kami yakin yang Ducati Malaysia akan memastikan bahawa ke semua unit berada dalam keadaan sempurna setibanya ia di tanah air kita nanti.