- Motosikal Aprilia RSV4 RF LE adalah motosikal pertama dalam dunia yang telah dilengkapi dengan reraup aero.
- Reka bentuknya telah mengambil inspirasi dari motosikal projek MotoGP mereka, iaitu Aprilia RS-GP
- Hanya 125 buah unit sahaja yang akan dihasilkan bagi pasaran Amerika Utara dengan harga $24,499 (sekitar RM95,484).
Memperkenalkan, motosikal superbike pengeluaran pertama dunia yang dilengkapi dengan reraup aero dan ianya teramatlah terhad. Aprilia hanya akan menghasilkan 125 buah unit sahaja bagi motosikal Aprilia RSV4 RF LE 2018 bagi pasaran Amerika Utara, di mana 100 buah daripadanya akan disediakan untuk Amerika Syarikat dan 25 buah untuk Kanada.
Bagi mereka yang berkemampuan dan sanggup membelanjakan sejumlah $24,499 (kira-kira RM95,484, tidak termasuk segala duti import, duti eksais dan cukai) akan mampu memiliki salah sebuah jentera yang menggiurkan ini tetapi hanya sekiranya mereka bertindak pantas sebelum ia habis terjual.
Dihasilkan di bawah pengawasan teliti program “Aprilia’s Factory Work” (bahagian perlumbaan Aprilia), ‘winglet’ atau dikenali sebagai reraup aero dalam siri perlumbaan MotoGP, hanyalah perhiasan dan tidak direka dengan sebarang fungsi. Sebaliknya, penghasilannya adalah untuk merapatkan pemiliknya dari segi visual dengan jentera projek MotoGP jenama tersebut, iaitu Aprilia RS-GP.
“Kelengkapan aerodinamik” ini pernah dikatakan mampu memberikan tahap aerodinamik dan ‘downforce’ yang lebih tinggi namun ianya hanya akan berfungsi bagi motosikal superbike jenama ini yang akan datang. Bagi motosikal edisi terhad RSV4 RF LE ini, ianya lebih kepada rupa berbanding prestasi.
Terdapat juga ura-ura bahawa motosikal ini berkait rapat dengan siri perlumbaan WorldSBK, yang mana ianya kini sah untuk menggunakan jentera yang dilengkapi dengan ‘winglet’ atau reraup aero ini. Ianya boleh digunakan SEKIRANYA motosikal tersebut adalah motosikal homologasi keluaran kilangnya. Kehadiran motosikal RSV4 RF LE ini sudah pasti memenuhi syarat berkenaan buat Aprilia dan kita tidak terkejut sekiranya mereka menggunakan jenis yang mempunyai fungsi bermula dari musim 2019.
Persoalannya kini adalah sama ada anda mampu mendapatkan motosikal Aprilia RSV4 RF LE 2018 yang teramat terhad ini. Pasti ianya menjadi satu kemegahan sekiranya anda berjaya memilikinya di sini. Namun, seperti yang telah kami katakan sebelum ini, anda mungkin memerlukan belanja yang agak besar bagi memiliki motosikal ini.
Barangkali motosikal Aprilia RSV4 RF 2017 lebih mudah untuk anda miliki? Ianya hanya berharga RM127,571 (harga asas beserta GST).
Aprilia RSV4 RF Dan Aprilia Tuono 1100 V4 Factory 2017 Dilancarkan! Dari RM104,251