- Marc VDS kini sedang dalam proses memilih di antara Yamaha atau Suzuki sebagai pembekal utama jentera mereka bagi siri perlumbaan MotoGP musim 2019.
- Perpindahan ini telah bertitik tolak dari keputusan pasukan Tech 3 yang telah mengesahkan perpindahan mereka ke KTM pada musim hadapan.
- Kedua-dua pengilang Yamaha dan Suzuki sedang menimbangkan untuk mewujudkan pasukan satelit bagi mempercepatkan lagi pembangunan jentera mereka.
Pada bulan Mac yang lalu, pasukan MotoGP Tech 3 telah mengumumkan pertukaran mereka dari menggunakan jentera Yamaha ke jentera KTM bagi musim 2019. Perpindahan ini telah meriuhkan lagi suasana di atas grid dan ia kelihatan seperti satu permulaan bagi banyak lagi perpindahan yang lain pada masa yang akan datang.
Dan oleh kerana Tech 3 memutuskan untuk menggunakan jentera KTM RC16 pada tahun hadapan, ini bermakna mana-mana pasukan satelit boleh memiliki jentera Yamaha YZR-M1. Terbukti sebagai salah sebuah jentera paling berdaya saing di atas grid, ia telah menarik perhatian kebanyakan pasukan, dan pasukan Marc VDS adalah salah sebuah pasukan tersebut.
Ini telah berlaku kerana beberapa buah pengilang telah merancang untuk mewujudkan pasukan satelit untuk musim hadapan. Ianya telah disahkan oleh KTM, dan nampak gayanya, Suzuki juga tidak mahu ketinggalan. Jentera Suzuki GSX-RR juga nampaknya telah bersedia untuk digunakan oleh pasukan satelit.
Tiada berita mengenai pasukan yang lain selain Marc VDS, yang telah menunjukkan minat untuk bertukar dari jentera Honda RC213V yang mereka dapati agak mencabar untuk dikemudi. Perpindahan ini juga diharapkan membuahkan sesuatu yang berbeza seperti perjanjian pengilang yang telah diperoleh LCR Honda dan Octo Pramac Racing.
Seperti mana yang telah kita sedia maklum, para penunggang seperti Cal Crutchlow, Danilo Petrucci, dan Jack Miller bukannya menunggang jentera dari musim yang sebelumnya. Malah, jentera Honda RC213V dan Ducati Desmosedici mereka adalah jentera yang hampir serupa dengan jentera yang dikemudi oleh Marc Marquez dan Andrea Dovizioso.
Ini juga sebab utama mengapa pasukan Tech 3 berpindah ke KTM, kerana pengilang tersebut telah menawarkan jentera pengilang terkini dan bukannya motosikal yang telah mereka gunakan pada musim yang sebelumnya. Yamaha dan Suzuki juga sedang menimbangkan kemungkinan tersebut dan ini sudah pasti akan membuatkan para penunggang di atas grid jauh lebih berdaya saing dari sebelum ini.
Jadi, persoalannya sekarang, antara jentera Yamaha M1 atau Suzuki GSX-RR, yang mana satu pilihan Marc VDS?
Sumber imej: MotoGP