Tunggang Uji: Kawasaki Z900RS 2018

  • Kawasaki Z900RS 2018 telah dilancarkan secara rasmi pada bulan Februari lalu, sebagai penghormatan bagi motosikal original tahun 1970-an, Kawasaki Z1, atau dikenali sebagai “Zephyr”.
  • Asas utama agak mirip dengan Kawasaki Z900 ABS 2017, tetapi dengan pelbagai ‘kemaskini’ bermula dari casis, ke suspensi, brek, dan bermacam-macam lagi.
  • Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah menetapkan harganya pada RM67,900 (harga asas beserta GST).

Dengan permintaan yang bertambah bagi motosikal moden retro pada zaman ini, semakin banyak yang pengeluar telah menyedari hal ini dan telah mengeluarkan versi mereka sendiri dalam rangkaian motosikal mereka. Salah sebuah daripada pengeluar ini tidak lain dan tidak bukan adalah Kawasaki yang baru-baru ini telah memperkenalkan motosikal Kawasaki Z900RS 2018 pada bulan Februari lalu.

Kawasaki Z900RS 2018 Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia! Dari RM67,900!

Z900RS yang baru ini merupakan sebuah model moden retro yang telah direka sebagai penghormatan bagi motosikal legenda Kawasaki Z1, atau dikenali sebagai “Zephyr” pada tahun 1970-an. Z1 merupakan motosikal empat silinder pertama dunia yang bercirikan ‘dual overhead camshaft’ (DOHC) dan dengan kelajuan tertinggi 210km/j, ianya motosikal pengeluaran terpantas pada zamannya itu.

Untuk kali ini, motosikal Z1 telah dihidupkan kembali dengan sebuah model yang berasaskan secara kasar daripada Kawasaki Z900 ABS 2017. Kami telah bernasib baik diberi peluang untuk menunggang uji kedua-dua model Standard dan Special Edition selama beberapa hari bersama dengan motosikal Z900 ABS bagi merasakan sendiri perbezaannya.

Untuk membaca mengenai tanggapan pertama kami terhadap motosikal ini, TEKAN SINI.

Dari segi rekabentuknya, motosikal Z900RS yang baru ini mempunyai ciri yang lebih halus dan santai dalam penggayaan dan juga tunggangannya. Tarikan moden klasiknya adalah representasi tulus sebuah motosikal moden dengan kemasan retro yang pelbagai. Ini dapat dilihat dari beberapa elemen berbentuk bulatnya seperti lampu hadapannya yang cukup cantik sekali,, cermin sisi pandang belakang, dail berkembar, dan bermacam-macam lagi.

Z900 ABS pula, merupakan motosikal yang tampak lebih kekar dan tegar. Menurut Kawasaki, ianya dihasilkan dengan rekebentuk yang lebih agresif dan ‘edgy’, yang meletakkannya lebih ke arah prestasi. Mudah untuk kita lihat yang Z900 ABS ini sebagai wakil sebenar motosikal naked/streetfighter berprestasi apabila diletakkan bersebelahan dengan Z900RS.

Ciri kegemaran kami dari segi rupa parasnya adalah lampu hadapannya yang bulat lengkap dengan enam lampu LED. Malah, ke semua sistem lampunya, dari lampu isyarat ke lampu brek belakang yang diterapkan dalam unit belakang ‘duckbill’ yang menggiurkan itu telah dilengkapi dengan lampu LED yang telah direka khusus untuk meniru gaya lampu mentol. Hasilnya cukup indah sekali.

Tangki bahanapi berbentuk ‘teardrop’ yang baru itu mempunyai kapasiti 17 liter yang sama seperti Z900 ABS namun oleh kerana rekabentuknya itu, casis bagi Z900RS telah diperhaluskan untuk memberikannya tarikan moden klasik. Sub-rangka belakangnya lebih rata yang mana telah memberikan lebih keselesaan buat kedua-dua penunggang dan pembonceng berbanding seksyen ekor Z900 ABS yang lebih bersudut.

Kedua-dua motosikal ini telah dilengkapi dengan enjin sejukan cecair, DOHC, empat selari 948cc yang sama namun amat berbeza dari segi penalaannya. Z900RS mempunyai keluaran kuasa yang lebih rendah pada 110hp pada 8,500rpm, manakala Z900 ABS pula pada 124hp pada 9,500rpm. Kedua-dua buah motosikal ini mempunyai jumlah tork yang sama pada 98.5Nm namun ianya tersedia bagi RS pada 6,500rpm berbanding dengan 7,700rpm pada Z900 ABS.

Kawasaki telah memaklumkan kepada kami bahawa motosikal Z900RS telah ditala untuk jangkauan prestasi rendah ke sederhana yang lebih baik dengan agihan kuasa yang linear. Dengan erti kata lain, ia mempunyai gaya tunggangan yang lebih santai namun kuasanya tetap ada sekiranya anda perlu memecut laju di atas lebuh raya.

Untuk perbatuannya pula, kami telah mengujinya dalam pelbagai cara yang kami rasa motosikal Z900RS ini akan ditunggang; ianya gabungan tunggangan santai, pemecutan berkelajuan tinggi dari lampu trafik ke lampu trafik, menyelusuri kesesakan pagi dan tunggangan hujung minggu ke tempat bersarapan kegemaran kami. Kami berjaya mendapatkan sekitar 8 liter/100km yang mana secara kasarnya untuk satu tangki penuh kami boleh cecah jarak 210km.(Nota: Kami agak bersungguh-sungguh dalam menggunakan pendikitnya. Mengapa? Kerana motosikal Z900RS lebih seronok diperlakukan begitu.)

Nisbah penggearannya telah dipendekkan untuk gear pertama yang memberikan tunggangan kelajuan rendah yang lebih mudah (dan pantas) dan gear keenam yang dipanjangkan bagi menawarkan prestasi bersiar yang hebat. Ini bermakna yang ianya lebih mudah untuk dipandu arah dalam kawasan bandar dan juga kesesakan lalulintas dan tunggangan bersiar yang lebih santai sebaik sahaja anda mencecah gear keenam. Digandingkan dengan klac ‘assist and slipper’, motosikal Z900RS ini adalah sebuah motosikal yang agak mudah yang menawarkan:

  • Lebih mudah untuk bergerak dari keadaan pegun.
  • Kestabilan menyelekoh dipertingkatkan.
  • Mengurangkan ‘rear wheel hopping’ sewaktu menurunkan gear.

Motosikal Z900RS telah memberikan ke semua itu tetapi kami rasa ia kadang kala memberikan kuasa yang lebih banyak daripada yang diperlukan. Ini sedikit sebanyak disebabkan oleh tindak balas pendikitnya yang amat sensitif yang ada mungkin merasakannya agak tidak menentu. Ianya amat ketara sewaktu kami cuba untuk mengekalkan kelajuan menyelekoh di mana motosikal tersebut cenderung untuk menyenggut kerana agihan kuasa dan pendikitnya yang sensitif.

Malah, akan ada yang berkata bahawa motosikal Z900RS ini mempunyai terlalu banyak kuasa, semuanya kerana isu ini. Jika tahap sensitivitinya dikurangkan dan sedikit ‘free play’ pendikit dimasukkan, motosikal Z900RS ini pasti menjadi sebuah motosikal yang lebih mudah untuk ditunggang. Ia mungkin kelihatan retro tetapi tidak pada prestasi dan pemecutannya.

Satu cara yang anda boleh guna bagi menjadikan jentera Z900RS ini lebih mudah untuk ditunggang adalah dengan menunggangnya pada satu gear lebih tinggi daripada apa yang anda biasanya akan lakukan dengan motosikal lain. Ianya akan membantu melancarkan segalanya, lebih-lebih lagi di selekoh. Tetapi jangan salah anggap, keluaran kuasanya cukup mengagumkan sewaktu anda ingin memecut laju meninggalkan lampu trafik (sehinggakan ianya cukup mudah untuk menjadikan tayar hadapannya terapung) tetapi, dengan menunggang pada satu gear yang lebih tinggi akan membantu terutamanya dengan pendikitnya yang sensitif itu.

Sistem ekzosnya adalah satu bahagian yang telah ditekankan oleh Kawasaki, di mana bunyi yang telah dihasilkannya telah dijurutera secara khusus untuk motosikal ini. Ekzos ‘four-into-one’nya tidak seperti ekzos ‘four-into-one’ Z1, tetapi ia mengaum seperti ‘muscle car’ sewaktu melahu dan kelajuan rendah dan jauh lebih ketara sewaktu menurunkan gear.

Bagi posisi duduknya pula, bagi mereka yang tercari-cari sesuatu yang lebih menegak dan santai pasti akan gembira dengan Z900RS ini. Ergonomik tunggangannya yang neutral itu terhasil kerana palang pemegangnya yang lebih tinggi dan rapat (serta lebih lebar) berbanding Z900. Posisi kaki telah dibawa ke hadapan namun ianya tidaklah setegak Z1 yang original.

Ketinggian pelananya adalah pada 800mm (5mm lebih tinggi daripada Z900). Ianya satu padanan yang sesuai bagi kebanyakan penunggang Asia tetapi kami merasakan yang spesifikasi Eropah pada 835mm boleh membantu dalam mengekalkan lengan dalam keadaan lurus dan lebih selesa sewaktu perjalanan yang panjang. Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) ada mengatakan bahawa pilihan tersebut juga telah disediakan bagi penunggang yang lebih tinggi.

Menunggang Z900RS ini juga terasa agak istimewa sewaktu menunggang berhampiran dengan kenderaan yang lain. Palang pemegangnya yang lebih lebar membolehkan pemanduan arah yang lebih baik di dalam trafik. Dengan beratnya sebanyak 214kg (4kg lebih berat berbanding Z900), pasti ada yang menganggapnya agak sukar untuk dikendalikan namun kami cukup kagum dengan kelincahannya. Sejujurnya, ianya pilihan yang agak baik untuk penunggangan harian.

Ianya dipertingkatkan lagi dengan beberapa kelengkapan tambahan yang tiada pada Z900. Ciri-ciri seperti fork terbalik boleh laras sepenuhnya 41mm, dwi-angkup radial empat omboh yang diperkemaskini, Kawasaki Traction Control (KTRC). Ianya juga mewajarkan harga motosikal tersebut (beserta dengan fakta yang motosikal Z900RS ini adalah motosikal CBU terus dari Jepun).

Bercakap mengenai Kawasaki Traction Control (KTRC), sistem dua tahap tersebut membawa perbezaan yang besar dalam keadaan penunggangan yang berbeza. Di mana Z900 hanya dilengkapi dengan ABS, KTRC membantu meningkatkan tahap keselamatan bagi Z900RS. Aturcaranya adalah seperti berikut:

  • Aturcara nombor Dua – Menawarkan lebih kestabilan penunggangan di atas jalan raya yang licin atau basah.
  • Aturcara nombor Satu – Membolehkan pemecutan yang lebih hebat di atas jalan raya dengan cengkaman yang lebih baik.

Nota: terdapat juga pilihan untuk mematikan sama sekali kawalan cengkaman bagi mereka yang pakar, namun, menunggang dengan kawalan cengkaman tertinggi tetap terasa hebat, tangkas, dan mengujakan. Aturcara standard sudah cukup menakjubkan bagi kebanyakan penunggang jadi anda secara amnya dapat menunggang dengan selesa dari bilik pameran lagi.

Bagi harganya pula, Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah menetapkan motosikal Kawasaki Z900RS 2018 terkini mereka itu pada harga RM67,900 bagi versi standard dan RM69,900 bagi Special Edition. Tambahan RM2,000 adalah untuk pilihan warna istimewa yang merupakan sebuah penghormatan bagi motosikal Z1 yang asli. Skema warna hijau yang standard mempunyai aura yang lebih moden dan urban manakala varian Special pula pasti mengimbau kembali ingatan bagi mereka yang pernah memiliki atau yang mahu memiliki Z1 yang original.

Dalam dunia motosikal moden retro, tiada satu pun yang mirip dengan Z900RS. Ada yang akan mrmpertikaikan statusnya sebagai yang terbaik dalam kelas namun dari segi kuasa dan keseronokannya, tidak dapat dinafikan yang motosikal Z900RS mampu menawarkannya dengan baik sekali. Seperti sebuah ‘muscle car’. Sebuah ‘muscle car’ yang berkuasa dan juga selesa.

Lima Perkara Yang Kami Suka Tentang Kawasaki Z900RS 2018

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]