Tirus vs. Lebar: Adakah Kelebaran Tayar Membawa Sebarang Perbezaan?

Motosikal R25 bertayar sotong

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  • Subjek mengenai kelebaran tayar telah sering kali diperdebatkan.
  • Adakah tayar yang lebih lebar, contohnya, tayar belakang ‘240-section’, lebih baik?
  • Adakah ianya bermakna yang tayar yang lebih tirus, contohnya, tayar sotong, sebaliknya?

Seperti kebanyakan bahagian pada motosikal, perdebatan ini telah pun berterusan buat sekian lamanya. Ada motosikal di luar sana yang mempunyai kapasiti dan keluaran kuasa yang sama namun telah dilengkapkan dengan tayar yang berbeza saiznya, manakala ada pula sesetengah motosikal yang lebih berat namun tetap sama berkuasa tetapi dilengkapi dengan tayar yang lebih tirus.

Tekan sini untuk membaca panduan kami mengenai cara memilih tayar yang sesuai.

Tetapi, apa yang telah menarik minat kami untuk menulis artikel ini adalah kewujudan sesetengah motosikal yang dilengkapi dengan tayar yang teramat tirus, lebih dikenali sebagai ‘tayar sotong’.

Setiap tayar, malah, setiap pilihan, adalah berdasarkan satu kompromi. Namun, tayar yang lebih lebar mempunyai permukaan yang lebih besar dan dengan itu sudah pasti ianya mempunyai cengkaman yang lebih baik bukan? Semestinya, namun, ianya lebih rumit daripada itu. Mari kita lihat.

Tayar sotong  (sumber imej: www.sinarharian.com.my)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

TAYAR LEBAR

Pro

  • Potensi cengkaman yang lebih tinggi terutamanya sewaktu menyelekoh.
  • Membolehkan kelajuan yang lebih tinggi di selekoh.
  • Membenarkan darjah condong yang lebih miring sewaktu menyelekoh.
  • Lebih stabil di selekoh.
  • Mampu menggunakan lebih banyak kuasa enjin.
  • Membolehkan penggunaan pendikit yang lebih keras sewaktu mengiring.
  • Lebih selamat untuk ‘trail brake’.
  • Membolehkan pembrekan yang lebih keras

 

Kontra

  • Selalunya lebih mahal
  • Terasa lebih ‘berat’ untuk dipandu arah.
  • Lebih banyak permukaan yang tidak digunakan pada bahagian sisi sekiranya tidak digunakan sepenuhnya.
  • Menyondongkan motosikal dengan lebih banyak sewaktu di selekoh berbanding dengan tayar yang lebih tirus.
  • Lebih besar jisim bermakna lebih banyak kuasa yang diperlukan untuk pemecutan (rintangan bergerak).
  • Jisim yang lebih besar itu juga bermakna bahagian suspensi dan brek perlu bekerja dengan lebih keras.

TAYAR TIRUS

Pro

  • Lebih murah.
  • Lebih mudah dipandu arah.
  • Lebih mudah untuk menggunakan keseluruhan tayar.
  • Rintangan bergerak yang lebih kecil untuk pemecutan yang lebih pantas dan pengurangan penggunaan bahanapi.
  • Tidak perlu menggunakan pegas (spring) yang lebih berat dalam suspensinya.
  • Kurang menyondong sewaktu menyelekoh berbanding tayar yang lebih lebar.

Kontra

  • Potensi cengkaman sisi yang lebih rendah, mengehadkan kelajuan menyelekoh dan sudut condong.
  • Motosikal terasa kurang stabil, kadang kala tidak menentu.
  • Pulasan pendikit yang terlalu besar akan menyesakkan permukaan sentuhannya yang kecil.
  • Kurang kuasa untuk ‘trail braking’, atau pun tiada langsung.
  • Tidak boleh membrek secara agresif.

Ada satu lagi elemen yang sering diperkatakan mengenai tayar yang lebih lebar; gaya. Bagi kebanyakan penunggang motosikal, tayar belakang yang lebih lebar menjadikan motosikal tampak lebih agresif, lebih ‘sporty’. Tetapi, berdasarkan pengalaman kami menunggang uji hampir keseluruhan motosikal yang ada di dalam pasaran negara, melengkapi motosikal dengan tayar yang lebih lebar atau lebih tirus tidak memberikan perbezaan yang besar. Ada masanya apabila tayar yang lebih lebar terasa agak kasar di atas jalan raya awam.

Tayar belakang yang lebih lebar untuk motosikal cruiser (Sumber imej: harley-davidson-luebeck.de)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Berbalik semula kepada tayar sotong, ianya digunakan untuk pemecutan dalam garis lurus, seperti mana yang dapat disaksikan pada motosikal ‘sprint’. Ia cukup sesuai sekali untuk perlumbaan drag, di mana ia tidak perlu menyelekoh langsung, namun, merbahaya sekiranya digunakan di atas jalan raya. Ini kerana tayar tersebut terlalu ‘kurus’ untuk menyelekoh atau pembrekan kecemasan. Sifatnya yang terlalu tirus dan kecil itu juga mendatangkan risiko merosakkan rim sekiranya melalui bonggol yang tajam. Penulis juga pernah menyaksikan sebuah tayar sotong meletup dengan anak mata penulis sendiri.

Sebaliknya pula, kami juga pernah terjumpa tayar yang terlalu lebar untuk rim bersaiz tertentu, contohnya tayar ‘180-section’ pada sebuah rim untuk 160 – disebabkan oleh tanggapan yang silap bahawa tayar yang lebih lebar memberikan cengkaman yang lebih banyak. Tayar yang terlalu lebar akan membuatkan bibir rim tersebut ‘mencubit’ tayarnya, mengakibatkan permukaan sentuhannya menjadi lebih kecil daripada kelebaran yang disyorkan.

Jenis-jenis tayar (Sumber imej: www.canyonchasers.net)

Kesimpulannya? Lebih elok sekiranya anda mematuhi saranan pengeluar motosikal dan tayar. Inginkan lebih cengkaman? Pilih tayar dengan kompaun yang lebih lembut. Inginkan lebih perbatuan? Pilih tayar ‘sport-touring’.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]