- Ketua pasukan Movistar Yamaha MotoGP, Lin Jarvis, mahu penunggang bagi pasukan Repsol Honda, Marc Marquez, dikenakan dengan hukuman yang lebih berat.
- Berikutan ‘penunggangan merbahaya’ Marquez pada hujung minggu yang lalu di Argentina, Yamaha tidak berpuas hati dengan hukuman ringan yang telah dikenakan.
- Gaya penunggangan Marquez pada hujung minggu itu telah menyebabkan pertembungan dengan beberapa orang penunggang, antaranya adalah penunggang Aprilia, Aleix Espargaro, Maverick Viñales, dan Valentino Rossi.
Ketua pasukan Movistar Yamaha MotoGP, Lin Jarvis, telah menyeru Pengarahan Perlumbaan MotoGP untuk memastikan yang penunggang bagi pasukan Repsol Honda, Marc Marquez, dikenakan dengan hukuman yang lebih berat berikutan aksinya di sepanjang pusingan MotoGP pada hujung minggu yang lalu di Argentina.
https://youtu.be/qLBaOMCdH2I
Jarvis telah mengatakan dengan jelas sekali yang dia tidak berpuas hati dengan bagaimana penunggang dari Sepanyol itu berlumba pada hari ahad tersebut dan dia juga amat tidak berpuas hati mengenai hukuman yang telah diberikan sewaktu perlumbaan tersebut. Untuk menyegarkan semula ingatan semua, gaya penunggangan Marquez di sepanjang hujung minggu berkenaan telah menyebabkan banyak pertembungan dan juga kejadian yang sipi-sipi hendak kemalangan dengan mangsanya yang terdiri daripada Maverick Viñales sewaktu Latihan Bebas, dan Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini) dan Valentino Rossi pada hari perlumbaan.
Dalam satu laporan oleh MCN, Jarvis berkata, “Kami telah meminta Pengarahan Perlumbaan untuk mengambil tindakan bagi memastikan yang mereka melakukan apa sahaja yang perlu bagi memperbetulkan tindakannya itu. Tindakannya itu menunjukkan kurangnya rasa hormatnya terhadap pesaing-pesaing yang lain di atas litar perlumbaan. Maio Meregalli, pengarah pasukan, saya, dan Valentino telah bercakap dengan Pengarahan Perlumbaan bagi memberikan pandangan kami.”
“Ianya bukan tugas kami untuk membuat peraturan, bukannya tugas kami untuk menentukan tindakan apa yang mereka perlu ambil, tetapi, sekurang-kurangnya kami ingin benar-benar jelas dengan mereka. Ianya bukan sahaja untuk kami, kami adalah mangsa pada kali ini namun di masa yang akan datang, mangsanya mungkin penunggang yang lain. Saya benar-benar berharap yang Pengarahan Perlumbaan akan melihat semula kejadian pada hujung minggu tersebut dan tentukan sekiranya mereka rasa ianya bersesuaian untuk mereka mengambil tindakan atau pun tidak,” tambah Jarvis lagi.
Jarvis kemudiannya meneruskan dengan, “Saya tidak mahu turut terlibat dengan apa yang saya rasa merupakan tindakan yang sepatutnya kerana ianya tugas mereka. Namun saya rasa mereka perlu bertegas di sini. Sekiranya mereka setuju dengan kami yang tingkah laku tersebut tidak boleh diterima, mereka perlu memutuskan apakan tindakan yang sepatutnya bagi memperbetulkan tingkah laku tersebut. Tetapi ianya bukannya seperti tingkah laku ini baru sahaja bermula dalam masa beberapa bulan yang lalu, sepanjang kerjaya dia telah menunjukkan banyak contoh tingkah laku sedemikian.”
Kejadian yang hampir sama telah menimpa Rossi pada tahun 2015 di GP Malaysia di atas pertembungannya dengan Marquez yang menyebabkannya terpaksa memulakan pusingan terakhir di tempat paling belakang di atas grid. Ada yang mengatakan yang ianya punca Rossi tidak berjaya merangkul takhta dunia ke-10nya apabila Pengarahan Perlumbaan memberikan hukuman tersebut.
Ketua Repsol Honda, Alberto Puig, pula, tidak berpuas hati dengan Pengarahan Perlumbaan atas penalti ‘Ride Through’ yang diberikan kepada Marquez dalam kekacau-bilauan yang terjadi sebelum permulaan perlumbaan. Puig mempertahankan Marquez, mengatakan bahawa dia bertindak mengikut apa yang dia rasakan betul dan yang marsyal perlumbaan tidak membantu dalam situasi di mana motosikalnya telah mati enjin di grid permulaan.
Walau apa pun sebabnya, Pengarahan Perlumbaan yang berpengalaman pasti arif akan apa yang perlu dilakukan bagi menangani situasi yang hangat ini. Dari sudut yang lainnya pula, ia akan menjadikan musim ini satu musim yang amat menarik.
Sumber imej: MotoGP